Ramai orang berkeris tetapi tidak ramai tahu aturan, tatacara, adab, dan etika berkeris yang iltizam.
Mungkin ini adalah kesan kepada keadaan masyarakat Melayu yang sudah lama tidak menyandang keris.
Hal ini bukan sahaja dialami oleh orang awam, para pesilat, aktivitis keris, malah para pembesar negara, dan pemegang adat juga tidak didedahkan dengan etika berkeris yang sebenar terutamanya di dalam hal berkaitan busana tradisi.
Seorang Melayu tidak wajar jauh dari dua seni budaya dan pakaian pusaka yang selama ini adalah lambang peradaban orang Melayu di seluruh Alam Melayu.
Etika Berkeris bukanlah perkara wajib yang perlu kita risaukan tetapi sekurang-kurangnya kita sebagai peminat dan pemakai busana tradisi dan mengetahui sedikit sebanyak pengetahuan mengenai cara memakai keris.
Cara Melayu atau sebagainya. Tidak lengkap seorang pemakai busana Melayu tanpa tahu serba sedikit seni dan cara memakai keris dan berkeris atau cara menyisip di pinggang dan menyandang.
Tujuan Pekeris dengan hadirnya usaha kecil untuk merekod dan mengembalikan ilmu-ilmu lama yang tidak bernama dan etika memakai keris yang tidak difahami secara jelas.
Dengan kembalinya etika memakai keris ini, kita mengharapkan anak-anak bangsa akan kembali mendaulatkan rukun-rukun Melayu iaitu;
Bertauhid Tuhan Yang Esa.
Berlembaga dan Beraja Melayu.
Beradat dan Beradab Melayu.
Berbahasa dan Berbudaya Melayu.
Berbudi pekerti luhur Melayu.
Orang Melayu yang menyandang keris sewajarnya membuang sifat dan nafsu berkeris untuk mengamuk dan menyerang orang lain tanpa bersebab dalam keadaan isim, mabuk, atau hilang kewarasan.
Orang Melayu Berkeris harus kembali kepada budi pekerti luhur yang menjadikan keris sebagai benteng nafsu. Menyandang kembali keris sebagai pakaian peradaban dan ketamadunan Melayu.
Orang yang tersisip keris di pinggang, sewajarnya merekalah orang yang menjaga amanah mendaulatkan bangsa dan menjaga keamanan dan kedamaian negara dan masyarakat.
Mereka bukan orang tidak siuman dan tidak boleh mengawal diri atau boleh mengamuk tanpa sebab.
Orang berkeris bukan pengamal tahyul, khurafat, dan sihir.
Ini terbukti setelah melihat keris-keris perubatan dan mistik yang kebanyakannya dari keris-keris kodian dan bukanlah keris-keris yang berseni tinggi seperti keris-keris Melayu yang ada.
Orang berkeris sewajarnya orang yang faham tauhid dan hakikat kehidupan dan orang-orang yang berbudi, dan berbudaya bangsawan yang sentiasa menjaga tatasusila dan cintakan kedamaian dan keharmonian.
Sumber : Pekeris
Sila emel ke demimalaiu@gmail.com jika berminat untuk menjadi penyumbang bahan-bahan artikel berkait dengan Melayu, Islam serta jati diri bangsa.