Sejarah

Datuk Aroom, ‘Capitan der Maleyers 1641-1725’

Selalu kita dengar pejuang, pahlawan, tokoh-tokoh Melayu yang sememangnya berbangsa Melayu namun pernahkah kita mengetahui terdapat figura Melayu dihormati yang berasal dari bangsa lain? Beliau ialah Datuk Aroom yang merupakan Kapitan Melayu pertama di Melaka pada tahun 1641.

Datuk Harun @ Aroom, Kapitan Melayu atau bahasa Melayu modennya Kapten Melayu merupakan orang Cina yang lahir dari Tanah Besar China. Beliau menjelajah ke kepulauan Melayu dan terdampar di pelabuhan Melaka kerana kapalnya karam. Dari situ beliau di jaga oleh muazzin Melayu dan memeluk agama Islam dengan nama Harun. Beliau bernikah dengan anak kepada ibu bapa angkatnya dan memperkukuh dirinya sebagai penduduk tempatan di situ. 

Setelah beberapa lama di Tanah Melayu, Datuk Aroom kemudian menjadi penduduk contoh yang dihormati dalam masyarakat setelah menunjukkan kepimpinan yang mantap, mendukung keadilan dan berkemahiran dalam perdagangan. Pada tahun 1641, Datuk Aroom membantu Belanda mengalahkan Portugis, lalu beliau dilantik menjadi Kapitan Melayu Melaka. Beliau juga menerima tanah di Sungai Putat dan Bukit Beruang oleh Belanda sebagai penghargaan jasa beliau.

Baca juga>> Menelusuri Kewujudan Kalendar Melayu Purba Kedah Tua

Sebagai seorang Cina Muslim, Datuk Aroom banyak berbakti kepada Melaka dari sudut agama dan pembangunan masyarakat sebagai contoh pembinaan masjid, surau, wakaf, madrasah dan sekolah. Hasil dari kebijaksanaan dan kepimpinan Datuk Aroom, masyarakat Melayu di Melaka dapat menikmati pelbagai fasiliti dan kemakmuran walaupun masih di bawah penguasaan penjajah.

Datuk Aroom memiliki empat orang anak lelaki iaitu Sulong, Samsudin, Puteh, dan Surin. Salah seorang dari mereka, Datuk Samsudin, menggantikan ayahnya sebagai Kapitan Melayu II. Menerusi legasi Datuk Samsudin, beliau mengasaskan Masjid Kampung Hulu yang dipengaruhi tradisi seni bina Cina yang masih kita dapat melihat kini di Melaka.

Setelah meninggal dunia, Datuk Aroom dikebumikan di kawasan perkuburan Bukit Beruang yang dikenali sebagai “Kubur Batu Nisan Acheh”. Di situ juga merupakan makam perkuburan kerabat Kapitan Melayu Datuk Aroom seperti Datuk Samsudin, Datuk Budiman, dan Datuk Mohamad @ Ahmad.

Menarik: Misteri Puteri Kelantan: Kunci Rahsia Peradaban Awal Tauhid Di Tanah Melayu – Ustaz Manis

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button