Sejarah

Dasar Integrasi Menjadi Punca Perpaduan Dibina Tidak Pernah Kukuh?

Adakah Kesilapan Tidak Memilih Dasar Asimilasi?

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik, budaya dan agama. Kesepaduan nasional merupakan teras kekuatan dan keselamatan negara yang akan terhasil melalui ikatan perpaduan di kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Dalam perihal hubungan ini, konsistensi perpaduan bagi negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia terletak kepada kesatuan rakyat pelbagai kaum untuk hidup saling faham memahami, bertoleransi, menerima kepelbagaian antara satu sama lain dan memahami kontrak sosial yang menjadi tunjang kesepaduan rakyat Malaysia serta menghormati hak-hak asasi manusia berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Kesepaduan Nasional turut dicerminkan melalui integrasi negeri-negeri yang bernaung di dalam persekutuan ini dan membentuk suatu ‘Delegasi Malaysia’ yang sentiasa sedia memelihara kedaulatan, keamanan dan kesejahteraan negara yang bertuah ini.

Kerapuhan Perpaduan Nasional 

Isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum, etnik, agama, politik, kepercayaan dan kebudayaan yang tersebar dengan meluas tanpa sekatan di media sosial masih lagi menjadi punca pergeseran antara kaum di Malaysia yang menjejaskan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan progresif. Kerapuhan perpaduan nasional perlu dicegah dari menular. Pohon kesepakatan rakyat perlu terus dibajai agar terus merimbun dan mekar sepanjang zaman demi keamanan dan kestabilan negara.

Kesepakatan nasional memerlukan segenap lapisan rakyat mempunyai kebersamaan fikiran, sikap dan tingkah laku yang membentuk identiti sebagai Rakyat Malaysia.

Penerimaan kelebihan dan kekurangan masing-masing melalui proses toleransi dalam mengintegrasi nilai-nilai yang disepakati bersama membolehkan sikap saling menerima antara satu sama lain dapat dilakukan.

Tidak dinafikan Sabah, Sarawak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah teras entiti yang membentuk Persekutuan Malaysia yang saling melengkapi. 

Bagaimanapun, antara faktor penyebab mengapa sehingga kini perpaduan yang dibina tidak pernah kukuh adalah kesilapan memilih Integrasi dan menolak Asimilasi.

Hari ini, apakah kita terpaksa akur kesilapan pemimpin terdahulu kerana memilih dasar integrasi berbanding asimilasi yang menjadi punca utama perpaduan yang dibina tidak pernah menjadi akrab dan kukuh sehingga ke hari ini?

Baca juga>> Pokok Gaharu: Warisan Berharga Tanah Melayu

Perkara itu turut dinyatakan, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong bahawa, Malaysia satu-satunya negara di Asia Tenggara yang dibentuk berasaskan integrasi dan bukannya asimilasi, sekali gus menyebabkan perpaduan dalam kalangan rakyatnya yang berbilang bangsa masih tidak kukuh dan tidak berkembang sejak mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun lalu.

Menurut beliau, walaupun negara kelihatan bersatu kerana tiada huru-hara, jika ditinjau hubungan etnik di Semenanjung, mash tidak ada kerukunan antara kaum dan saling tidak menyokong antara satu sama lain berbanding negara serantau seperti Indonesia dan Thailand yang dibentuk berasaskan asimilasi yang lebih memperlihatkan kesatuan dan perpaduan yang dibina di sana mampu menjadi satu.

Eratkan Kembali Hubungan Dan Kukuhkan Semula Perpaduan

Justeru, siapa pun yang menjadi pemimpin kerajaan di Malaysia dan daripada parti mana sekalipun perlu secara bersungguh-sungguh menerapkan pemikiran politik moral yang telah digariskan oleh al-Ghazali dalam mengurus negara. Inilah antara solusi acuan yang boleh dicontohi berbanding terus berpegang kepada fahaman barat yang diserapkan dalam pemerintahan demokrasi negara hari ini.

Mudah-mudahan politik moral gagasan al-Ghazali dapat menjadi asbab pengukuhan kepada bersatunya dasar samada integrasi ataupun asimilasi sekaligus dapat menyatukan semula dan mengeratkan kembali perpaduan yang semakin rapuh di negara ini. Seterusnya menjadikan kita sebagai satu bangsa di dalam satu negara yang merdeka.

Jangan pernah khianati keamanan yang telah dicapai ini!

Eratkan kembali hubungan dan kukuhkan semula perpaduan yang telah sekian lama kini bina.

Menarik: Peta Asalnya Bangsa Melayu Asal Dari Keturunan Sam Bin Nabi Nuh A.S. – Prof. Solehah Yaacob

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button