Siapakah gerangannya seorang pendakwah dari Asia Tenggara yang sangat dikenali dan dihormati di bumi Afrika Selatan? Beliau juga mendapat jolokan nama ‘Salah seorang anak lelaki terbaik Afrika Selatan’ dari Nelson Mandela sendiri walaupun beliau bukan berasal dari benua Afrika? Pendakwah terkenal yang dimaksudkan ialah Syeikh Yusuf Al-Makassar. Beliau merupakan seorang pendakwah, ahli sufi dan juga pejuang kemerdekaan yang berasal dari Indonesia. Beliau lahir di Gowa, Makassar pada 3 Julai 1626 dan diberi nama Abadin Tadia Tjoessoep atau Muhammad Yusuf. Dikatakan ibu dan bapanya berasal dari keluarga bangsawan. Syeikh Yusuf merupakan anak saudara Sultan Alauddin, Raja Gowa. Bapanya, Abdullah merupakan seorang ulama manakala ibunya Aminah, puteri Gallarang (kepala pemerintah) Moncongloe (mukim/daerah).
Sejak kecil lagi, Syeikh Yusuf dibesarkan dengan ajaran agama Islam serta mampu menghafal Al-Quran. Beliau dibimbing oleh seorang guru bernama Daeng Ri Tasammang. Pada 1644, Syeikh Yusuf ke Mekah serta Madinah dan menuntut ilmu di tanah Arab untuk beberapa tahun. Syeikh Yusuf merupakan anak murid Syeikh Ibrahim al-Kurani yang gurunya Syeikh Abdur Rauf al-Sinkili. Setelah dua dekad menuntut ilmu, Syeikh Yusuf meninggal tanah Arab pada 1664 untuk pulang ke Makassar. Namun pada waktu itu Makassar sudah dijajah Belanda menyebabkan beliau pergi ke Banten.
Ketika di Banten, Syeikh Yusuf dilantik menjadi mufti. Pada tempoh ini, Kesultanan Banten menjadi pusat penyebaran agama Islam dan Syeikh Yusuf mempunyai ramai orang murid dari pelbagai daerah termasuk 400 orang asal Makassar yang dipimpin oleh Ali Karaeng Bisai. Syeikh Yusuf dan muridnya memimpin pasukan gerila dalam menentang Belanda. Namun akhirnya Kesultanan Banten juga jatuh akibat serangan Belanda.
Jadi bagaimanakah figura terkenal dari Indonesia ini boleh menjejakkan kaki ke bumi Afrika Selatan?
Seperti yang diketahui, Syeikh Yusuf sangat lantang dalam menentang penjajah. Namun beliau akhirnya ditangkap oleh Belanda pada 1683 di daerah Sukapura dan dipenjara. Kemudian, Syeikh Yusuf telah dibuang ke Ceylon, Sri Lanka. Di sana, beliau tetap berdakwah menyebarkan Islam dan berjaya menuliskan kitab ‘Kafiyyat al-Tasawwuf’. Salah seorang ulama besar di India, Syeikh Ibrahim ibn Mi’an juga berguru dengan Syeikh Yusuf. Selepas 9 tahun di Sri Lanka, Belanda kemudian membuang pula Syeikh Yusuf ke Afrika Selatan pada 1694. Isteri-isteri dan anak-anaknya serta 49 orang para pengikut beliau juga mengikut sama dengan menaiki kapal ‘De Voetboog’.
Baca juga>> Kehebatan Tamadun Melayu Suatu Ketika Dahulu
Di Afrika Selatan, Syeikh Yusuf ditempatkan di Cape Town atau dikenali sebagai Tanjung Harapan waktu dulu. Penjajah sengaja meletakkan penempatan Syeikh Yusuf di tempat terpencil iaitu di Zandvliet, jauh dari pekan Cape Town untuk mengurangkan komunikasi beliau dengan penduduk tempatan. Namun usaha mereka tidak berjaya apabila tempat Syeikh Yusuf menjadi tempat selamat dan pengumpulan buat para hamba serta orang-orang Timur dibuang negara di sana. Di situlah juga terbentuknya komuniti Islam pertama di tanah Afrika Selatan. Ajaran Islam mula berkembang di kalangan para hamba di sana.
Di dalam buku tulisan Abu Hamid bertajuk ‘Syekh Yusuf Makassar: Ulama, Sufi Pejuang’ (Obor, 1994) ada menyatakan yang beliau merupakan peletak dasar Islam di Afrika Selatan. Beliau tidak hanya menyebarkan ajaran agama, tetapi juga membina hubungan dengan masyarakat setempat dan memimpin perjuangan menentang penjajahan. Sheikh Yusuf memainkan peranan penting dalam menerjemahkan nilai-nilai Islam ke dalam kehidupan sehari-hari penduduk tempatan, membantu mereka menegakkan agama mereka di tengah tekanan penjajah Belanda.
Kepemimpinan dan pengaruhnya dalam komuniti Muslim di Afrika Selatan tidak dapat disangkal, dan warisannya masih dirasakan hingga hari ini. Melalui usahanya, Islam menjadi semakin berkembang di bumi Afrika Selatan dan pengaruhnya terhadap pembentukan identiti agama dan budaya di rantau tersebut tetap dihargai.
Pada tahun 1693, Syeikh Yusuf telah menemui Ilahi, 6 tahun selepas kedatangannya di Cape Town. Jasanya begitu signifikan buat Afrika Selatan sehingga nama Zandvliet kini ditukar menjadi Makassar. Pada April 1705, jenazah Syeikh Yusuf kemudian dibawa pulang ke Gowa dan dikebumikan di Lakiung oleh permintaan Sultan Abdul Jalil. Tanggal 7 Ogos 1995, presiden Indonesia Soeharto menganugerahkan gelaran ‘Pahlawan Nasional’ kepada Syeikh Yusuf. Malah beliau juga dianugerahkan ‘Order of the Companions of O. R. Tambo’ oleh presiden Afrika Selatan kerana perjuangannya menentang penjajah.