Isu Semasa

Cetusan Kontroversi Islamophobia Bukti Kebenaran Islam

Mampukah kita apabila diberi Tuba membalas dengan Madu?

Penutup Januari 2023 atau Rabiul Akhir adalah permulaan awal Rejab 1444 menurut kalendar Islam. Rejab adalah penanda aras hampirnya Ramadan iaitu bulan amalan dilipat gandakan dari segi ganjaran dan amalan yang dilakukan. Semoga segala yang perkara yang merugikan kita sebagai manusia berlaku pada Januari tahun ini adalah permulaan yang baik untuk Februari akan datang.

Rumusan minggu ini kita dikejutkan dengan peristiwa cetusan sentimen agama dalam usaha mencipta kontroversi Islamophobia iaitu pembakaran al-Quran yang dilakukan oleh pemimpin politik Sweden sehingga menimbulkan kemarahan dan mendapat kecaman dari seluruh umat Islam di serata dunia.

“Masa Untuk Membakar Banyak Al-Quran.”- Rasmus Paludan

Rasmus Paludan, seorang ahli politik Sweden adalah individu yang bertanggungjawab mencetuskan sentimen keagamaan ini dengan membakar al-Quran dalam satu demo yang diadakan berhampiran kawasan dihuni oleh Muslim di sana. “Masa untuk membakar banyak al-Quran.” “Kami juga mungkin akan membawa darah babi dan menuang nya ke atas al-Quran,” kata pemimpin parti Stram Kurs itu di dalam Facebooknya sebelum itu. Peguam Denmark berusia 40 tahun dengan kewarganegaraan Sweden itu, menubuhkan Stram Kurs, atau Hard Line pada 2017 dengan agenda anti-pendatang dan anti-Muslim serta menyokong pengharaman Islam dan pengusiran besar-besaran orang “bukan Barat”. Ini bukan kali pertama Rasmus membakar al-Quran. Sebelum ini, pemimpin parti anti-Muslim itu mencetuskan kemarahan umat Islam apabila membakar al-Quran di Malmo, sebuah kota di selatan Sweden pada 2020.

Malaysia, melalui Wisma Putra mengecam sekeras-kerasnya tindakan membakar Al-Quran di Sweden. Menurut Wisma Putra, tindakan sedemikian telah melampaui batasan dan garis norma hak kebebasan bersuara termasuk dalam isu pelaksanaan amalan beragama.“Tindakan tersebut merupakan suatu usaha provokasi dan berniat menghasut kebencian yang mesti ditolak oleh semua pihak yang ingin hidup bersama dalam budaya damai.”

Rentetan peristiwa itu, tampil ramai NGO dan beberapa pemimpin politik Malaysia dan sebahagian pemimpin seluruh dunia Islam menyatakan protes terhadap pihak Sweden termasuk gesaan memboikot semua produk keluaran negara itu kerana enggan mengambil tindakan kepada pelaku atas kelakuan keji berkenaan.

Malaysia Mengutuk Sekeras-kerasnya Tindakan Islamofobia

Tidak ketinggalan, Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia yang dibuat ahli politik Sweden-Denmark sekali gus menggesa kerajaan Sweden mengambil langkah segera terhadap pelaku perbuatan keji itu. Malaysia juga menggesa agar Sweden memastikan langkah drastik diambil untuk menangani kebangkitan Islamofobia yang membimbangkan di negara tersebut, tegas Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan di laman Twitter beliau sejurus isu itu tular.

Islamofobia Senjata Kebencian Untuk Merampas Hak Pemerintahan Muslim

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan kenyataan bahawa Islamofobia adalah merupakan sebuah “senjata baharu” yang kini digunakan oleh golongan orientalis. Beliau turut menyatakan bahawa Islamofobia kini digunakan oleh “kerajaan yang dibuat oleh penjajah”, parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sekular serta musuh-musuh Islam khususnya di internet sebagai senjata mental dalam melawan agama Islam. Jelasnya, Islamofobia juga turut digunakan untuk menghentikan “Islam yang sebenar” daripada memperoleh penguasaan dan mentadbir negara. Pada kenyataan yang sama beliau turut menambah bahawa Islam tidak menggunakan paksaan dan ianya sebenarnya adalah bertujuan untuk melindungi mereka yang dizalimi. Justeru, tidak wujud sebenarnya sedikitpun daripada alasan bagi fobia terhadap Islam jika ajarannya dipelajari dengan jujur dan diambil daripada sumbernya yang asli,” ujarnya.

Gesa Kerajaan Nilai Semula Hubungan Diplomatik Dengan Sweden

Pertubuhan Pribumi PERKASA Malaysia (PERKASA) menyokong tindakan Kerajaan Malaysia dalam mengutuk pembakaran al-Quran oleh Rasmus Paludan ketika menyertai bantahan di hadapan kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden baru-baru ini. Tindakan Rasmus Paludan yang membakar al-Quran mengundang kekecewaan dan kemarahan umat Islam di dunia kerana tindakan itu jelas boleh mencetuskan suasana ketidakharmonian antara agama di dunia ini dan juga peningkatan Islamofobia yang drastik jika tidak dibendung. PERKASA dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Rasmus Paludan yang cuba menyebarkan kebencian terhadap agama Islam dengan membakar al-Quran secara terbuka. Tindakan membakar al-Quran bukan sahaja satu tindakan yang tidak bermoral tetapi juga satu mesej kebencian yang tidak dapat diterima sebagai ‘kebebasan bersuara’ oleh mana-mana masyarakat yang bertamadun. Negara Sweden seharusnya diberikan peringatan yang keras untuk mengambil langkah dan tindakan yang sewajarnya terhadap Rasmus Paludan dan PERKASA juga menggesa Kerajaan Malaysia untuk menilai semula hubungan diplomatik dengan Sweden sekiranya isu penghinaan terhadap agama Islam masih lagi berlaku tanpa ada sebarang tindakan oleh kerajaan Sweden.

Malaysia Tidak Bertolak Ansur Tindakan Bakar Al-Quran

Dalam kenyataan lain Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan tindakan membakar al-Quran. “Kita di Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan tindakan membakar al-Quran, buku dan teks agama termasuk kitab Injil kerana kita menghormati kemanusiaan, hak dan kepercayaan setiap orang,” jelas beliau. Anwar turut menegaskan bahawa kebebasan yang sebenar haruslah melibatkan perkara yang benar dan bukan kepada perkara yang tidak berperikemanusiaan bagi menekan pihak lain. Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa tindakan membakar al-Quran ini tidak boleh disifatkan sebagai sebuah kebebasan.

Malaysia Cetak & Edar 1 Juta al-Quran Ke Seluruh Dunia

Bagaimanapun, Malaysia mengambil langkah drastik dan inisiatif akan mencetak dan mengedarkan sejuta naskah al-Quran ke seluruh dunia dengan sokongan Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, memang tindakan Rasmus Paludan adalah biadab namun masih ada cara lain untuk membalasnya.

Balas Dengan Penegasan Rahmah

“Umat Islam tidak menganjurkan untuk menjawab dengan sikap biadap dan keganasan, malah kita memilih untuk berikhtiar dengan meningkatkan pemahaman ke atas al Quran.“Penegasan rahmah dan kasih sayang di dalam al-Quran mesti disemangati setiap jiwa orang Islam,” tulis Anwar dalam media sosial miliknya. Anwar berkata demikian setelah menghadiri Festival Kesenian al-Quran Sejagat Restu dan membuat lawatan ke Nasyrul Quran, kilang percetakan al Quran kedua terbesar dunia.

Sumbang RM2 juta untuk proses operasi cetak 1 juta al-Quran

Bagi menjayakan usaha cetak dan edar sejuta naskah al-Quran itu, Kerajaan turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM2 juta kepada Kompleks Nasyrul Quran bagi melancarkan operasi percetakan. Dalam ucapan ringkas, Perdana Menteri menyebut bahawa Malaysia mengecam tindakan membakar kitab suci al-Quran yang dilakukan seorang pemimpin garis kanan Sweden baru-baru ini. Justeru itu, Malaysia bertekad dalam masa singkat untuk mencetak dan mengedar satu juta naskah al-Quran ke seluruh dunia. Ujar Anwar lagi, ia turut akan disusuli program-program ke arah penghayatan dan pemahaman al-Quran dengan mesej risalah yang jelas. Satu usaha yang murni dan patut dipuji. Ibarat diberi tuba namun kita beralah membalasnya dengan madu. Good Job PM!

Solidariti Bantahan Hina Islam Di Hadapan Kedutaan Sweden Dibanjiri NGO & Umat Islam

Sebuah demonstrasi solidariti aman ‘Bantahan Penghinaan Agama Islam Oleh Ahli Politik Sweden’ telah berlangsung di perkarangan Kedutaan Sweden bagi menyatakan bantahan tegas terhadap tindakan ahli politik Sweden, Rasmus Paludan yang telah mencetuskan sentimen anti Islam dengan membakar al-Quran itu. Gerakan solidariti tersebut dihadiri oleh puluhan wakil kumpulan NGO yang dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan juga turut mendapat perhatian dan sokongan orang ramai yang dilihat turut sama menyertai demonstrasi tersebut. Demonstrasi solidariti tersebut bermula dengan berarak dari Masjid KLCC usai Solat Jumaat dan kemudiannya berkumpul di hadapan Kedutaan Sweden bagi menyerahkan memorandum kepada kedutaan terbabit. Terdapat beberapa NGO yang menaikkan sepanduk antaranya membantah sentimen Islamofobia. Himpunan ini turut dihadiri oleh Persatuan Mahasiswa Malaysia, Ahli-ahli Parlimen, Exco-Exco Kerajaan, selebriti Caprice dan beberapa tokoh-tokoh politik.

BERITA DUNIA

Lagi Tindakan Pijak, Koyak & Bakar Al-Quran Di Belanda

Cetusan gerakan Islamophobia terus berlaku, selepas tindakan membakar al-Quran oleh Rasmus Paludan di Sweden, lagi tindakan biadap memijak, mengoyak dan membakar al-Quran yang dipercayai turut berlaku di Belanda. Memetik kepada sebuah berita tempatan, tindakan biadap itu dilakukan oleh ketua pelampau berhaluan kanan Gerakan Anti-Islam Eropah (PEGIDA), Edwin Wagensveld di suatu lokasi di Belanda. Menurut sebuah berita antarabangsa pula, Edwin mendakwa bahawa beliau telah pun mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan pemusnahan al-Quran. “Tidak lama lagi, akan ada pendaftaran untuk tindakan yang sama di beberapa bandar, masa untuk menjawab tidak hormat daripada Islam dengan tidak hormat.”“Setelah menikmati makanan yang enak dan minum bersama kumpulan kami, sudah tiba masanya untuk membakar jenazah al-Quran,” katanya dalam sebuah video yang tular di laman sosial. Sebelum ini juga, Edwin pernah ditahan dua bulan lalu kerana menghina Nabi Muhammad S.A.W menggunakan megafon namun beliau terlepas daripada didakwa kerana didapati tidak melakukan jenayah.

Kuwait Gesa Boikot Negara Yang Tidak Hormat Kesucian Islam

Seramai 41 penggubal undang-undang Kuwait menggesa semua ahli parlimen dunia memboikot negara-negara yang tidak menghormati kesucian agama Islam. Ini susulan tindakan pelampau sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang telah membakar naskhah al-Quran sekali gus mencetuskan provokasi terhadap umat Islam seluruh dunia. Negara itu juga mengecam kerajaan Sweden kerana mengizinkan perbuatan hina itu dibuat dan merayu semua negara memboikot kerajaan negara tersebut dan semua negara yang tidak menghormati nilai-nilai suci umat Islam. Selain itu, mereka menegaskan bahawa tindakan berkenaan ‘tidak menjejaskan kesucian al-Quran dalam hati setiap orang yang bertamadun’ dan Menteri Luar Kuwait, Sheikh Salem Abdullah Al-Jaber Al-Sabah memberi amaran bahawa tindakan sedemikian akan membakar perasaan umat Islam seluruh dunia dan merupakan provokasi berbahaya bagi mereka.

BIADAP! Pelampau Yahudi Kencing Di Perkarangan Al-Aqsa

Islamophobia terus dicetuskan oleh pembenci Islam di Baitulmuqaddis, apabila Pelampau Yahudi bertindak mencemarkan perkarangan Masjidil Aqsa dengan kencing di tapak suci itu baru-baru ini. Menerusi sebuah rakaman yang dikongsi oleh media Timur Tengah, kelihatan dua orang peneroka Yahudi sedang meminum arak, manakala seorang pelampau membuang air kecil di satu sudut sekitar tapak suci berkenaan. Tindakan pencabulan Masjidil Aqsa itu berlaku susulan kesinambungan provokasi rejim haram apartheid Israel terhadap tapak ketiga paling suci bagi umat Islam. Khamis lalu, puluhan pelampau Yahudi menyerbu perkarangan masjid di bawah perlindungan tentera rejim. Mereka menaikkan bendera rejim haram bahkan memperlihatkan tarian provokatif di dalam kawasan sekitar masjid. Sehubungan itu, gerakan pejuang HAMAS menyeru rakyat Palestin dari semua lapisan masyarakat untuk bergerak ke masjid, meningkatkan kehadiran sekali gus melindungi tapak suci daripada pencerobohan berulang oleh penjajah Israel. Gerakan pejuang itu turut menggesa umat Arab dan Islam bersama-sama menyokong keteguhan rakyat Palestin dan berusaha untuk melindungi mereka daripada pencabulan pendudukan Israel.

Negara Barat Harus Berhenti Hina Kitab Suci

Speaker Parlimen Turkiye, Mustafa Sentop menegaskan Negara-negara Barat harus segera menghentikan permainan bahaya ini dan menamatkan penghinaan terhadap kitab suci. Beliau membuat kenyataan tersebut susulan tindakan ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan membakar naskhah al-Quran di hadapan sebuah masjid selain mengatakan bahawa dia akan membakar kitab suci umat Islam setiap hari Jumaat sehingga Sweden diterima masuk dalam pakatan NATO. Tindakan Islamofobia nya itu mengundang kecaman antarabangsa hinggakan Turkiye menggelar Paludan sebagai ‘pembohong yang membenci Islam’ sekali gus mengutuk sekeras-kerasnya kebenaran yang diberikan pihak berkuasa untuk tindakan provokatif itu. “Hakikat bahawa tindakan provokatif terhadap Islam yang menghina nilai-nilai suci kita dibenarkan oleh pihak berkuasa Sweden atas nama kebebasan suara, bahawa Belanda mengabaikan serangan di negaranya sendiri, dan Denmark mengikuti perkara itu, adalah isu yang perlu dipertimbangkan dengan teliti,” ujar Mustafa. Tambah beliau, perbuatan itu menunjukkan ‘mentaliti kebencian’ Barat yang tidak menghormati kepercayaan. “Walaupun begitu, kita umat Islam wajib berwaspada, bersederhana, munasabah dan bermaruah. Kita tidak boleh meninggalkan prinsip menghormati perbezaan yang telah diajar oleh agama dan tamadun kita, menyuruh kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran,” kata Mustafa lagi. Beliau juga berpendapat, suara dari negara-negara dan organisasi Islam sangat lemah dalam berhadapan dengan tindakan provokatif ini. Tegasnya, reaksi di peringkat tertinggi dalam badan antarabangsa diperlukan selain respon individu.

Kesimpulannya:

Sekalipun kita berbeza pandangan dengan mana-mana agama di dunia ini kita tidak boleh bertindak sebagai pelampau misalnya membakar al-Quran ataupun merosakkan rumah ibadat. Itu bukanlah satu sikap sejagat yang universal. Kebebasan bersuara itu bukanlah satu tiket untuk menghina sesiapa. Jika benar-benar bertamadun pasti sikap hormat menghormati dan toleransi sudah menjadi pegangan asas yang kukuh setiap umat manusia di bumi ini.

Atas semua perkara yang telah berlaku maka benarlah firman Allah SWT:

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang dan redha denganmu dan umatmu selamanya hingga kamu mengikuti agama dan hawa nafsu mereka. Dan katakanlah kepada mereka hai Rasulullah: “Agama Islam adalah agama yang benar.”. “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan(al-Quran) diturunkan dan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. (QS Al-Baqarah [2]: 120). Dan Ingatlah Allah adalah sebaik-baik penolong kamu.

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button