Pemimpin yang rakyat Malaysia mahukan adalah pemimpin yang lebih sayangkan rakyat termasuklah bangsa, agama dan negara daripada parti.
Namun bagi Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, banyak pemimpin hari ini mempunyai kriteria yang tidak bersifat mengangkat kepentingan ummah.
“Kepentingan tersebut lebih kepada kepentingan peribadi atau parti. Saya akui ia merupakan satu realiti kehidupan. Oleh itu, kita perlu ada satu penanda aras.
“Mereka terpaksa untuk meletakkan faktor parti ini sebagai strategi untuk menggunakan kuasa namun rakyat tidak terlibat dalam proses itu,” katanya.
Ahmad Yazid berkata demikian ketika menjawab soalan Perbincangan Rakyat Demi Melayu menerusi tajuk ‘Memo Rakyat: Pemimpin Yang Dimahukan’.
Bagi Ahmad Yazid, sebagai cendekiawan atau badan bukan Kerajaan (NGO), rakyat perlu diterangkan kriteria yang sepatutnya ada pada diri seseorang pemimpin.
“Kalau boleh, mereka itu bukanlah pemimpin yang popular serta pandai bercakap atau buat lawak semata-mata tetapi tidak memahami fungsi sebagai pemimpin.
“Sedangkan tujuan mereka dilantik adalah untuk memastikan negara ini membangun mewakili aspirasi rakyat tanpa mengabaikan apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara,” jelasnya.
Melihat trend politik semasa, Ahmad Yazid memberitahu terdapat banyak pemimpin bersembunyi di sebalik program Kerajaan dan memberi keyakinan bahawa program tersebut sangat berkesan.
“Tidak kiralah sama ada mereka berada di dalam kerajaan atau di luar kerajaan, mereka mewakili rakyat dan diberikan amanah untuk melakukan check and balance dalam Parlimen, kabinet, kerajaan dan sebagainya.
“Jika tujuan pemimpin kita hanya untuk mengiyakan apa yang pemimpin mereka dalam parti katakan, apa faedah dan kepentingannya untuk rakyat?” soal Ahmad Yazid.
Tambah Ahmad Yazid, ramai yang menyalah fahamkan konsep feudal yang memberi kuasa kepada pemimpin ini sebagai mutlak sedangkan itu bukan feudal kepada pemimpin parti politik sahaja.
“Feudal itu kepada pemimpin negara, kepentingan dan amanah kepada negara perlu difahami dalam konteks yang sebenar.
“Jadi, kita tidak perlu berlumba-lumba untuk pertahankan semua dasar kerana ia datang daripada kerajaan dan parti yang kita suka,” katanya.
Kerana kegagalan parti untuk menguruskan perbezaan, apabila hendak mengundi, dia akan menyokong perkara yang tidak betul dan tidak mementingkan kepentingan rakyat kerana hanya mahu mendapatkan undi daripada 222 orang sedangkan rakyat 30 juta.
“Siapa yang akan memastikan kepentingan rakyat 30 juta ini dapat dibina dan dipertahankan? Kita harapkan dalam masa terdekat, pemimpin-pemimpin yang akan datang lebih memahami fungsi tugas mereka.
“Lebih-lebih lagi dalam konteks kepentingan dan tanggungjawab kepada rakyat, agama, bangsa dan negara mengikut apa yang difahami oleh Perlembagaan negara,” katanya.