Isu Semasa

Buang Negara: Jocelyn Chia Ketawa Dengar Keputusan Singapura?

TINDAKAN pelawak solo wanita kelahiran Singapura, Jocelyn Chia yang menghina Malaysia menerusi lawak jenaka dalam sebuah persembahan komedi berdiri memakan dirinya sendiri apabila dia kini disahkan bukan lagi warganegara negara itu.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon pada Rabu.

Vanu Gopala berkata, kerajaan Singapura turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan melampau pelawak berkenaan.

Beliau mengakui terkejut dengan sketsa komedi Jocelyn yang telah menyinggung ramai pihak terutamanya rakyat Malaysia.

“Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain dan Chia, yang bukan lagi warganegara Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas komen-komen menyakitkan daripadanya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Vanu Gopala menambah, sebagai negara jiran yang paling dekat, Singapura dan Malaysia mempunyai ikatan yang amat mendalam dan kedua-dua negara itu juga menikmati hubungan yang kukuh di pelbagai peringkat.

“Kita juga mempunyai hubungan sejarah yang unik dan hubungan erat antara rakyat dengan rakyat.

“Komen-komen seperti yang dibuat oleh Chia tidak membantu, malah merosakkan kepercayaan dan ikatan persahabatan erat yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyatnya,” ujarnya.

Majoriti pada Rabu melaporkan, Jocelyn membuat sketsa komedi berupa penghinaan terhadap negara Malaysia apabila beberapa kali membangkitkan isu perkauman serta membandingkan kemajuan yang dimiliki antara kedua-dua negara terbabit.

Satu video berdurasi 1 minit 29 saat yang tular di media sosial memaparkan tindakan individu berkenaan dilihat sengaja mempersendakan Malaysia.

Antara isu yang dibangkitkan sebagai bahan jenaka dalam persembahan itu adalah berkenaan kemajuan ekonomi Malaysia yang dikatakan lebih rendah berbanding Singapura yang diiktiraf sebagai negara membangun di mata dunia.

Selain itu, Jocelyn turut memetik beberapa isu hangat berkaitan tragedi kehilangan pesawat MH370 yang berlaku pada 2014. — Majoriti

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Sertai Komuniti Demi Malaiu
Kongsi cerita anda dengan kami dan dapatkan kemaskini semua kandungan dari semua platform media sosial Demi Malaiu