Malaysia adalah sebuah negara yang rakyatnya berbilang agama, kaum dan budaya. Menjadi perkara biasa bagi rakyat Malaysia untuk saling mengunjungi rumah jiran tetangga ataupun rakan taulan bila tiba perayaan masing-masing. Namun ini tidak bermakna kita boleh ‘pejam mata’ dalam meraikan perayaan budaya lain yang terang-terangan boleh mendatang syirik, contohnya macam Psta Bon Odori.
Pesta Bon Odori seperti yang diketahui berasal dari negara Jepun. Pesta ini yang juga dikenali sebagai Obon atau Bon merupakan gabungan kepercayaan Jepun Kuno dengan agama Buddha Jepun dalam menghormati roh nenek moyang mereka. Perayaan ini telah disambut lebih dari 500 tahun dahulu dan kini masih disambut oleh rakyat Jepun moden serta menjadi festival di negara luar selain Jepun. Tarikh festival ini berbeza mengikut kalendar Lunar di mana selalunya diadakan pada bulan Julai dan Ogos. Bon Odori juga banyak dipengaruhi dari ‘Hungry Ghost Festival’ iaitu ‘Pesta Hantu Lapar’ dari agama Buddha.
Di Malaysia, beberapa buah negeri sering mengadakan Pesta Bon Odori sebagai tanda meraikan budaya Jepun serta menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara. Pelbagai pertunjukan kebudayaan, pesta makanan serta persembahan dihidangkan di pesta ini. Pengunjung boleh memakai Yukata atau Kimono, pakaian tradisional Jepun untuk merasai pengalaman festival ini seperti di Jepun.
Tetapi kita sebagai umat Islam harus berjaga-jaga ketika meraikan sesuatu. Janganlah kerana kita seronok melihat orang lain menyambutnya, kita juga turut ikut serta tanpa usul periksa terlebih dahulu. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu golongan, maka dia adalah sebahagian daripada golongan tersebut,” — Hadis Riwayat Abu Dawud.
Baca juga>> Tolak Palestin Sebagai Ahli Penuh PBB, Amerika Hikporit!- Presiden MAPIM
Pada tahun 2022, Menteri Agama (JPM) ketika itu, Datuk Idris Ahmad menegaskan kepada umat Islam untuk menjauhi pesta seperti Bon Odori ini kerana takut tergelincir akidah. Larangan ini juga turut disarankan oleh Mufti Pulau Pinang waktu itu, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor yang juga mencegah umat Islam dari menyertai Pesta Bon Odori kerana dikhuatiri syirik. Beliau berkata, “Acara ini mengingati roh atau semangat nenek-moyang yang dikhuatiri boleh membawa kepada syirik. Orang Islam mesti selalu menjaga kesucian kepercayaan mereka.” Beliau juga menambah, “Mengingati roh nenek-moyang dengan menari, menyembah semangat mereka dan sebagainya tidak digalakkan dalam Islam. Ini boleh membawa dosa syirik kepada Allah,”.
Seperti yang diketahui, antara upacara utama di dalam Bon Odori adalah ritual menari mengelilingi api atau kadangkala mengelilingi pentas dipanggil ‘yagura’. Tarian ini merupakan satu simbolik menjemput roh orang yang sudah mati (termasuk nenek moyang mereka) ke festival tersebut. Jika dilihat dari sudut lain, perbuatan ini adalah memuja roh nenek moyang yang tentunya bertentangan dengan Islam.
Dalam keghairahan anak muda ingin mengikut apa yang mereka tonton di dalam drama, anime dan juga manga, mereka lupa untuk mengambil kira dari sudut keagamaan. Mereka fikirkan hanya ikut untuk suka-suka sedangkan sudah terang upacara itu adalah seperti ritual memuja! Jika mereka hanya menghadiri pesta tersebut hanya untuk mempelajari budaya luar sambil menikmati makanan, mungkin tidak mengapa. Namun mereka juga turut menari bersama-sama penganut agama lain seperti upacara asal Obon iaitu tarian memanggil roh nenek moyang. Ini sudah jelas melanggar syariat Islam kerana memuja sesuatu selain Allah.
Penegasan perlu dibuat supaya akidah anak muda Islam di negara kita tidak lagi terpesong kerana terpengaruhkan budaya luar. Jika ingin mempromosikan sebuah budaya, boleh saja tukarkan nama menjadi ‘festival kebudayaan’ dan jika terdapat upacara yang boleh mendatangkan syirik seperti Bon Odori ini, umat Islam harus peka dan menjauhi dari pesta tersebut. Memahami latar belakang dan unsur-unsur keagamaan sesebuah perayaan boleh membantu Muslim membuat keputusan yang bijak dan menjaga keutuhan akidah mereka. Mengelakkan amalan yang berunsur syirik dan menghormati kepercayaan orang lain adalah cara terbaik untuk mengimbangi penghormatan budaya dan kepercayaan agama.