Sesungguhnya dunia sementara yang didiami manusia ini tetap milik Allah SWT.
Maka apabila sudah kata pemilik, bahkan penciptanya, segala yang terjadi adalah urusanNya.
Siapa kita untuk panaskan hati marahkan banjir setelah hilang harta dan nikmat dunia?
Adakah kita terlupa kita diciptakan untuk mengingati Allah SWT lebih daripada segala-galanya?
Sekiranya kita melihat banjir sekadar satu bencana, wajarlah ditambah pandangan yang lain.
Allah SWT cuma menegur, dunia ini Dia yang punya, usah dikejar dunia yang sementara.
Kepada mangsa-mangsa banjir, anggaplah Allah SWT memberi peluang yang cukup istimewa.
Bersyukurlah kerana Allah SWT hadirkan rasa ‘tiada yang penting tentang dunia sementara’.
Bersyukurlah Allah SWT hadirkan rasa ‘kejar dunia bak gila namun akhirnya hilang begitu sahaja’.
Bersyukurlah Allah SWT beri hadiah tanda sayang dan kasih kepada umatnya dengan cara banjir.
Memang banjir itu fenomena alam namun ternyata Allah SWT maha agung maha bijaksana.
Takkan Dia aturkan magis yang sukar diterima akal manusia biasa, sudah tentu logik akan diterima.
Maka kita sebagai hamba melihat banjir puncanya daripada hujan dan tempiasan angin.
Namun di sebalik semua pergerakan alam ini, tiada pun yang ingkar menurut perintah Allah SWT.
Kita sudah semakin menuju ke fasa akhir zaman, buanglah rasa cinta dunia yang berlebihan jika ada.
Istiqomah untuk beribadah kerana perjalanan kita masih jauh dan bukan terhenti di dunia sahaja.