Isu Semasa

Benarkah hanya pelajar UM perlu bayar yuran sebelum daftar subjek?

Baru baru ini tular di media sosial di mana pelajar Universiti Malaya (UM) berpiket membantah pentadbiran UM yang mahu para pelajar mereka menjelaskan yuran terlebih dahulu sebelum mendaftar subjek atau dikenali juga sebagai ‘Zero Balance Policy’ atau ‘Polisi Baki Sifar’. Setakat ini, hanya Universiti Malaya yang melaksanakan polisi tersebut.

Kejadian ini bukan pertama kali berlaku di dalam Universiti Malaya. Pada tahun 2022, pihak pentadbiran UM telah memperkenalkan polisi yang sama tanpa notis tetapi telah dilonggarkan setelah mendapat bantahan pelajar.

Namun, tahun ini, pihak Universiti Malaya sekali lagi mengulangi polisi yang sama tanpa menghiraukan bantahan pelajar tahun lalu.

Atas rasa ketidakadilan itu, KMUM (Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya) menuntut supaya pihak pentadbiran UM untuk memansuhkan terus polisi tersebut yang dikatakan menindas pelajar.

Menurut KMUM, para pelajar tidak diberitahu terlebih dahulu dan mereka tidak ada masa yang banyak untuk menjelaskan bayaran mengikut masa yang ditetapkan. Bagi mereka, polisi ini membebankan, lebih-lebih lagi buat pelajar dari golongan B40.

Manakala, UM mengatakan hanya kurang dari  4% pelajar yang terkesan dengan polisi ini iaitu pelajar yang tidak mengemas kini status penajaan, bantuan pendidikan atau para pelajar yang memerlukan bantuan kewangan. 

Pihak UM juga menjelaskan yang terdapat kenaikan hutang pelajar pada Jun lepas iaitu sebanyak RM 51.20 juta berbanding RM 47.33 juta Disember tahun lalu. Mereka juga yakin yang polisi ini tidak akan membebankan pelajar dan dapat membantu dalam usaha untuk menyelesaikan masalah hutang pelajar yang banyak tertunggak.

GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia) juga turut membantah polisi baki sifar Universiti Malaya yang sepatutnya tidak perlu dilaksanakan. Rata-rata pelajar tidak mempunyai wang yang cukup di awal semester dan ini akan menyulitkan mereka untuk menjelaskan yuran. GAMIS juga mahu KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) untuk menyemak semula polisi dari UM ini dan mahu semua pelajar bersatu membantah polisi tersebut.

KPT pula memaklumkan akan meneliti sejauh mana keseriusan isu ini atas dakwaan pelajar UM yang menyatakan polisi baki sifar membebankan mereka. Menurut pihak KPT, walaupun polisi itu telah ditetapkan, mereka mempunyai kaedah terbaik untuk meringankan beban kewangan pelajar.

Diharap pihak Universiti Malaya dan para penuntut dapat mencapai kata sepakat yang menguntungkan kedua pihak. Para pelajar seharusnya fokus dalam pembelajaran namun jika polisi ini diteruskan, segelintir dari mereka tentunya hilang fokus tersebut kerana harus mencari wang dengan segera. 

Walaupun hanya 4% iaitu lebih kurang 807 orang pelajar Universiti Malaya akan terkesan, ia masih melibatkan sejumlah pelajar yang akan mengalami kesulitan meneruskan pendidikan mereka. Mereka juga permata yang perlu digilap dan bukan diabaikan. 

Oleh itu, semoga ada jalan penyelesaian terbaik untuk pelajar dan universiti supaya anak-anak muda kita yang dahagakan ilmu dapat terus menuntut tanpa rasa terbeban. Diharap juga pihak universiti mendapat bayaran dari yuran yang tertangguh supaya wang tersebut dapat digunakan untuk membantu bakal pelajar UM di masa akan datang serta dapat menyediakan fasiliti yang lengkap dan lebih bagus untuk para pelajar mereka.

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button