EkonomiIsu SemasaSejarah

Belenggu Kemiskinan Melayu

Dalam keadaan penduduk negara kita bakal mencecah 34 juta orang, kita masih lagi jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek kenegaraan seperti ketenteraan, sosial, ekonomi, pendidikan,  kesihatan, perindustrian dan lain-lain aspek yang diperlukan untuk membina peradaban yang  mampan. 

Kaum Melayu yang membentuk majoriti negara ini masih keciciran dari aspek ekonomi. Menurut  kajian oleh London School of Economics (LSE), majoriti dari kalangan rakyat termiskin negara ini  adalah dari kaum Melayu.  

Perkara ini adalah rentetan dari penjajahan Barat yang memisahkan bangsa mengikut kerjaya dan  kedudukan mereka di dalam penjajahan. Bangsa India dijadikan buruh di ladang, bangsa Cina  pula menjadi pelombong bijih timah dan peniaga manakala Kaum Melayu dipinggirkan sebagai  petani tanpa hala tuju.  

Dari golongan B50, yakni 50% rakyat termiskin di negara ini, 75% adalah daripada kaum Melayu.  Ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan. Bukan sahaja punca permasalahan ini perlu  diketahui bahkan penyelesaian pelbagai peringkat juga perlu diberikan.  

Tiada jalan mudah untuk mengeluarkan kaum Melayu dari kemiskinan, ramai yang terperangkap  dalam pelbagai masalah seperti ekonomi, sosial, kesihatan, pendidikan dan lain-lain aspek sahsiah. Keciciran ekonomi boleh menjadi pemangkin kepada penularan masalah-masalah lain. 

Sebagai contoh, orang yang miskin, akan mengutamakan keperluan kehidupan terlebih dahulu,  pertama sekali tentulah makanan, seterusnya pakaian dan tempat tinggal. Andai kata duit atau  sumber kewangannya telah habis digunakan untuk tiga perkara di atas, maka tiadalah kewangan  yang berbaki demi pendidikan dan kesihatan. 

Maka apabila orang yang berada di dalam belenggu ekonomi seterusnya mempunyai generasi  baru, maka mereka akan keciciran dari aspek pendidikan, mengalami kebantutan pertumbuhan,  tidak sihat dan membesar di dalam keadaan sosial yang tidak membina. 

Perkara-perkara ini jika diteliti akan menghasilkan satu kitaran di mana mereka yang terperangkap  ini tidak mungkin dapat mengeluarkan diri mereka dari belenggu kemiskinan, bahkan akan  sangkut lebih dalam lagi dengan masa yang berlalu. 

Sebagai suatu langkah jangka panjang untuk mengatasi belenggu ini dan kemelesetan kaum  Melayu di dalam arena ekonomi, kita boleh melihat kembali kepada kejayaan FELDA. Kita tidak  menafikan masalah sistemik yang mungkin wujud di dalam FELDA itu sendiri, tetapi secara  umumnya FELDA telah terbukti berjaya dalam mengeluarkan kaum Melayu daripada semakin  terjebak di dalam masalah ekonomi yang wujud ketika itu.  

Sungguhpun dari aspek penanaman Kelapa Sawit negara tidak lagi memerlukan penanaman  baru, dan yang sedia ada lebih daripada mencukupi, negara memerlukan kepada tanaman dan  sumber ternakan lain untuk mencukupkan keperluan dalam negara. 

Menurut Khazanah Research Institute (KRI), penghasilan beras kita hanya mampu memenuhi 65%  daripada keperluan negara. Ini sesuatu yang membimbangkan, kerana kelopongan ini akan diisi  oleh beras import, yang bermakna secara umumnya kita berada di bawah belas kasihan dan  ehsan negara pengeksport beras. 

Sekiranya harga beras naik, atau keperluan beras negara meningkat, kelopongan antara  penghasilan dan keperluan beras ini boleh mendatangkan masalah yang serius dalam kestabilan  negara.  

Baca juga>> Orang Melayu Perlu Bersungguh Sokong Produk Bumiputera Kalau Tak Nak Pupus Nanti

Apa yang lebih menakjubkan adalah pengeluaran daging khinzir negara adalah 93.4% dari  keperluan, manakala pengeluaran daging lembu sekadar 18.9% keperluan manakala daging  kambing hanya mampu menampung 11.5% (Zafrie et al., 2022) keperluan negara.

Sumber protein bagi keperluan majoriti rakyat negara ini adalah tidak mencukupi secara ketara,  dan senantiasa mendatangkan masalah kepada pentadbiran negara ini tanpa mengira parti  menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri khususnya. 

Walaupun pengeluaran ayam berada pada tahap 99.9% (KRI), namun pengawalan ketat kartel  perusahaan ayam menjadikan harga dan bekalan ayam semata-mata di bawah kawalan kartel dan  bukan kerajaan.  

Jikalau terdapat apa-apa isu yang mana kartel ayam tidak berpuas hati dengan kerajaan, maka  pengeluaran akan disekat, tindakan ini secara langsung akan mengakibatkan kenaikan harga  daging ayam secara pukal. 

Penternakan ayam dari semua aspek seperti penetasan ayam, ayam daging, ayam telur, dan lain lain lagi memerlukan kepada diversifikasi demi meleburkan kekuasaan kartel ke atas industri ini.  Namun, perkara ini tidak dapat dilaksanakan tanpa penglibatan aktif kerajaan dan  penguatkuasaan yang tidak berbelah bagi. 

Pengapungan harga ayam telah dilaksanakan pada 1 November 2023 belum menunjukkan kesan  yang ketara dalam membantu mengurangkan harga daging ayam, barangkali kerana belum diuji  oleh perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. 

Pernah berlaku di negara kita pada hujung tahun 2022 dan awal tahun 2023, di mana telur  terpaksa diimport dari India, sedangkan pengeluaran telur negara berada pada tahap 114.4%,  bukan sahaja mencukupi bahkan berlebihan dan boleh dieksport. 

Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa adalah lebih menguntungkan jual ayam dan  telur di Singapura berbanding di negara sendiri, maka kekurangan daging ayam dan telur ayam  bukanlah sesuatu yang berlaku secara semulajadi tetapi diada-adakan. 

Terdapat banyak lagi ruang pembaikan dalam memenuhi keperluan negara dari aspek makanan,  kerana makanan merupakan salah satu asas bagi kehidupan manusia dan kestabilan negara. Kita  bukan tidak cukup tanah pertanian seperti negara jiran kita, namun, perkara ini perlu dilakukan  dengan berhikmah supaya tidak menjejaskan alam sekitar kita yang kian goyah. 

Boleh sahaja satu inisiatif baru dimulakan oleh kerajaan untuk memantapkan ekonomi kaum  Melayu seperti FELDA. Pada permulaannya untuk memenuhi keperluan makanan negara dan  seterusnya untuk pasaran eksport. 

Ini akan meningkatkan keterjaminan makanan dalam negara serta kestabilan dalam negara juga  akan lebih terjamin.

Menarik: PEMIMPIN YANG PEGANG AMANAH,NEGARA MAKIN MAJU (DATO’ HJH JULITA ILHANI ABDUL JABBAR)

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker