Sejarah

Belanda Terpaksa Tandatangan Perjanjian Damai Dengan Daing Kemboja Pada 1758

Pada 1 Januari 1758, satu perjanjian damai telah ditandatangani di antara pihak Belanda dengan Yam Tuan Muda Riau, Daing Kemboja.

Turut bersama menandatangani perjanjian ini ialah Raja Tua Kelang, Raja Adil dari Rembau dan Raja Lumu dari Selangor.

Perjanjian ini ditandatangani berikutan peperangan yang berlanjutan di antara orang-orang Belanda di Melaka dengan orang-orang Bugis yang dipimpin oleh Daing Kemboja.

Permusuhan di antara orang-orang Belanda dan orang-orang Bugis bermula dari sengketa di antara orang-orang suku Melayu yang di bawah pengaruh Tun Dalam dan orang-orang suku Bugis yang diketuai oleh Daing Kemboja.

Sultan Sulaiman, Sultan yang memerintah kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang telah melantik Daing Kemboja sebagai Yam Tuan Muda Riau III selepas kemangkatan Daing Celak.

Tuan Dalam yang tidak senang dengan pengaruh orang-orang Bugis di Riau telah mengambil kesempatan dari permusuhan orang-orang Bugis di Linggi.

Peperangan di antara Daing Kemboja dengan pihak Belanda berlarutan sehingga bulan Mei 1757, apabila satu perjumpaan telah diadakan di antara Gabnor Belanda di Melaka, dengan Sultan Sulaiman dari Riau, Raja Selangor serta beberapa pembesar-pembesar Bugis dari Selangor, akhirnya dalam tahun 1758 satu Perjanjian Perdamaian telah ditandatangani.

Di antara lain kandungan perjanjian tersebut menyatakan:-

  • Sahabat kepada Kompeni Belanda, terutama Sultan Johor, menjadi sahabat juga kepada pihak-pihak yang membuat perjanjian dengan Belanda itu.
  • Bijih Timah yang dikeluarkan dari daerah-daerah mereka itu hendaklah dijualkan kepada Kompeni Belanda sahaja, dengan harga 32 dollar Sepanyol pada tiap-tiap satu bahara yang beratnya 300 kati dan ditambah 2 ringgit lagi sebagai hadiah kepada raja yang berkuasa ditempat penjualan timah itu.

Dengan perjanjian perdamaian yang ditandatangani ini persengketaan di antara Daing Kemboja dengan pihak Belanda telah berakhir dan perniagaan-perniagaan telah dapat dijalankan semula.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button