Menyampaikan wahyu merupakan tugas malaikat Jibril. Telah diceritakan bahawa malaikat Jibril sering bertemu dengan Nabi Muhammad SAW untuk menyampaikan wahyu sebelum Baginda SAW menyebarkannya kepada umatnya.
Kebanyakan pertemuan Nabi Muhammad SAW dengan malaikat Jibril tidak diketahui orang ramai, namun ada juga perjumpaan mereka yang diketahui dan dapat dilihat oleh para sahabat.
Kisah ini diceritakan hadis dalam sebuah kitab yang sangat masyhur iaitu kitab Imam Nawawi yang dikenali sebagai Iman, Islam dan Ihsan. Ia diceritakan oleh Saidina Umar RA yang mana ketika para sahabat duduk di antara Nabi Muhammad SAW dalam satu majlis.
Tiba-tiba datang seorang lelaki yang tidak mereka kenali dalam keadaan pakaian serba putih dengan rambut yang sangat hitam, selain tidak ada langsung kotoran di pakaiannya yang menunjukkan dia sedang bermusafir.
Hal ini kerana, di tanah Arab sekiranya seseorang itu sedang dalam perjalanan pasti akan meninggalkan kesan-kesan debu pada pakaian, namun tidak pada lelaki itu.
Kemudian, lelaki itu datang menuju ke Rasulullah SAW dan duduk di hadapannya dengan lutut bertemu lutut. Lelaki itu meletakkan tangannya di atas peha Rasulullah SAW. Selepas itu, lelaki itu bertanyakan soalan kepada Rasulullah SAW.
“Wahai Muhammad, khabarkan kepadaku tentang Islam,”
“Islam itu adalah kamu bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Dan hendaklah kamu mengerjakan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan ramadan dan juga menunaikan Haji ke Baitullah sekiranya kamu mampu,” jawab Rasulullah SAW.
“Benar katamu wahai Muhammad,” ujar lelaki itu.
Dan pada ketika itu, para sahabat kehairanan kerana lelaki itu bertanya kemudian dia juga membenarkan kata-kata Nabi Muhammad SAW.
Kemudian, lelaki itu terus bertanya lagi kepada Rasulullah SAW, “Wahai Muhammad, khabarkan kepadaku apa itu iman?”
Lalu Nabi Muhammad SAW pun bersabda, “Hendaklah kamu beriman kepada Allah, kepada malaikat-malaikatnya, kitab-kitabnya, kepada rasul-rasulnya, kepada hari kiamat dan hendaklah kamu beriman juga kepada ‘Qada’ dan ‘Qadar’ iaitu beriman dengan takdir yang baik mahupun dengan yang buruk,”
Maka lelaki itu berkata lagi, “Benar katamu wahai Muhammad,” dan bertanyakan pula soalan ketiga tentang ‘ihsan’.
Rasulullah pun menjawab, “Hendaklah kamu beribadah kepada Allah SWT seperti seolah-olah Allah sedang melihat kamu. Sekiranya kamu tidak melihat Allah, Sesungguhnya Allah Sentiasa melihat kamu,”
Maka lelaki itu pun bertanyakan lagi kepada baginda, “Khabarkan kepadaku bilanya terjadi hari kiamat?”
“Orang yang bertanya adalah lebih mengetahui daripada orang yang ditanya,” ujar Nabi Muhammad SAW.
Lelaki itu bertanya lagi kepada Rasulullah SAW, “Khabarkan kepadaku tanda-tanda kiamat,”
“Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya, apabila engkau melihat orang yang tidak berkasut, orang yang tidak berpakaian, dan juga pengembala kambing berlumba-lumba untuk membina bangunan yang tinggi,” Ujar Nabi Muhammad SAW.
Selepas selesai bertanyakan soalan-soalan itu, lelaki tersebut terus meninggalkan majlis tersebut. Nabi Muhammad SAW bertanyakan kepada Saidina Umar, “Wahai Umar, tahukah engkau siapakah lelaki yang menyoal aku tadi?”
“Hanya Allah dan rasulnya yang lebih mengetahui,” jawab Saidina Umar.
Maka Nabi Muhammad SAW bersabda, “Itulah Malaikat Jibril yang telah mendatangi aku, untuk mengajarkan kamu tentang pelajaran agama,” [Hadis Riwayat Muslim ]