Silat cukup dikenali sebagai salah satu warisan tanah air khusus buat bangsa Melayu sejak zaman-berzaman lagi terutamanya untuk mempertahankan diri daripada pelbagai serangan.
Dalam masa sama, silat disifatkan sebagai satu senaman tradisi dengan gerakan yang sangat unik selain mengandungi maksud tertentu bagi setiap bunga yang dipersembahkan.
Lebih menarik, seni bela diri ini memiliki lima elemen penting seperti spiritual, fizikal, intelektual, emosi dan sosial sekali gus menjadi kebanggaan bangsa Melayu.
Dari segi definisi, Prof. Dr. Supyan Hussin dalam kajiannya menemui perkataan silat berasal daripada perkataan silaturrahim dan ia bersandarkan kepada ajaran agama Islam.
Beliau yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Ekskavasi Dan Akreditasi Warisan Malaysia (Pedawam) berkata, silat dan agama Islam adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan.
Sesiapa yang belajar ilmu seni bela diri silat akan dikenali sebagai Melayu dan Melayu itu secara automatik akan menjadi Islam kerana tauhidnya kepada Allah SWT.
“Sehubungan itu, seseorang pesilat perlu bertanggungjawab untuk semua tindakan mereka kerana seni silat mengajar penuntutnya untuk tidak melanggar perimeter akidah,” katanya.
Supyan berkata demikian mengulas persoalan ‘Silat Dan Akidah : Di Mana Salahnya?’ yang menjadi tajuk Perbincangan Rakyat Demi Malaiu, baru-baru ini.
Aktivis dan pengasas Seni Silat Tari Melayu, Pendekar Mat Ali menegaskan setiap bangsa mempunyai identiti tersendiri dan silat terbentuk mengikut falsafah di sekitar mereka.
Kata Mat Ali lagi, silat yang ada di Tanah Melayu berbentuk subjektif, tidak seragam dan perbezaannya boleh dikenali menerusi gaya yang dipersembahkan.
“Kita boleh lihat jika silat di sebelah pantai timur seperti di Kelantan, lenggoknya sedikit meleweh.
“Manakala silat di sebelah selatan pula, gerakannya agak laju serta tangkas dan itulah yang dikatakan silat Melayu itu memiliki versi yang pelbagai,” katanya.
Tambah Mat Ali, kesemua ini banyak diwarisi daripada generasi bangsa Melayu yang terdahulu menerusi pertempuran sekali gus boleh disifatkan sebagai salah satu cabang ilmu perang.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang, Tuan Guru Sheikh Abdul Raof Haji Nurin Hafidzahullah berkata, salah faham generasi hari ini terhadap silat harus diperbetulkan untuk kelestarian warisan sepanjang zaman.
Antara isu yang perlu diberi perhatian adalah pencemaran seni bela diri silat dari sudut aqidah kerana yang rosak bukanlah ilmu silat tetapi permasalahan peribadi sang pesilat.
“Hal ini menjadi lebih buruk apabila ada dalam kalangan pesilat mengamalkan perbuatan yang tidak betul dengan mengetepikan aqidah berlandaskan Islam.
“Namun permasalahan ini hanya dilakukan oleh segelintir pesilat dan bukanlah mewakili majoriti pesilat berbangsa Melayu,” katanya.
Bagi menyelesaikan permasalahan ini, Sheikh Abdul Raof menekankan beberapa panduan yang boleh diterap sang pesilat untuk tampil lebih bersedia.
“Antaranya, semua pesilat harus memantapkan peribadi diri dengan rukun iman, ihsan dan Islam selain memperkemaskan ilmu pengetahuan berkait dengan agama.
“Dalam masa sama, berdampinglah dengan orang-orang soleh termasuklah para ulama dan sentiasa memeriksa diri mengenai tujuan asal mempelajari ilmu silat,” katanya.
Sebagai kesimpulan, panel PRDM untuk persoalan ‘Silat Dan Akidah : Di Mana Salahnya?’ berpendapat generasi muda bangsa Melayu perlu didedahkan dengan ilmu persilatan.
Paling tidak, bermulalah dengan ilmu seni silat yang asas untuk meningkatkan jati diri sebagai seseorang yang berbangsa Melayu.
Klik link untuk mengikuti rakaman penuh ‘Silat & Aqidah : Di Mana Salahnya?’
Anda juga boleh baca transkrip penuh Silat & Aqidah: Dimana Salahnya? disini.