Kerajaan Malaysia Madani harus menyemak semula silibus pendidikan agama Islam yang kurang lengkap kerana hanya memfokuskan tentang rukun Islam dan rukun iman.
Sedangkan untuk membina ummah yang kuat dan harmoni jiwanya, setiap insan harus mempelajari, memahami dan mengamalkan kesemua rukun agama yang lengkap.
Jika ditanya kepada umat Islam hari ini, ramai yang gagal menjawab sedangkan jawapannya cuma rukun Islam, rukun iman, rukun ihsan dan terdapat khilaf ulama, ia turut merangkumi tanda-tanda akhir zaman.
Padahal rukun agama ini adalah penting kerana dalam hadis riwayat Muslim, sahabat menyaksikan Jibril AS datang bertemu Rasulullah SAW dan bertanya tentang agama ini.
Rasulullah SAW Berguru Dengan Jibril AS, Lutut Bertemu Lutut
Daripada Umar r.a. katanya: Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w. tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih kainnya, sangat hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga dia duduk berdekatan dengan Rasulullah s.a.w. lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada kedua-dua lutut Rasulullah s.a.w. dan meletakkan kedua-dua telapak tangannya ke atas kedua-dua paha Nabi s.a.w.
Kemudian dia berkata: Hai Nabi Muhammad! Khabarkanlah kepadaku darihal Islam. Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa bulan Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya. Dia berkata: Benarlah engkau! Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.
Katanya lagi: Maka khabarkan kepadaku darihal Iman. Rasulullah s.a.w. menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman kepada takdir baik-Nya dan jahat-Nya. Dia berkata: Benarlah engkau!
Kemudian dia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan. Rasulullah s.a.w. menjawab: Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau.
Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.
Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).
Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai ‘Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.
(Hadis Riwayat Muslim)
9/10 Gagal Bercerita Cara Untuk Mencapai Tahap Rukun Ihsan
Sebelum bertanya kepada orang luar, cuba tanya diri kita terlebih dahulu, bagaimana caranya untuk mencapai tahap apabila beribadah seperti melihat Allah SWT?
Sedangkan semasa di sekolah dahulu misalnya, memang ada Penilaian Asas Fardhu Ain (PAFA) namun kita cuma diajar untuk menghafal (fikir) dan mempraktikkan solat misalnya (buat).
Namun cara untuk menikmati kemanisan saat berzikir, membaca al-Quran, solat wajib atau solat sunat, melakukan kebaikan sesama manusia, tiada yang mengajarnya.
Hal ini kerana ia termasuk dalam rukun ihsan dan cukup malang bagi jutaan pelajar Malaysia sejak berpuluh-puluh tahun yang lulus PAFA, kemudian sibuk dengan urusan dunia.
Sudahlah tidak berpeluang mempelajari rukun ihsan atau tanda-tanda akhir zaman misalnya, kena pula semasa di institut pengajian tinggi, kita atau anak-anak juga mendapat subjek keduniaan.
Dalam erti lain, tidak semua orang berpeluang untuk mendalami agama Islam itu sendiri secara strategik menerusi sistem pendidikan nasional dalam tujuan pembinaan ummah.
Tahu-tahu, bergelar graduan dalam bidang ekonomi, kejuruteraan, pendidikan atau reka cipta misalnya, dan subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) tetap gagal memberi mahasiswa yang faham tentang agamanya.
Maka apabila amalan-amalan rohani itu asing bagi kita atau anak-anak kita, sesuatu yang kita tidak biasa lihat, mudah untuk kita menuduh sesat atau melampau, sedangkan yang diucap itu cuma, “Allah.. Allah.. Allah..”
Begitulah malangnya nasib generasi hari ini yang berada dalam sebuah negara yang menjunjung Perkara 3 (1) bahawa Islam merupakan agama bagi Persekutuan, bukan agama rasmi, ia adalah agama yang hak.
Dunia sedang meniti akhir zaman, tanda-tanda kiamat juga sedang bertebaran dan kita sendiri pun tidak tahu daripada 73 jalan yang terbentang, adakah kita di jalan yang satu itu.
Ahli Sunnah Wal Jamaah Adalah Manhaj Akidah Umat Islam Di Malaysia
Cukup memalukan apabila ada seorang pensyarah Melayu yang memiliki kad pengenalan bertulis agama Islam gagal membezakan apa itu mazhab feqah, tauhid dan tasawwuf.
Dengan selamba dia bercakap kepada pelajar-pelajar beragama Islam yang jelas kurang ilmu bahawa dalam Islam itu wujud perbezaan yang harus dihormati.
Dengan selamba dia mengatakan perkara yang dibawa oleh Imam Syafie, Hambali, Maliki, Hanafi, Syiah, Qadiani serta Wahabi adalah satu perbezaan dalam Islam.
Mahu dimarah, tidak boleh, dia seorang pensyarah kanan, ilmu dunianya besar, sama seperti ego, menolak konsep ilmu dunia tidak seharusnya disandarkan kepada agama.
Sedangkan agama itu adalah tiang, nadi atau nafas bagi setiap kejadian di alam ini dengan izin Allah SWT namun itu adalah fakta yang cukup menakutkan.
Seorang pensyarah kanan boleh tidak tahu membezakan mazhab imam empat yang tiada masalah untuk diikuti dengan pemikiran yang menyeleweng yang jelas bertentangan, sebagai satu perbezaan dalam Islam.
Para professor yang ada dalam satu ruang yang sama juga, sepi, tidak tahu bagaimana untuk perbetulkan, kerana masing-masing tidak tahu apa manhaj akidah umat Islam di Malaysia.
Ahli sunnah wal jamaah itu cukup sempurna untuk umat Islam akhir zaman kerana kita bukan sahaja berpegang kepada al-Quran dan hadis, malah tidak dilupakan ijmak ulama dan qias yang ada.
Bayangkan jika ijmak ulama dan qias ini kita buang dalam urusan menghidupkan agama, pasti kita akan menjadi golongan yang sering pertikaikan, “Dalam tafsir al-Quran tiada sebut pun pasal tudung, rokok atau dalam hadis tiada pun tunjukkan Rasulullah SAW buat solat terawih sehingga 20 rakaat.”
Sedangkan kamus tebal pun kita tak baca, sedangkan Perlembagaan Persekutuan pun kita tak baca, pandai-pandai petik itu-ini kononnya dalam hadis tidak ada. Sedarlah kita ini cuma hamba yang lemah!
Ikuti Kami Di Facebook Ini
[wpdevart_like_box profile_id=”100089655426148″ stream=”hide” connections=”show” width=”330″ height=”100″ header=”small” cover_photo=”show” locale=”en_US”]Juga Sertai Whatsapp Berita Malaysia