Kecoh di sejak kebelakangan kini kekecewaan penduduk dunia terhadap pemimpin berkuasa besar dunia yang masih berdiam diri terhadap keganasan yang berlaku di Palestin. Pemberontakan demi pemberontakan, solidariti demi solidariti, malah penuntutan gencatan senjata dilakukan hampir di seluruh pelusuk dunia namun seperti tiada tanda-tanda pergolakan di bumi Palestin akan berakhir.
Sehingga kini, korban nyawa di Palestin sudah mencecah lebih 11,000 orang termasuk separuhnya merupakan wanita dan kanak-kanak. Semestinya insiden ketidakpedulikan nasib rakyat Palestin menimbulkan kekecewaan yang sangat mendalam terutamanya terhadap pemimpin Arab yang merupakan saudara seagama terdekat Palestin.
Berikutan hal ini, turut tular di media sosial terdapat perbahasan mengenai kebangkitan Islam di akhir zaman akan dimulakan daripada Timur.
Ada beberapa hadis yang mengulas tentang perkara ini dan setiap satunya mempunyai sudut pandangan tersendiri. Ada yang mengatakan ‘Timur’ merujuk kepada Timur di Nusantara namun ada sebahagiannya menolak dakwaan ini.
Walaubagaimanapun, sebagai seorang Islam, kita wajib untuk mengimani ayat-ayat Al Quran dan hadis sebagai penunjuk dan pegangan hidup kita. Allah telah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 26 yang bermaksud Allah berhak memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Oleh itu adalah menjadi satu kesilapan jika kita pada awalnya menolak mentah-mentah sekiranya pengharapan pembebasan Al-Aqsa diharapkan kepada bangsa Timur di Nusantara kerana menjadi hak Allah untuk mengangkat mana-mana sahaja bangsa atau keturunan yang Dia kehendaki.
Malahan Allah mengasihi hambaNya dengan menguji kita dengan pelbagai cara melalui musibah, kematian, kemuliaan dan sebagainya. Allah melihat sesiapa yang mengikhlaskan diri menerima dan memperjuangkan ujian tersebut dengan kebenaran. Berdasarkan peristiwa tragis Palestin ini, kita disaksikan siapa yang menjalani ujian ini dengan keredhaan, kebenaran mahupun pengkhianatan.
Berdasarkan sejarah penaklukan dunia oleh kerajaan Islam, mereka di datangkan dari leluhur yang berbeza seperti Penaklukan Al Aqsa oleh Saidina Umar bin Al-Khattab dari bangsa Arab dan Sultan Salahuddin Al Ayyubi dari bangsa Kurdish. Hal ini menunjukkan kejayaan penaklukan kota oleh tentera Islam ini tidak dihadkan pada sesuatu bangsa sahaja malah Allah membuka peluang ini kepada mana-mana bangsa yang berani menegakkan agama Allah di muka bumiNya. Jadi, tidak mustahil jika persediaan dilakukan, bangsa Nusantara juga terpilih untuk menyertai perjuangan pembebasan Al Aqsa ini.
Islam juga tidak terbina berdasarkan ilmu logik. Jika Allah berkehendak bangsa Melayu menjadi pembela Al Aqsa, maka jadilah ia. Islam sudah ditakdirkan menang dan wajib menang. Apakah ketika seruan kebangkitan itu dipanggil suatu hari nanti, kita masih berpeluk tubuh mengulang lagi harapan saudara Palestin yang sudah kecewa pada hari ini? Tegakah kita melihat sekali lagi tanah yang diwaqafkan oleh umat Islam ini terus menjadi tarahan kepada orang kafir?
Ternyata Masjidil Al Aqsa itu bukan tanah yang dimiliki orang Arab tetapi tanah yang dimiliki oleh orang yang dalam hatinya percaya kepada Allah dan Rasulnya. Jadi jika ada di antara kita yang masih punya pegangan ini dalam hatinya, tidak mustahil suatu hari nanti bangsa Nusantara juga antara yang layak menuntut bela atas rampasan Al Aqsa.
Baca juga:
>> Palestin Sebelum Diganyang Israel
Untuk tontonan video penuh: