Budaya

Balik Kampung: Budaya Tradisi Orang Melayu Berhari Raya Bersendikan Syarak

Akademi Watan Malaysia berpendapat budaya tradisi orang Melayu berhari raya adalah berlandaskan adat bersendikan syarak.

Menerusi satu status, Akademi Watan Malaysia yang dipimpin Bonda Tun Suzana Tun Othman berkongsi ilmu Melayu terkait dengan hari lebaran yang perlu diketahui lebih ramai.

Lebih-lebih lagi Aidilfitri secara hakikatnya merupakan manifestasi penzahiran atau amalan yang berteraskan nilai-nilai Islam yang tersirat di sebalik elemen-elemen budaya beraya orang-orang Melayu yang tersurat:

Bila orang Melayu balik kampung, istilah agamanya adalah untuk bersilaturrahim dengan sanak saudara,

Bila orang Melayu saling ziarah-menziarahi, itu juga silaturrahim dan ukhuwah Islamiyyah,

Bila orang kampung dan bandar bertakbir raya dari rumah ke rumah pada malam raya, ianya mengikat erat hubungan kasih sayang kejiranan yang sangat dituntut oleh agama Islam, sekaligus mensyiarkan hari kebesaran Islam,

Bila orang Melayu menziarahi perkuburan sanak-saudara, itu adalah untuk mendoakan keampunan, kesejahteraan dan kebaikan kepada yang dikasihi di alam Barzakh, selain sebagai peringatan yang menginsafkan kepada yang hidup bahawa itu destinasi terakhir kita di dunia, dan pintu kepada alam selanjutnya dalam perjalanan kita ke Hari Akhirat nanti,

Bila orang datang ke rumah untuk beraya, ianya asbab penghapusan dosa dan musibah, serta menjemput rezeki dan pahala yang berlipat ganda kepada tuan rumah,

Bila orang Melayu membuat kueh-mueh dan pelbagai juadah hari raya, ianya menzahirkan Firman Allah s.w.t sebagai Tuhan Maha Esa yang “mencipta bangsa-bangsa agar kamu saling kenal mengenal..” dan bangsa Melayu dikenali dengan bahasa dan adat budayanya, termasuk budaya berhari raya yang unik kepada bangsa ini,

Bila orang Melayu menghulur duit raya kepada anak-anak kecil, itu adalah hakikatnya sedeqah yang menggembirakan hati anak-anak, sebagai suatu sunnah Nabi saw yang sangat mencintai golongan ini. Dan sedeqah juga merupakan amal ibadat yang menjemput rezeki,

Bila orang Melayu bermaaf-maafan, ianya menghapuskan dosa, memulih, menghubung serta mengeratkan silaturrahim dan persaudaraan ukhuwah Islamiyyah yang sangat digalakkan dalam agama,

Bila orang Melayu memakai pakaian baru dan cantik untuk beraya, ianya adalah mengikuti sunnah Nabi saw, sebagai menzahirkan isyarat kegembiraan atas pengampunan dan redho Allah di pagi raya, serta mensyiarkan hari kebesaran Islam dalam wajah bangsa,

Bila orang Melayu menjemput kaum-kaum dari agama dan budaya lain ke rumah mereka untuk beraya, ianya sebagai suatu cara berdakwah dengan dakwah akhlak, kasih sayang, kerahmatan dan kemanusiaan, sebagai mengikut sunnah Nabi saw sebagai rahmatan lil’alamiin.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker