“Kami mengutuk sekeras-kerasnya kerajaan Sweden yang telah membenarkan seorang individu membakar al-Quran di depan sebuah Masjid di Stockholm pada hari sambutan Aidiladha di seluruh dunia,”tegas Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Menurutnya, perbuatan terkutuk itu adalah provokasi paling biadab dan umat Islam wajar melancarkan bantahan di seluruh dunia.
“Ini bukan kali pertama perbuatan biadab ini dilakukan di negara barat. Sebelum ini di AS dan Denmark pernah berlaku provokasi membakar al-Quran.”
Pihak kerajaan Sweden jelas menunjukkan sikapnya bila perbuatan cabul itu dibenarkan atas nama kebebasan pendapat.
Justeru, Kami menganggap penghinaan terkutuk ini sengaja dilakukan ketika umat Islam menyambut perayaan Aidiladha bukan sahaja sebagai satu sikap Islamofobia akan tetapi adalah provokasi mencetuskan ketegangan antara penganut agama.
“Kerajaan Sweden bertanggungjawab secara langsung terhadap tindakan bacul terbaru ini.”
Oleh kerana itu, negara Islam dan seluruh umat Islam berhak menyatakan pendirian membantah keras dan memberi respon tegas kepada Sweden.
Kami berpendirian, jika Sweden tidak memohon maaf dan menarik balik pendiriannya, perhubungan diplomatik dan perdagangan dengan Sweden hendaklah digantung.
“Kami menuntut agar duta Sweden dipanggil oleh kerajaan Malaysia bagi menyatakan protes tegas kepada negara itu,”tegasnya lagi.
“Kami turut menyarankan seluruh rakyat Malaysia merentas agama bersatu mengutuk Sweden dan menekan kerajaan tersebut agar memohon maaf dan menghukum individu yang membakar al-Quran di Stockholm itu sebagai perbuatan penjenayah yang tidak bertamadun.”
Terdahulu, kira-kira 200 penduduk menyaksikan perbuatan biadap Salwan Momika, 37, yang membakar kitab suci umat Islam itu di luar sebuah masjid utama di ibu negara Sweden.
Salwan pada mulanya mengoyakkan beberapa helaian al-Quran lalu mengelap kasutnya. Dia kemudian meletakkan hirisan bacon sebelum membakar kitab suci itu. Sementara seorang individu yang bersama Salwan pula dilihat melaungkan kata-kata menggunakan alat pembesar suara.
Perbuatan biadab itu dilakukan oleh lelaki berkenaan di luar masjid di Stockholm menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha dan mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Malah, tindakan itu turut mencetuskan kemarahan Turkiye ketika Sweden berusaha untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan mengecam dan menyifatkan tindakan Salwan membakar al-Quran sebagai perbuatan keji.
“Sudah tentu, tindakan anti-Islam seperti ini tidak boleh diterima sama sekali, apatah lagi dia menggunakan alasan kebebasan bersuara,” katanya.
Turkiye turut mengutuk keputusan pihak berkuasa Sweden yang membenarkan demonstrasi sedemikian dilakukan di luar masjid.
Insiden itu berlaku selepas polis meluluskan permit membenarkan Salwan melakukan pembakaran itu, dua minggu selepas mahkamah rayuan Sweden menolak tindakan polis membatalkan permit mengadakan demonstrasi di Stockholm termasuk membakar al-Quran.