Baru-baru ini, Kerajaan telah mengumumkan satu keputusan yang mengejutkan dan menimbulkan kontroversi apabila dikhabarkan selepas ini pelancong dari negara China tidak perlu lagi memohon visa untuk masuk ke Malaysia.
Keputusan ini secara tak langsung telah menimbulkan kemarahan dan kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia yang menganggapnya sebagai satu langkah yang tidak bijak dan tidak bertanggungjawab.
Sebelum ini, iaitu isu pelancong dari negara China yang tidak keluar dari negara selepas tamat tempoh visa telah menjadi perhatian utama dan belum juga diselesaikan sepenuhnya, ini nak tambah beban masalah lagi.
Sudah pasti rakyat bimbang bahawa pelancong ini akan menjadi beban kepada ekonomi dan sosial negara, atau terlibat dalam aktiviti jenayah dan seumpamanya.
Namun, keputusan terbaru kerajaan ini seolah-oleh mengabaikan isu berkenaan dan menganggapnya sebagai masalah kecil sahaja.
Apakah motif sebenar kerajaan mengambil keputusan ini? Sedangkan masalah lama belum selesai, sekarang nak tambah masalah baru pula.
Adakah kerajaan hanya mementingkan keuntungan sektor pelancongan tanpa mengambil kira kesan jangka panjang kepada keselamatan dan kestabilan negara? Adakah kerajaan telah terpengaruh oleh tekanan atau rayuan dari pihak China yang mahu memperluas pengaruhnya di rantau ini?
Keputusan ini jelas bertentangan dengan dasar Urus dan Kawal Hubungan (Manage and Control Relations) yang diamalkan oleh negara ini. Dasar ini bertujuan untuk menjaga hubungan baik dengan negara China, tetapi juga memastikan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara tidak dikorbankan.
Sekarang, nampaknya kerajaan telah melupakan dasar ini dan menggantikannya dengan dasar terbuka yang sangat berisiko tinggi.
Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui rasional di sebalik keputusan ini, kerana kelak yang bakal berdepan secara realiti dilapangan dengan masalah pelancong asing ini adalah rakyat tempatan bukan pemimpin yang membuat keputusan berdasarkan hipotesis.
Justeru, Kerajaan tidak boleh diam membisu atau mengelak daripada memberikan penjelasan yang munasabah demi menjamin keamanan negara ini terus stabil setiap masa.
Selain itu, Rakyat juga berhak untuk mengetahui sama ada sistem kawalan imigresen benar-benar efisien atau tidak. Jika sistem ini masih lemah dan tidak cekap, maka keputusan untuk tidak mengenakan visa kepada pelancong dari negara China harus ditarik balik dengan segera kerana ia dilihat akan lebih banyak mendatangkan mudarat.
Rakyat menyeru agar kerajaan meneliti semula keputusan ini dan mendengar suara semua pihak termasuk rakyat marhaenis.
Apa yang pasti, keputusan ini jelas akan mengganggu ketenteraman rakyat jelata serta akan membahayakan keselamatan negara secara khususnya.