Isu Semasa

Bahasa Melayu Telah Lama Menjelajah & Menjajah Dunia, Kita Saja Yang Tak Sedar!

Benarkah Bahasa Melayu pernah menjelajah seluruh pelusuk muka bumi dengan jarak kira-kira 510 juta kilometer dan melewati 7.8 billion manusia yang menjadi penghuninya.

Di bumi ini terdapat 197 negara di seluruh dunia dan daripada jumlah itu hanya 178 negara memiliki bahasa rasmi.

Di antara negara ini terdapat sekitar 7330 bahasa utama dan membezakan sekitar 39,491 nama bahasa dan dialek alternatif seluruh dunia.

Di benua Asia pula terdapat 48 negara termasuklah Malaysia iaitu negara yang kita duduki hari ini.

Malaysia mempunyai 14 buah negeri dihuni oleh 32.4 juta penduduk yang mempunyai 80 kaum etnik dengan anggaran kira-kira 137 bahasa.

Di dalam banyak bahasa itu pula Bahasa Melayu yang diangkat menjadi bahasa nasional atau bahasa rasmi.

Sekaligus dinobatkannya sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia mengikut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia selain merupakan bahasa ibunda majoriti etnik Melayu.

Bersamaan Wasiat Raja-raja Melayu yang dibuat semasa merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 ialah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Perlu digunakan untuk semua urusan rasmi di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga badan berkanun.

Termasuklah bidang pentadbiran undang-undang, kehakiman dan mahkamah juga perlu menggunakan bahasa Melayu.

Kemudian kedudukannya dimantapkan lagi dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran telah membawa pula kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996).

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah bertambah baik setelah Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan dipinda pada Jun 1991.

Walaupun ia belum sepenuhnya mencapai peratusan secara menyeluruh kerana saingan dari Bahasa Inggeris yang dilihat lebih mendominasi tetapi hanya atas faktor amalan pengamal undang-undang sahaja.

Sedangkan Akta Bahasa Kebangsaan 1963-1967 telah memperuntukkan penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah dan pengubahan statut undang-undang.

Tak mengapa walaupun ia hanya memberi pengiktirafan di atas kertas kerana inilah bukti hitam putih walaupun dari segi pelaksanaannya masih tidak menyeluruh.

Begitu juga yang berlaku dalam pemerkasaan Teks Sahih Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan.

Dalam perkiraan sepatutnya telah lama diguna pakai selepas hampir 20 tahun dilancarkan pada 29 September 2003.

Tetapi pentafsiran oleh pengamal undang-undang yang dilakukan di dalam mahkamah masih menjadikan Teks Bahasa Inggeris sebagai rujukan utama.

Itu saja puncanya!

Apalah yang hendak mereka banggakan sangat dengan Bahasa Inggeris.

Walhal secara perbandingan kalau kita lihat dari sudut sejarah kebangkitan bahasa Inggeris yang asalnya hanya daripada bahasa daif puak Angle dan Saxon.

Cuba kita lihat Bahasa Melayu, mempunyai sejarah tulisan sekurang-kurangnya dari abad ke-7.

Ini menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa tertua dunia yang sangat relevan digunakan.

Maka tidak hairanlah jika bahasa Melayu boleh diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia seawal kurun ke-15 lagi dan telah berupaya menjelajah ke seluruh dunia.

Di tambah Bahasa Melayu sendiri pernah diiktiraf sebagai bahasa lingua franca di rantau Nusantara sekitar 110 tahun dahulu pada tahun 1912.

Semua ini membuktikan bahasa Melayu mempunyai unsur dinamika serta mampu berevolusi mengikut keperluan zaman dan negara yang dijelajahinya.

Maka tidak perlu lagi kita termakan pojokkan dogma pemikiran bahasa asing pada zaman pasca- kolonialisme.

Kalau dilihat pada masa ini, jumlah penutur bahasa Melayu dalam pelbagai dialek di seluruh pelosok dunia saja telah mencecah 300 juta orang.

Ini menjadikan bahasa Melayu termasuk dalam tujuh bahasa besar di dunia, selain bahasa Rusia, Arab, Sepanyol, Hindi, Inggeris dan Mandarin.

Kebanyakan penutur berasal daripada rumpun Melayu, selain terdapat diaspora yang membentuk komuniti Melayu seperti di Afrika Selatan, Sri Lanka, Amerika Syarikat (AS), Australia, United Kingdom (UK) dan Arab Saudi.

Lantaran itu, tiada sebab mengapa bahasa Melayu juga tidak dapat menjadi salah satu bahasa utama dunia.

Bahkan dari ciri nilai estetikanya terdapat keunikan bahasa Melayu iaitu memiliki dua jenis tulisan Jawi dan Rumi.

Setakat ini terdapat lebih 10,000 naskhah manuskrip Melayu klasik dalam pelbagai bidang termasuk sains, teknologi, perubatan dan maritim yang masih disimpan dalam dan luar negara ditulis dalam tulisan Jawi.

Ia perlu diselongkar dan dibongkar semula oleh badan-badan akademik yang dipertanggungjawabkan mengelola bahasa di peringkat antarabangsa.

Inilah masanya kita melahirkan kebanggaan dan keyakinan penuh terhadap bahasa Melayu untuk mendidik anak bangsa.

Selain mengutamakan peranannya untuk menyatupadukan berbilang kaum dan etnik di negara ini.

Semangat patriotik terhadap bahasa Melayu sudah lama dibangkitkan bersama jati diri di dalam diri setiap rakyat Malaysia yang cintakan negara ini.

Pejuang terdahulu sudah lama merancang dan melakukan, cuma kita saja yang tak sedar!

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker