Setiap tahun pada 21 Februari seluruh dunia akan menyambut Hari Bahasa Ibunda. Ia diisytiharkan sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa oleh UNESCO pada 17 November 1999. Sambutannya juga diiktiraf secara rasmi oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melalui resolusi yang menjadikan tahun 2008 sebagai Tahun Bahasa Antarabangsa.
Di negara ini Hari Bahasa Ibunda Sedunia adalah hari bagi meraikan dan memasakkan jiwa bangsa Malaysia untuk menguatkan lagi semangat patriotisme rakyat Malaysia.
Orang Melayu mengakui bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa Ibunda mereka di negara tanah air kelahiran mereka, Malaysia. Ramai juga tertanya-tanya apakah bahasa Ibunda kaum Cina dan India di negara Malaysia ini. Di mana Ibunda mereka sebenarnya? Kalau nak dikaitkan dengan Ibunda sudah tentu pada asasnya akan mengakui ia bertitik tolak dari negara asal sesuatu bangsa dan tumbuhnya bahasa tersuai dan tersendiri mengikut sesuatu bangsa di negara masing-masing.
Kita lihat perbandingan antara orang Cina dan orang Tamil di Indonesia dan Thailand di sana mereka begitu fasih bertutur bahasa ibunda mereka misalnya Indonesia. Lihat saja rakyat berbilang kaum yang menjadikan bahasa Indonesia sebagai bahasa ibunda mereka dan digunakan dalam pertuturan seharian oleh setiap rakyatnya.
Sebaliknya kita, sejauh mana sebahagian dari Rakyat Malaysia menjiwai negara Malaysia sebagai ibunda mereka. Berpuluh tahun mereka hidup di bawah naungan Raja Raja Melayu dan berpegang pada Rukun Negara, Perlembagaan dan bahasa Melayu sebagai bahasa Ibunda mereka. Tetapi hasilnya masih tidak memuaskan walaupun ada rakyat berbilang kaum berbangga menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan harian mereka kerana mengiktiraf bahasa itu sebagai bahasa Kebangsaan Negara.
Masyarakat perlu disedarkan pentingnya bahasa ibunda sebagai warisan negara demi memperkasakan bahasa dan budaya dalam konteks kepelbagaian bahasa dan budaya rakyat Malaysia dan serantau.
Tidak dinafikan, Hari Bahasa Ibunda Sedunia mengiktiraf kepelbagaian bahasa dan budaya dalam kalangan penduduk dunia dengan menginterpretasikan bahasa ibunda merupakan bahasa yang pertama sekali dikuasai oleh seseorang dan digunakan untuk berhubung sesama keluarga serta lingkungannya sama ada bahasa itu besar atau sebaliknya yang begitu penting dalam kehidupan sesuatu kelompok etnik sebagai satu budaya amalan sesebuah negara.
Tetapi di dalam konteks Malaysia, walaupun datang berbagai kaum namun majoriti rakyatnya berbangsa Melayu dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Ibunda mereka dan dikuatkan lagi dengan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum untuk dirunuti.
Agak terharu apabila melihat ada kaum Cina dan India yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Ibunda mereka. Mereka benar-benar rakyat Malaysia yang sejati dan benar-benar menghayati Rukun Negara selepas 65 tahun kemerdekaan yang telah dikecapi. Mereka berbangga menjadi rakyat Malaysia yang sejati. Bagi mereka di sinilah mereka lahir, membesar dan menumpahkan taat setia serta dengan bangganya mengibarkan jalur gemilang.
Bagaimanapun, tak kurang juga rakyat negara ini misalnya orang Cina yang masih mencari-cari identiti terutamanya bahasa ibunda mereka. Hendak mengaku bahasa Ibunda ada di negeri China tetapi mereka lahir dan telah lama menetap di Malaysia dan mengaku menjadi rakyat di sini. Di negara China nama mereka pun tiada dalam senarai. Jadi pendatang juga jika ke sana. Itulah antara dilema yang dihadapi mereka.
Begitu juga dengan segelintir kaum India ada yang masih tercari-cari dan sukar membuat pilihan tentang bahasa ibunda mereka. Sama juga, kalau diikutkan mereka mahu pulang saja ke negara India tempat asal nenek moyang mereka tetapi nama mereka juga tidak disenaraikan sebagai penduduk di sana. Hendak tak hendak tinggallah mereka dengan pasrah di Malaysia.
Bagaimanapun, ada yang dapat berasimilasi dengan semua kaum dan masyarakat di Malaysia dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Ibunda mereka kerana mereka lahir di negara Malaysia dan menjadi rakyat negara ini.
Sikap mereka ini patut dipuji kerana dapat menghayati semangat patriotisme yang sebenar di negara tempat tumpahnya khidmat dan bakti.
Kemana lagi mereka hendak pergi di sinilah kampung halaman mereka sejak lahir hingga kini. Bahkan Orang Melayu sendiri sudah menerima mereka sebagai keluarga dan sahabat.
Namun ada juga kalangan mereka yang masih tidak dapat menerima hakikat. Meskin, golongan inilah yang sering menjadi pemberontak, penghasut di dalam kalangan minoriti dan menjadi pencetus perbalahan antara kaum.
Justeru, kepada golongan ini berwaspadalah, sedarlah, kalau benar-benar mengaku sebagai rakyat Malaysia sedarlah diri di mana pun bumi berpijak di situ lah juga langit dijunjung.
Bahasa Ibunda ini perlu terus dipelihara, dipupuk dan diamalkan agar kita Rakyat Malaysia mampu menzahirkan kecintaan dan bersama-sama mencipta sejarah mengharumkan nama negara bukan sebaliknya menjadi pengkhianat yang merosakkan perpaduan sedia ada sehingga menjadi duri dalam daging yang mewariskan kesan negatif kepada generasi akan datang.