Berbusana Melayu bukan sahaja dipandang cantik malah ia memberikan maksud tersirat dan falsafah yang tinggi dalam etika pemakaian.
Menurut falsafah bangsa Melayu ia mencerminkan adab, sopan dan santunnya.
Bagi yang baru-baru hendak belajar berbusana perlulah mempunyai ilmu asas cara berbusana yang betul agar bukan sahaja si pemakainya kelihatan cantik dan mempesonakan malah terlihat tertib dan bijak.
Kalau kita lihat betapa orang Melayu ini mempunyai kreativiti yang tinggi sehinggakan disebalik pakaian pun mereka mampu mendidik bangsanya secara tersirat.
Secara ringkas konsep pakaian ialah kain yang harus menutupi badan dan menutup aurat.
Antara elemen yang perlu ada pula dipantangkan terlalu nipis, tidak terlalu ketat, itu sudah mencerminkan nilai pakaian-pakaian yang Islami.
Termasuklah dipantangkan tidak menampakkan warna kulit serta tidak menampakkan bentuk badan.
Ikatan Kepala Kain Untuk Busana Wanita Punya Makna Dan Falsafah Tersendiri
Ikatan dari kepala kain pada busana wanita juga menggambarkan personaliti si pemakaian, mempunyai maksud dan falsafah yang tersendiri.
Tetapi tahukah kita kedudukan ikatan hujung kepala kain itu harus di halakan ke arah mana?
Ini kerana setiap ikatan kedudukan kepala kain ini memberi maksud berbeza dan tidak boleh diletakkan sesuka hati tanpa mempunyai atau memahami maksudnya.
Di sini kita kongsikan falsafah dan maksud mengenai kedudukan ikatan kepala kain bagi busana wanita yang sepatutnya.
Ikatan Kepala Kain Di Sebelah Belakang
Bagi ikatan kepala kain di sebelah belakang ia memberi gambaran bahawa seseorang wanita itu sudah berkahwin. Dan memberi makna jangan dekati kerana itu isteri orang.
Ikatan Kepala Kain Di Sebelah Kanan
Manakala ikatan di sebelah kanan membawa maksud wanita itu seorang balu. Atau Ibu Soko iaitu pemimpin teras adat menurut adat perpatih, juga di pakai oleh Datuk Lembaga dan Buapak misalnya.
Ikatan Kepala Kain Di Sebelah Kiri
Ikatan yang diletakkan di sebelah kiri pula memberi maksud dan menunjukkan wanita itu seorang janda yang kematian suami atau sudah bercerai talak.
Ikatan Kepala Kain Di Sebelah Hadapan
Ikatan sebelah hadapan bermakna dia seorang wanita yang belum berkahwin, dan sering digayakan oleh wanita yang berstatus anak dara yang masih belum berpasangan. Maka ia memberi gambaran ada peluang kepada si jejaka mendekati untuk dijadikan isteri.
Melihat Sekilas Cara Berpakaian Pun Sudah Tahu Statusnya
Jadi orang Melayu dahulu mereka sudah tahu, hanya dengan melihat sekilas cara berpakaian.
Dari sini pun sudah dapat menilai betapa orang Melayu ini mempunyai jati diri yang sangat murni.
Malah tatacara berpakaian pun dititik beratkan.
Sekaligus membuktikan orang Melayu ini adalah satu bangsa yang bertamadun tinggi.