Isu Semasa

Ayez Shaukat Pamer Elemen Nusantara Di Pentas Gusti Peringkat Dunia!

Selepas tujuh tahun bergiat aktif sebagai ahli gusti profesional, bakat Ayez Shaukat Fonseka akhirnya mendapat perhatian syarikat produksi Hollywood yang melamarnya untuk terbabit dalam enam episod rancangan Reality of Wrestling.

Menurut Ayez, rancangan itu akan disiarkan di saluran The CW dan ia kali pertama dia mendapat tawaran sebegitu malah bersyukur kerana diberi kepercayaan besar oleh pihak luar untuk memegang watak sebagai hero.

Bagi mengetengahkan identiti Malaysia, Ayez tampil dalam rancangan itu dengan memakai tanjak dan jaket songket ditempah oleh Paul Carling, pereka pakaian dari Sarawak yang banyak menghasilkan busana pertandingan Ratu Cantik di Borneo.

“Sebenarnya, saya menerima tawaran itu sejak dua tahun lalu namun terpaksa tangguhkan hasrat untuk ke sana memandangkan ada kekangan iaitu mendapatkan kelulusan visa disebabkan pandemik Covid-19.

“Sepanjang dua tahun juga saya membuat persediaan dengan membuat latihan kecergasan di gimnasium enam hari dalam seminggu bagi mendapatkan bentuk badan ideal.

“Selepas sekian lama menunggu, dapat juga saya bertolak ke Amerika Syarikat (AS) pada awal bulan ini dan berada di sana selama dua minggu bagi menjayakan rakaman yang diadakan di Stadium World Gym Arena di Texas, AS,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Ayez, perbelanjaannya sepanjang berada di AS ditaja oleh syarikat produksi milik ahli gusti terkenal, Booker T dan turut mendapat tajaan dua syarikat tempatan, Cineplus Asia dan XO Ice Cream.

Berkongsi pengalamannya, Ayez mengakui terharu kerana mendapat layanan baik oleh semua pihak yang menjayakan rancangan malah gembira kerana turut diundang Dr Tom Prichard, jurulatih legenda WWE, The Rock untuk mengajar kelas seni lakonan di Knoxville, Tennessee, AS.

“Alhamdulillah, penerimaan terhadap saya amat baik termasuk daripada kanak-kanak teruja yang bersorak ketika datang mengikuti rakaman di lokasi penggambaran. Mungkin kerana mereka tertarik melihat penampilan saya yang memakai tanjak serta nampak lain daripada lain.

“Penerimaan positif itu membuatkan saya jadi bertambah teruja lebih-lebih lagi kerana pertama kali muncul di stesen televisyen Hollywood dan berjumpa dengan pelakon serta pengarah hebat di sana.

“Lebih membuatkan saya terharu apabila mereka mahu membantu mengusulkan nama saya untuk berlakon dalam siri lain,” katanya yang turut berkongsi kegembiraannya menerusi hantaran di Facebook (Fb) semalam.

Bercerita mengenai karier lakonannya, Ayez mengakui ada menerima tawaran daripada syarikat produksi tempatan namun kebanyakannya watak antagonis dan pelakon pembantu.

“Banyak kali juga saya dipanggil oleh syarikat produksi tetapi akhirnya nama ditolak stesen televisyen kerana tidak mempunyai ramai pengikut di laman sosial.

“Mungkin juga kerana bentuk badan atau rupa saya yang tidak kacak. Penat juga sebenarnya kerana sudah lama saya mahu menembusi industri tempatan tetapi sudah dapat peluang,” katanya.

Terdahulu Ayez Shaukat pernah terbabit dalam telefilem Budak Lorong serta berlakon filem Juvana 2 dan Juvana 3.

Dia juga pernah menjadi pelakon dan penolong pengarah filem Gila Gusti dan filem pendek berjudul Taruh yang tular sejak dikongsi di laman Fb Cineplus Asia.

Ayez Shaukat juga pernah mengarahkan filem Inggeris berjudul Dark Eye untuk Amazon.

Kredit: Harian Metro

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button