AgamaIsu SemasaSejarah

ASWJ Asas Perpaduan Melayu!

Apa yang disebutkan dalam draf RUU itu bukan sesuatu yang asing dalam konteks umat Islam di Malaysia. Sejarah membuktikan bahawa kedatangan Islam di rantau alam Melayu ini adalah berpaksikan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) seterusnya menjadi asas perpaduan umat Islam yang kukuh.

Ditambah lagi dengan sokongan mantap 12 dari 14 mufti di mana setiap satunya mewakili seorang Raja Melayu berdaulat yang jelas telah menzahirkan sokongan pada RUU Mufti.

Maka, adalah tidak wajar jika ada lagi mana-mana pihak mahu mempertikai atau menolak cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.

Sepatutnya, pihak yang menganut fahaman lain hanya layak sebar dalam komuniti mereka, bukan bertindak menghasut orang awam untuk mempertikai pegangan dan kesepakatan 12 mufti negeri.

Bukankah, pembentangan RUU itu terutama pada Perkara 4 bertujuan untuk memperkukuh lagi kedudukan Ahli Sunnah Wal Jamaah berteraskan akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah di Malaysia umumnya dan Wilayah Persekutuan khususnya.

Sewajarnya, semua pihak menyokong penuh pembentangan rang undang-undang berkenaan. 

Bukankah, sifat tawaduk perlu ada pada semua ilmuwan Islam? Jangan anggap diri mereka saja yang pandai sehingga tergamak mempertikai keputusan ramai mufti-mufti yang telah diiktiraf kepakarannya oleh pihak yang berotoriti.

Baca Juga>> Siapakah Raja Suran?

Maka, sepatutnya jangan lagi ada mana-mana rakyat Malaysia yang mempertikaikan kewajiban bermazhab ataupun berakidah Asyairah Wal Maturidiah.

Sebagai makluman, Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 2 Julai lalu, antara lain menyebutkan bahawa: (4) Ahli Sunnah Wal Jamaah artinya mereka yang berpegang dengan al-Quran dan Sunnah iaitu; (a) dari aspek akidah mengikut pegangan Asyairah dan Maturidiyah, (b) dari aspek syariah mengikut mazhab Syafie dan mazhab muktabar lain (Hanafi, Maliki, dan Hanbali) atau ijtihad hukum jawatankuasa fatwa, (c) dari aspek tasawuf mengikut pegangan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Selain catatan nama ulama dan pendakwah ASWJ, penemuan kitab akidah terawal iaitu ‘Aqaid al-Nasafi antara bukti kukuh yang menunjukkan bahawa ASWJ sudah lama bertapak dan menjadi pegangan umat Islam di alam Melayu. Bahkan, ada banyak lagi kitab akidah lain yang semuanya berteraskan ASWJ sama ada dari aliran Asyairah mahupun Maturidiyah.

Bukan itu sahaja, catatan sejarah turut membuktikan bahawa Raja-Raja Melayu turut berpegang dengan ASWJ. Sebagai contoh, DYMM Sultan Alauddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor kelima) pernah menulis kitab Pohon Agama yang berisi akidah ASWJ Asyairah.

Disebabkan itu, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj (Sultan Selangor sekarang) ketika bertitah sebagai Pengerusi MKI pada 6 Mac 2023 menyatakan Raja-Raja Melayu sejak dahulu berpegang dengan ASWJ; dari aspek akidah adalah Asyairah, dari aspek syariah bermazhab Syafie dan dari aspek tasawuf mengikut Imam al-Ghazali.

Bukankah akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah juga telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan? Apakah masih ada pihak yang tidak mampu faham perkara ini?

Pada masa sama, bukankah syarat utama kelulusan dan pemberian tauliah memberi syarahan agama di setiap negeri-negeri di Malaysia ini hendaklah berpegang kepada Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah?

Mengimbas kembali, sewaktu Malaysia mencapai kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan (Perkara 3(1)), maka negeri-negeri bertindak memperincikan peruntukan itu sebagai ASWJ sama ada melalui Undang-Undang Tubuh Negeri ataupun melalui fatwa yang diwartakan. Kelantan sebagai contohnya, dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan menetapkan bahawa “Ahlus Sunnah wal Jamaah maknanya ialah mazhab Abu al-Hassan al-Asy’ari dan Abu Mansoor al-Maturidi dan orang yang mengikut jejak langkah keduanya.”

Tambahan, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa MKI yang bersidang pada 5 Mei 1996, membuat beberapa ketetapan berkaitan ASWJ sebagai mazhab yang diiktiraf di Malaysia antara lain menetapkan umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak, dan menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri bagi peruntukan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan Negeri-Negeri hendaklah agama Islam berasaskan pegangan ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak atau tasawuf.

Bahkan, Pegangan ASWJ umat Islam di Malaysia ini selari dengan pegangan majoriti umat Islam di seluruh dunia.

Menurut kajian daripada The Royal Islamic Strategic Studies Centre menunjukkan bahawa 90 peratus umat Islam di dunia pada hari ini adalah berpegang dengan ASWJ Asyairah dan Maturidiyah. 

Malah, jika diteliti pula kenyataan ulama silam seumpama Imam Izzuddin dan Imam al-Subki menyebutkan bahawa pengikut empat mazhab adalah berpegang sama ada Asyairah atau Maturidiyah.

Maka itu, Imam al-Zabidi secara jelas menyatakan bahawa istilah ASWJ adalah merujuk kepada Asyairah dan Maturidiyah.

Ertinya, dari segi pegangan akidah hendaklah berdasarkan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah.

Maka, dari segi syariah mengikut Mazhab Syafie atau dalam keadaan tertentu mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hambali atau melalui Ijtihad hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa, atas syor Majlis, diperkenan oleh Raja-Raja dan diwartakan.

Amat jelas, penekanan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah sentiasa menjadi pilihan dan amalan majoriti rakyat negara ini sejak sekian lama.

Pegangan terhadap ASWJ ini bukan sahaja berupaya menjaga akidah umat Islam sejak sekian lama, bahkan ia menjadikan Malaysia sebuah negara yang seragam dan kukuh dalam beragama berbanding sebilangan negara lain, sekaligus memberi sumbangan kepada kestabilan pola politik, masyarakat dan perpaduan ummah.

Ini jelas membuktikan, manhaj ASWJ mempunyai pendekatan wasatiyyah (sederhana/seimbang) yang telah berjaya dalam mendepani pelbagai fahaman ekstrem.

Bukankah pendekatan wasatiyyah amat penting dalam konteks Malaysia hari ini demi menolak sebarang bentuk ideologi ekstrem?

Sebagai contoh bentuk ideologi ekstrem yang mesti ditolak oleh umat Islam di Malaysia ialah penyebaran aliran menyeleweng dari ASWJ sama ada dari aspek akidah, syariah dan tasawuf.

Disebabkan itu, DYMM Sultan Ibrahim (Yang Di-Pertuan Agong sekarang) selaku Sultan Johor pernah bertitah pada 26 Februari 2019 bahawa Johor mempunyai sistem pendidikan Islam yang utuh berpandukan manhaj ASWJ aliran Asyairah dan Maturidiyah.

Justeru, Johor tidak perlu membawa masuk fahaman atau pegangan luar sehingga boleh menimbulkan perbalahan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Dalam hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI yang bersidang pada 21-22 Oktober 2014 memutuskan bahawa sebarang aliran atau fahaman yang bertentangan dengan ASWJ Asyairah dan Maturidiyah akan memberi ancaman kepada perpaduan umat Islam di Malaysia.

Oleh itu, muzakarah memperakukan bahawa dari segi perundangan, ASWJ adalah mazhab rasmi negara Malaysia dan aliran lain seperti Syiah serta Salafi-Wahabi sedang memberi ancaman kepada ASWJ pada masa kini.

Kedua-dua aliran pemikiran ini boleh mendatangkan perbalahan dan perpecahan kepada masyarakat Islam di Malaysia dan tidak sepatutnya terus diberikan ruang untuk bertapak di negara ini sehingga berupaya menjadi virus pemusnah perpaduan umat.

Justeru, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang menyatakan mengenai ASWJ adalah sesuatu yang sangat baik bagi memperkukuhkan ASWJ di Malaysia dan pada masa sama dapat mengekang aliran menyeleweng berkenaan.

Malah, RUU ini juga akan membentuk tadbir urus sebarang bentuk organisasi dengan lebih baik. Perkara ini, sekali gus menzahirkan bahawa ASWJ adalah pegangan terbaik umat Islam di Malaysia dahulu kini dan selamanya.

Menarik: SAYA BANGGA JUAL PRODUK KELUARGA BANGSA KITA ( HJH NOR AZIZAH RAMLI )

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker