Sejarah

Apakah Itu Portal Dan Adakah Ia Wujud Di Tanah Melayu? Ini Antara Cerita Lisan Yang Tercatat!

Masyarakat hari ini mudah menerima perwatakan Dr. Strange dalam komik serta filem terbitan Marvel yang mempunyai kunci iaitu ilmu bagi membuka portal dimensi untuk ke mana-mana sahaja.

Malah dalam filem terbaharu Marvel, Shang-Chi mahu pun Spider-Man, keupayaan manusia yang belajar ilmu membuka portal dimensi di Kamar-Taj boleh diterima akal dengan pendekatan ia adalah fiksyen.

Namun apakah benar keupayaan membuka portal dimensi ini sekadar fiksyen ciptaan Marvel menerusi idea mendiang Stan Lee atau keupayaan ini sebenarnya memang wujud dalam kalangan orang-orang terdahulu?

Sebelum bercakap tentang keupayaan membuka dimensi, ada baiknya kita memahami apakah itu yang dimaksudkan dengan portal dimensi?

Portal dimensi dikatakan boleh diibarat seperti satu ruang penghubung yang boleh dibuka dan ditutup dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain atau dari satu masa ke satu masa yang lain.

Sesungguhnya ia adalah satu perkara yang sukar diterima dek akal fikiran manusia moden yang sudah terputus ilmu-ilmu tersebut kerana banyak rahsia terhapus secara terancang.

Namun apabila diterjemahkan oleh Marvel secara hiburan, akal boleh menerima secara logik bahawa ia adalah sebuah fiksyen yang boleh dilihat dengan mata dan difahami kaedahnya.

Menurut sumber, orang-orang Melayu terdahulu ramai memiliki ilmu membuka portal dimensi ini. Sejauh mana kebenarannya, sudah pasti ia tidak dapat dibuktikan dengan kaedah saintifik.

Sehubungan itu, penulis menegaskan ia adalah antara cerita lisan yang pernah tercatat. Bacalah sekadar untuk tambah tahu pengkisahan lisan dan jangan terlalu fikirkannya kerana banyak yang terbatas.

1. Portal Di Pulau Besar Dan Gunung Jerai

Ada waris orang Melayu dulu-dulu yang memegang kuat amalan, tradisi, kisah, salasilah dan kemampuan nenek moyang mereka dan hidup bersama-sama masyarakat Melayu moden.

Dalam erti kata lain, mereka ini mungkin generasi ke-4 atau ke-5 dan ketika mereka bercerita tentang perkara ini, sering dianggap tahyul oleh masyarakat Melayu moden adalah satu perkara biasa.

Kata mereka, mereka amat memahami penolakan perkara itu kerana kisah dan sekeliling masyarakat itu berbeza-beza dan keperluannya juga adalah tidak sama.

Cerita lisan mengatakan Pulau Besar dan Gunung Jerai antara dua lokasi popular yang memiliki portal dimensi dan ramai orang-orang moden yang mengetahui cuba mencarinya.

Namun disebabkan tiada ilmu, kajian yang berkaitan, kemagisan ilmu buka portal dimensi ini diletakkan sebagai mitos, mustahil dan imaginasi luar yang tidak masuk akal.

Risau dengan datangnya ketaksuban yang melampau sehingga membelakangkan agama serta akidah, Majlis Agama Islam Negeri banyak memantau lokasi-lokasi ini untuk mengelakkan berlakunya upacara khurafat.

2. Harta Raja-Raja Di Pulau Nangka

Pulau Nangka didakwa tersembunyi harta raja-raja terdahulu namun cara tersembunyinya bukanlah di sebalik timbunan pasir atau batu-batu yang tersergam pada pulau itu.

Sebaliknya, sumber menceritakan ia tersembunyi di sebalik dimensi lain dan untuk membuka dimensi itu, hanya waris terpilih sahaja memiliki keupayaan itu.

Dikatakan sekiranya waris yang memiliki keupayaan itu berniat sekadar mahu menunjuk-nunjuk, harta yang ditemui di dimensi itu tidak boleh dibawa keluar.

Malah ada sumber lain bercerita akan tiba satu masa, harta-harta itu boleh dibawa keluar dengan izin apabila keadaan benar-benar memerlukannya.

Pengkisahan ini menerima kritikan generasi muda dengan sindiran jika benar harta raja-raja itu wujud, tariklah keluar secara paksa dan selamatkan ekonomi negara.

Ada juga yang berpendapat jika benar harta itu hak Tanah Melayu, maka waris asal penghuninya yang sah layak memiliki harta tersebut tanpa campur tangan pihak lain.

Namun demikian, kisah harta raja-raja Melayu di Pulau Nangka kekal rahsia dan misteri namun jika elemen ghaib itu wujud dengan izin dan kekuasaan Allah SWT, siapa kita untuk menolaknya?

3. Pergi Pulang Balik Hari

Terdapat seorang lelaki berusia yang mesra disapa sebagai ‘Wak’, merupakan seorang Melayu berketurunan Jawa dikatakan memiliki kebolehan ulang-alik Malaysia-Indonesia balik hari.

Manusia seperti ini kalau dilaporkan kepada pihak media sekali pun, editor mereka pasti akan kata tahyul dan karut kerana mereka berpegang masyarakat perlu bukti yang zahir dan nyata.

Media arus perdana mengajar masyarakat untuk tidak memikirkan sesuatu elemen yang berkait dengan unsur perkara-perkara di luar akal fikiran manusia.

Bahkan sistem pendidikan nasional juga mengajar masyarakat untuk berfikir mengikut acuan atau silibus yang ditetapkan dan kecemerlangan itu banyak diambil kira daripada kejayaan menghafal dan menulis semula.

Keadaan ini berterusan daripada satu zaman kepada satu zaman yang lain sehinggalah lahirnya generasi hari ini yang cukup memegang fakta apa yang tertulis dalam buku teks di sekolah sahaja.

Berbalik kepada kisah Wak tadi, dia siap boleh bercerita apa yang ada atau apa yang sedang berlaku di Indonesia ‘semalam’ setelah balik ke Tanah Melayu ‘hari ini’.

Itu belum bercakap tentang kisah seorang lelaki tua di Kelantan yang disisih masyarakat kerana rupa luarannya yang miskin tetapi sentiasa ada duit yang banyak walaupun tidak mengemis.

Atau kisah lelaki tua kayuh basikal, kereta bergerak dahulu namun berjaya sampai ke destinasi yang dituju seiring dengan kereta tadi.

Namun demikian, ini antara kisah-kisah lisan mengenai portal dimensi dan keupayaan orang-orang tertentu bergerak pantas merentasi ruang waktu orang-orang kebanyakan.

Apa pendapat anda tentang perkara ini? Kongsikan di ruang komen Facebook Demi Malaiu.

Anda memiliki tulisan mengenai Melayu yang ingin dikongsikan? Hantar di sini.

➡️ KLIK UNTUK SERTAI KOMUNITI DEMI MALAIU DI SINI

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok Demi Malaiu. Sertai Telegram kami DI SINI untuk kandungan yang menarik dan membangkitkan jati diri bangsa!

 

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker