Organisasi dianggotai bekas kakitangan awam, G25 mengakui dan mendedahkan kebanyakan anak-anak golongan kaya dan berkuasa diibaratkan ramai ‘bengap’ bahasa Melayu.
Hal ini demikian kerana bagi mereka, anak-anak mereka cuma layak ditempatkan di sekolah dan universiti antarabangsa yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium perantara.
Setakat sekolah kebangsaan atau universiti awam yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, sudah tentu satu kejijikan kerana tidak setaraf dengan kedudukan mereka.
Maka bermula daripada tindakan ‘bijak dan jauh ke hadapan’ para ibu bapa yang kaya dan berkuasa ini, lahirlah produk yang dikenali anak-anak ‘bengap’ bahasa Melayu di negara sendiri.
Sudahlah ‘bengap’ bahasa Melayu, berpeluang pula untuk menjadi kakitangan awam sedangkan calon-calon lain yang jauh lebih bagus bukannya tidak ada, cuma bukan menjadi rezeki.
Mana tidaknya, kadang-kala terpaksa bersaing dengan ribuan calon-calon lain untuk jawatan yang beberapa sahaja dan gigih menjawab ujian atas talian Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Nak dapatkan pekerjaan sebagai kakitangan awam sama ada kontrak, sementara dan sebagainya menerusi lantikan politik, tak semua ada kabel dan ia berlarutan sehingga kini.
Punyalah toksik produk hasil golongan kaya dan berkuasa tadi, dimohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tidak mengenakan hukuman kepada kakitangan awam yang ‘bengap’ bahasa Melayu.
Bagi mereka yang diwakili G25, pendekatan punitif JPA bakal memberi kesan kepada imej negara kerana bahasa Inggeris diagungkan sebagai bahasa yang paling ramai penuturnya di dunia.
Ceritanya sekarang, mereka yang jadi kakitangan awam ini berkerja untuk siapa? Di bawah urusan Seri Paduka Baginda dan rakyat Malaysia yang membayar cukai atau orang negara luar yang tiada kena-mengena?
Kenyataan G25 kepada JPA boleh dianggap terlalu biadab sekali gus mengiyakan, adanya orang-orang Melayu pada zaman ini misalnya melanggar Perlembagaan Persekutuan Perkara 160 (2).
Perlembagaan Persekutuan Perkara 160 (2) mentakrifkan Melayu itu ertinya mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu dan bertutur menggunakan bahasa Melayu.
Namun disebabkan ‘kebanggaan dan kebijaksanaan’ golongan ibu bapa golongan kaya dan berkuasa tidak bertempat, anak-anak mereka atau produk tadi sewajarnya tiada tempat untuk bekerja dalam sektor kerajaan.
Lebih baik peluang itu dibuka kepada kaum-kaum lain seperti Cina dan India misalnya yang masih kuat menghargai bahasa Melayu dan adat istiadat Melayu di bumi Malaysia ini.
Nama sahaja anak-anak golongan kaya dan berkuasa atau kakitangan awam ‘Melayu’, nak kuasai bahasa Melayu di tanah air sendiri pun lemah, malulah kepada orang-orang Bangladesh yang mencari kerja di negara ini.
Mereka pun boleh bercakap bahasa Melayu walaupun tunggang-terbalik atau mengikut loghat lidah mereka, sekurang-kurangnya, mereka jauh menghargai bahasa Melayu berbanding anak-anak golongan kaya dan berkuasa menurut pendapat G25.
Mahu mendapatkan kisah-kisah eksklusif terus ke Telegram anda? Sertai kami di Telegram Demi Malaiu!