Di Malaysia, Institusi Raja sudah wujud sejak kurun-11 sebagai teras sistem pemerintahan dan pentadbiran sesebuah kerajaan Melayu. Dalam konsep pemerintahan raja mutlak, seorang raja memegang kuasa penuh dan berdaulat terhadap kerajaan-kerajaan Melayu. Melalui pemerintahannya, baginda mentadbir dan menguasai pengurusan negeri dan jajahan takluknya.
Sehingga kini, institusi raja masih kekal di negara Malaysia tidak seperti di beberapa buah negara yang sudah dihapuskan institusi tradisional tersebut seperti Fiji dan Mauritus.
Selari dengan peredaran zaman yang semakin maju dan terbuka, wujud golongan-golongan yang cuba membawa gerakan terhadap isu berkaitan keadilan sosial dan keadilan kaum atau lebih dikenali sebagai “woke culture”. Dalam konteks kehidupan kini, gerakan ini menuntut keadilan terhadap golongan minoriti berhaluan kiri seperti LGBTQ, feminisme dan fahaman liberal.
Dalam era “Woke Culture”, di mana kesedaran sosial dan kepekaan terhadap isu-isu seperti hak asasi manusia, kesetaraan gender, kesedaran budaya, dan keadilan menjadi semakin penting, peranan institusi raja atau monarki dalam setiap negara mempunyai relevansi yang berbeza bergantung kepada konteks dan struktur politik setempat.
Di sesetengah negara, institusi raja mempunyai peranan simbolik dan warisan sejarah yang kuat. Dalam konteks ini, raja sering menjadi perwakilan budaya, tradisi, dan kesatuan nasional. Dalam era ‘Woke Culture’ ini juga, raja mempunyai potensi sebagai simbolik yang mewakili nilai-nilai kesatuan, kepelbagaian, dan keharmonian dalam kalangan rakyat.
Selari dengan itu, institusi raja juga perlu berubah dari aspek kepimpinan sosial mengikut perubahan zaman. Institusi raja boleh menjadi suara yang berpengaruh dalam menangani isu-isu kemasyarakatan yang berkaitan dengan kesedaran sosial, memberikan sokongan kepada program-program kebajikan, dan menjadi sumber inspirasi yang mendorong pemikiran positif di kalangan rakyat.
Bagi sesetengah negara yang mempunyai sistem monarki konstitusional seperti United Kingdom dan Jepun, peranan raja lebih bersifat simbolik dan representatif. Kekuasaan raja atau ratu di hadkan oleh undang-undang dasar dan terikat dengan konstitusi nasional.
Berbeza dengan sistem monarki absolut, raja memiliki kekuatan sepenuhnya dan memerintah negara dan rakyatnya secara bebas. Tiada sebarang konstitusi atau badan yang boleh mengehadkan apa yang ditetapkan oleh penguasa (raja atau ratu). Sebagai contoh negara yang mempraktiskan sistem monarki absolut ialah Brunei Darussalam dan Arab Saudi.
Jika di Malaysia, gabungan pemerintahan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan ini memainkan peranan yang positif dalam menjaga kestabilan politik negara dan keharmonian masyarakat.
Oleh itu, kehadiran dan relevansi institusi raja dalam era ‘Woke Culture’ adalah dinamik dan sangat bergantung kepada bagaimana institusi ini menyelaraskan dirinya dengan perubahan dan aspirasi masyarakat di zaman moden.
Oleh itu, adalah penting bagi institusi raja ini memainkan peranan mereka dalam mempromosi nilai-nilai keharmonian dan beradaptasi dengan nilai-nilai dan harapan semasa masyarakat bagi mempertahankan relevansinya dalam sesebuah negara.
Baca juga: