Apa akan jadi jika Malaysia secara tiba-tiba berubah menjadi negara Republik dan Institusi Diraja itu benar-benar berjaya digulingkan sistem penjajah dari rejim demokrasi barat ini.
Pernahkah kita membayangkan apakah nasib yang bakal menimpa rakyat dan negara kita ketika itu?
Ke mana lagi pesisir jati diri kita atau rakyat Malaysia ini boleh pergi?
Siapa pula yang boleh diharapkan untuk memayungi Islam dan rakyat secara keseluruhannya jika politikus bertukar rakus sekali lagi nanti?
Hari ini, fahaman liberalisasi, sekularisme, pluralisme, modenisme, saintisme, termasuk ancaman gerakkan Evangelisme dengan segala macam fahaman radikal dan ektrim cuba menaungi negara.
Gerakan bertujuan mengubah corak pemerintahan ke arah negara republikan ini semakin kukuh menular dan kekar bertapak, cuma menanti masa sesuai untuk dilaksanakan sahaja.
Itu belum disenaraikan musuh dalam selimut fahaman berlandaskan Islam sendiri seperti Wahabi, Khawarij, Syi’ah Rafidhah, Qadariyyah, Jabariyyah, Mu’tazilah, Anti-hadis, Islam liberal, Pluralisme agama serta banyak lagi fahaman lain yang menjadi pelampau agama, sesat lagi menyesatkan.
Aliran ini sudah dibawa masuk, semua pun tahu siapa NGO-NGO dan parti politik terlibat yang menjadi penaja untuk membentuk tentera kecil mereka.
Masakan pihak berkuasa tidak tahu. Tapi, apa boleh buat mereka sendiri di bawah takluk ahli politik, takkanlah nak lebih sudu dari kuah pulak kan.
Sebab itu kenyataan tidak mempunyai maklumat dan tidak cukup bukti untuk bertindak menjadi perisai alasan biasa. Biasalah, nak jaga periuk nasi sendiri!
Namun, apa pun alasannya penegasan dan keseriusan dalam membasmi semua bentuk fahaman itu tetap kena ada.
Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr.Ridhuan Tee Abdullah sendiri turut menegaskan agar tindakan tegas dan bersungguh-sungguh tanpa kompromi perlu segera diambil bagi memerangi semua dakyah fahaman ini kerana ia melibatkan masa depan negara.
Tangkap segera tali barut, petualang dan pengkhianat bangsa yang sedang merancang kemusnahan negara ini terutama dikalangan pemimpin yang berselindung disebalik jawatan politik mereka.
Jika tidak, pasti kedaulatan identiti bangsa Melayu ini akan hilang bersama Institusi Raja-Raja Melayu yang sangat ingin dihapuskan oleh mereka dari Tanah Melayu ini.
Sejak sekian lama Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang berteraskan dasar Ahli Sunnah Wal-Jamaah, dijamin di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan tetap dijaga sempurna melalui Institusi Raja-Raja Melayu.
Ahli Sunnah Wal Jamaah itu ialah pengikut manhaj, kaedah salaf dan khalaf berakidahkan Abu Al-Hasan Al-Ashari (Asya’irah) dan Abu Mansur Al-Maturidi (Maturidiyyah), bermazhab Syafie yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.
Apabila aqidah, syariah dan akhlak ummah sentiasa terpelihara maka secara tak langsung seluruh rakyatnya akan terus terbela.
Hari ini, kita patut sedar dek untung, kita masih mempunyai Institusi Raja-Raja Melayu yang masih wujud dan memayungi, mengapa tidak dijaga dan terus dipelihara? Bersyukurlah, usah kufur nikmat itu.
Kajilah sejarah, lihatlah natijahnya jika Institusi Raja-Raja ini benar-benar berjaya digulingkan maka kemusnahan dan pertelagahan sebenar pasti berlaku.
Takkanlah sampai kejadian seperti keruntuhan empayar kota Melaka itu terjadi sekali lagi baru kita hendak sedar dan bertindak.
Kalau kita tidak kekang unsur-unsur demokrasi dan kebebasan melampau ini maka ia akan menjadi penghasut yang sangat berbahaya untuk semua bangsa, agama dan negara ini.
Jadi sementara Institusi Diraja ini masih kekal bernafas memegang tampuk kekuasaan lebih baik kita sedar sebelum terlambat. Takkan lah sudah terhantuk baru hendak tengadah.
Memanglah raja itu mesti Melayu kerana ini Tanah Melayu, bukan Tanah Arab, Tanah Jepun, Tanah Inggeris, Tanah Cina, atau Tanah India. Ini kita semua sedia maklum dan patut akur pun.
Tetapi baginda adalah Raja ataupun Sultan untuk semua rakyat di Malaysia ini tanpa mengira bangsa agama dan latar belakangnya.
Justeru, perkara ini perlu diambil serius oleh semua rakyat Malaysia jangan hanya satu kaum sahaja.
Nak harapkan ahli politik, memang tak lah! cekik darah, makan suap, bolehlah! Apa tidaknya, konspirasi merekalah yang menjadi punca perpecahan dan perbalahan ini.
Secara mudahnya, nak kenal sistem demokrasi lihatlah role modelnya. Nak kenal role modelnya tengoklah karakter pemain politiknya.
Manipulasi, membelit, berbelit , retorika dan sarkastik itulah watak dan perwatakan sinonim dengan politikus tak bermoral dari dulu hingga saat ini. Tak berubah-ubah.
Sekarang, macam mana, masih nak harapkan ahli politik, masih nak berbangga dengan sistem demokrasi, hentikanlah.
Atau kita masih tak puas diberi pengalaman merasa hidup di dalam era pemerintahan sistem negara republik selama 22 bulan lalu.
Takkan lah kita langsung tidak belajar sesuatu dari pengalaman ngeri yang lepas! Teruk sangatkah kita ni?