Isu Semasa

Apa Guna Boikot Barang Israel & Amerika, Bukan Ada Guna Pun – Netizen

Dunia dikejutkan dengan peperangan antara Israel dan Palestin sejak 7 Oktober yang lalu. Sepanjang tempoh peperangan ini yang hampir mencecah satu bulan kita dapat melihat pelbagai senario yang berlaku di seluruh dunia termasuk propaganda, aktiviti boikot, solidariti, tragedi Islamophobia, kuasa media sosial dan sebagainya.

Jika dilihat sepanjang tempoh pergelutan ini, dunia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel membedil Palestin tanpa belas kasihan dan menjadikan kanak-kanak serta wanita yang tidak berdaya sebagai mangsa. Naratif yang di bawa oleh Israel juga tidak mampu mempengaruhi masyarakat dunia melalui penipuan dan propaganda walaupun di sokong oleh media-media popular Barat dan selebiriti antarabangsa.

Malah sejarah sebenar yang tercetus dari konflik itu makin disedari dan di hayati hasil sebaran di media-media sosial. Tular di media sosial juga, kesepakatan rakyat dari pelbagai negara dilihat bersatu hati berarak dan melakukan protes aman di bandar-bandar besar seperti di Amerika Syarikat, Sweeden, Australia, Kuala Lumpur, Indonesia, Algeria, Ireland, Korea Selatan, Turki, dan sebagainya. Kanak-kanak juga turut tidak ketinggalan mengadakan protes di alam maya di aplikasi permainan Roblox. Sehingga kini, mangsa syahid yang di anggarkan sudah melebihi 8000 orang dan data menunjukkan bilangan yang semakin meningkat hari demi hari.

Berikutan keadaan yang semakin meruncing berlaku di Gaza dan tiada kesepakatan dalam perusahaan keamanan untuk kedua-dua belah pihak, aktiviti boikot telah di bangkitkan dan di war-warkan di media sosial bagi membantu mereka yang di tindas dari sudut ekonomi. Dunia maklum akan perniagaan di dunia ini hampir dimonopoli oleh bangsa Yahudi dan Amerika. Rata-rata produk terkenal di pasaran merupakan pemilikan mereka dan hasil jualan sudah semestinya menyumbang kepada kelangsungan perbuatan terkutuk mereka.

Walaupun terdapat pelbagai produk di pasaran yang disenaraikan untuk di boikot, masyarakat mengambil langkah untuk memboikot tiga produk utama yang terang-terangan menzahirkan sokongan kepada Israel seperti Mcdonalds, Starbucks dan Disney. Hasil daripada kesepakatan ini, terdapat beberapa outlet produk pemakanan tersebut di beberapa negara menunjukkan kekurangan pelanggan dan penjualan yang kian merosot. Pemerhatian terhadap stok syarikat mereka juga dilihat semakin menurun dan menggembirakan para pemboikot atas keberhasilan usaha tersebut.

Namun di sebalik perjuangan ini, timbul suara-suara yang sangsi akan keberkesanan usaha ini kerana di Malaysia sebagai contoh ia dilihat sebagai aktiviti boikot yang bermusim. Mereka beranggapan usaha ini tidak berkekalan dan hanya berlaku pada tempoh yang sementara sahaja. Namun jelas sepanjang aktiviti boikot ini menunjukkan hasil yang signifikan terhadap dua jenama besar ini di Malaysia iaitu Mcdonalds dan Starbucks.

Hasil usaha boikot Mcdonalds telah menunjukkan tahap jualan yang semakin merosot sehingga pihak restoran terbabit berkali-kali mengeluarkan kenyataan rasmi di media sosial untuk memperjelas keadaan. Selain dari itu, pihak pengurusan tertinggi Mcdonalds juga tampil di sidang khas media dengan memberi kenyataan mengenai isu pembayaran royalti bagi penggunaan jenama kepada masyarakat.

Bagi pihak Starbucks Malaysia pula, tiada kenyataan rasmi dari mereka ketika ini namun tular di media sosial perbualan keresahan dari salah satu cawangan restoran terbabit terhadap kejatuhan jualan dan mengakibatkan waktu operasi di pendekkan.

Terdapat juga pendapat yang menyatakan aktiviti boikot ini menyekat sumber rezeki pekerja-pekerja di sana yang majoritinya ramai dari golongan kurang berkemampuan seperti lepasan sekolah, pekerja separa masa, dan OKU. Namun, netizen tetap sebulat suara untuk meneruskan usaha murni ini demi saudara seagama yang teraniaya di Palestin dan menyarankan untuk mencari peluang pekerjaan lain yang rezekinya pasti di jamin oleh Allah.

Bukan mudah untuk menghentikan pembelian produk yang sudah sebati dengan kehidupan kita namun kita di nasihati jika tidak mampu memboikot semua, boikot lah yang mana mampu. Semoga dengan usaha kecil ini mampu menjadi saksi di hadapan Allah pada hari pengadilan bagaimana kita membantu saudara seIslam yang sedang dalam kesusahan. Jadilah seperti kisah burung yang berusaha mengambil air dengan paruhnya yang kecil untuk memadam api yang membakar Nabi Allah Ibrahim AS. Umum mengetahui keterbatasan hasilnya namun Allah melihat usaha hamba-hambaNya.

 

Baca juga:

>> Palestin Sebelum Diganyang Israel

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker