Dalam usaha menaikkan nilai matawang dan seterusnya memperkasakan ekonomi negara, kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengambil langkah untuk melaksanakan dasar subsidi bersasar. Dalam erti kata lain subsidi bersasar adalah satu langkah rasionalisasi subsidi. Rasionalisasi adalah langkah pertama ke arah penghapusan subsidi yang diberikan kerajaan.
Sebagai rujukan dan maklumat tambahan buat pembaca, pada tahun 2017, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM8.3 bilion untuk subsidi minyak petrol, diesel, minyak masak dan lain-lain bahan. Namun pada tahun yang sama, negara kerugian sebanyak RM47 bilion akibat daripada rasuah.
Pada tahun 2022 pula kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM62 bilion untuk subsidi, manakala pada tahun yang sama kerugian yang ditanggung akibat rasuah dan ketirisan adalah berjumlah hampir RM168 bilion.
Ternyata jumlah yang dibelanjakan untuk subsidi amat kecil jika dibandingkan dengan kerugian yang dihadapi negara akibat dari gejala rasuah. Maka timbul persoalan, mengapakah tidak kerajaan meningkatkan usaha memerangi gejala rasuah berbanding rasionalisasi subsidi?
Bukankah lebih penting rasuah itu ditangani berbanding penghapusan subsidi? Sekalipun jika kerugian negara adalah kurang daripada perbelanjaan subsidi, tidak ada sebab rasuah perlu dibiarkan. Ini kerana sifat mengambil rasuah itu adalah suatu penyakit yang wujud akibat ketamakan peribadi segelintir manusia.
Apakah dengan menghapuskan subsidi usaha memerangi rasuah akan mampu ditingkatkan? Tidak masuk akal perbandingan ini kerana ianya dua perkara yang berbeza.
Penghapusan rasuah memerlukan kepada penguatkuasaan dan pendidikan penjawat awam dan swasta. Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya perlu dihukum, walaupun secara umumnya di Malaysia hanya penerima rasuah dihukum manakala pemberi rasuah bebas bermaharajalela untuk meneruskan kegiatan mereka.
Sebaliknya penghapusan subsidi pula adalah sesuatu yang lebih mudah dilakukan, walaupun ianya menyakitkan dan memberi tekanan emosi, jiwa dan kewangan kepada rakyat. Tiada usaha penguatkuasaan perlu dilakukan oleh mana-mana pihak dan kesengsaraan rakyat akan berterusan.
Sungguhpun subsidi itu tidak wajar diberikan secara pukul rata, namun penghapusan subsidi tanpa menangani terlebih dahulu gejala rasuah adalah sesuatu tindakan yang tidak masuk akal bahkan zalim.
Baca juga>> Siapa Haji Taib Sebenarnya?
Bukankah lebih wajar suatu penyakit yang menggenggam negara dihapuskan terlebih dahulu sebelum tindakan pemampanan ekonomi yang lain diambil? Tindakan perlu di ambil kerana ianya adalah tindakan yang haq dan benar, bukan semata-mata kerana ianya sesuatu yang mudah dilaksanakan.
Dalam konteks ini jelas rakyat dibebani oleh rasuah, ditambah pula dengan tindakan rasionalisasi subsidi yang bertopengkan istilah subsidi bersasar.
Rasuah mengakibatkan kenaikan harga projek kerajaan, kenaikan kos penyelenggaraan, pembekalan barangan yang tidak menepati kualiti, kelewatan dalam memenuhi permintaan dan lain-lain perkara yang berkaitan. Kesemua perkara ini menjadikan perbendaharaan negara terbeban.
Seterusnya bebanan ini akan membawa kepada kekurangan dana di dalam perbendaharaan, lalu kerajaan yang kini terbeban akibat kekurangan kewangan akan mengambil langkah untuk menghapuskan subsidi dan menaikkan kadar cukai-cukai sedia ada. Penghapusan subsidi sahaja sudah mencukupi untuk membebankan rakyat, ditambah pula dengan pengenalan cukai baru serta peningkatan kadar cukai sedia ada, kehidupan rakyat semakin terhimpit.
Perkara ini akan membawa kepada ketidakpuasan hati lalu menatijahkan ketidakstabilan sosial dalam negara, seterusnya mengurangkan keyakinan pelabur untuk melabur dalam negara. Kurangnya inisiatif dalam menangani gejala rasuah akan membawa kepada suatu kitaran ekonomi yang akan senantiasa membebankan rakyat, dan bebanan ini akan meningkat saban tahun.
Persoalan yang kedua adalah, apakah yang akan dibuat dengan penjimatan yang berpunca dari rasionalisasi subsidi? Apakah inisiatif kerajaan dalam membelanjakan wang berlebihan dari rasionalisasi subsidi? Perkara ini juga tidak jelas, dan perlu dijelaskan.
Langkah sewajarnya adalah untuk mengambil tindakan terhadap gejala rasuah terlebih dahulu, dan seterusnya apabila perkara ini sudah ditangani maka barulah kerajaan boleh mengorak langkah untuk rasionalisasi subsidi.
Rasionalisasi subsidi tidak akan membawa manfaat kepada negara sekiranya gejala rasuah tidak ditangani. Bahkan boleh sahaja terjadi bahawa, duit subsidi yang dijimatkan itu juga hilang akibat gejala rasuah yang kian berleluasa.