Seperti biasa Edisi Rumusan minggu ini menyentuh beberapa isu semasa dalam dan luar negara khususnya isu kesihatan, ekonomi, undang-undang, politik, sosial, perubahan suhu cuaca, keselamatan dalam dan luar negara bermula 9 Januari hingga 15 Januari 2023.
Beralih ke minggu kedua Januari 2023 hampir sama saja isu ataupun peristiwa yang berlaku. Selepas banjir semakin surut dan bencana alam semakin berkurangan, timbul pula bencana hasil dari tangan-tangan manusia mengisi ruang berita semasa dan walaupun ia hanyalah sebuah bentuk pengulangan peristiwa, tetapi amat bermakna untuk kita sama-sama insafi dan baiki diri dalam melihat kejadian yang sering berlaku.
EKONOMI
Kemelut Harga Barang Terus Naik, Pengguna Hidup Tertekan
Masih terdengar keluhan rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 tentang kenaikan harga barang yang terus melonjak saban hari dan berharap menteri bertanggungjawab segera menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebelum ini, kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bahawa, pengguna turut menjadi sebab harga makanan terus meningkat di negara ini, selain meminta pengguna untuk tidak membeli jika barang mahal dan kenyataan itu menerima kecaman ramai. Tampil, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dato’ Paul Selva Raj, mengkritik kenyataan dari Menteri Ekonomi itu. Tegas Dato’ Paul, secara jujurnya, beliau percaya bahawa golongan B40 dan M40 sedang bergelut untuk menyara keluarga mereka dan untuk mengekalkan beberapa tahap minimum jaminan kewangan. Jelasnya, punca harga tinggi adalah kerana pengeluaran makanan yang rendah, pergantungan kepada import makanan dan manipulasi harga, bukannya kerana pengguna yang makan makanan mahal. Beliau tidak dapat menerima kenyataan oleh Rafizi iaitu – jika ayam mahal, jangan makan ayam, jadi mungkin makan ikan. Jika ikan mahal – jangan makan ikan. Jika sayur mahal – jangan makan sayur. Bagaimana jika susu tepung untuk bayi mahal? Apa yang kita hendak makan, pula?” soal Paul lagi. Justeru, Dato’ Paul menegaskan bahawa Kerajaan mempunyai peranan penting dalam pengeluaran makanan dan pengawalseliaan rantaian bekalan makanan. Daripada menyalahkan pengguna, lebih baik Kerajaan memperkasakan pengguna dengan mendidik mereka tentang penggunaan dan kewangan,”katanya.
Telur Hilang: Mat Sabu Intai Telur Sampai Ke India?
Mungkin ini adalah jenaka apabila kita sebagai antara 5 negara terbesar pengeluar telur di dunia dengan 6 peratus stok bekalan di eksport. Selain Belanda dengan eksport telur mencapai 10.6 peratus kemudian diikuti oleh Amerika. Walaupun itu data 2021 tetapi tentulah data itu tidak adil jika hendak dibandingkan krisis telur di negara kita selepas berlakunya perang Rusia dan Ukraine yang mengakibatkan kenaikan harga ternakan menjadi sangat mahal ditambah kesan rantaian Covid–19 yang lalu. Bagaimanapun, Malaysia masih relevan untuk dikatakan sebagai negara ke 5 pengeksport telur terbesar di dunia. Mungkin atas dasar itu, Pengguna mempersoalkan tindakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu yang mengadakan lawatan ke Ladang Ternak Ayam Telur di Namakkal, Tamil Nadu, India sehingga mendapat kecaman ramai pihak terutamanya jabatan netizen khasnya yang dimonopoli sebahagian besar rakyat Malaysia. Sekali tengok tindakan praktikal Mat Sabu ini nampak bijak dan prihatin berbanding dengan hanya berformula sahaja. Bagaimanapun, tinjauan mendapati rata-rata rakyat menyarankan agar Menteri itu terus tinggal saja di negeri India, jangan balik-balik lagi ke Malaysia kerana membuat keputusan yang diluar kotak dengan berusaha mengimport telur ayam dari India. Bayangkan kita negara pengeluar telur, tetapi tak tahulah apa yang difikirkan menteri . Walhal telur yang dari India itu saiznya lebih kecil dan jauh lebih mahal selain kenaikan kos pengangkutan domestik menggunakan kargo udara mahupun kargo laut. Timbul pula persoalan, kenapa harga telur yang didatangkan dari India tidak boleh dikawal harganya dan mengapa pula telur tempatan pula dikawal harganya. Ini menimbulkan tanda tanya mengapa kerajaan bersikap buyers. Itu belum kira harga dengan charge kos pengendalian telur lagi, semua masuk bil rakyat. Walaupun rakyat faham pemain eksport di monopoli di peringkat antarabangsa dan ia tidak boleh dikawal tetapi adakah tindakan yang dibuat hanya untuk mengambil hati rakyat dan bersifat sementara. “Pening tengok menteri yang tak dak fungsi, menteri formula pun senyap sunyi ke dah hilang terus?”-Netizen
Dengar Kata Di Yong Peng Pun Ada Lebih 100 Ladang Ayam. Betul Ke?
Bukan sahaja netizen, malah Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong turut mempersoalkan tindakan Mohamad Sabu yang didakwa mengutamakan telur ayam import berbanding telur ayam tempatan. “Abang Mat, jauh jelajah?! Perlu ke India tengok telur ke?” Beliau turut cadangkan agar Mohamad Sabu datang ke kawasannya di Parlimen Ayer Hitam kerana di Yong Peng ada lebih 100 ladang ayam dan di sinilah tempat paling popular menghasilkan telur untuk pasaran tempatan dan juga berjuta-juta telur dieksport ke Singapura setiap hari,” tulis beliau menerusi hantaran di Facebooknya. Dalam hantaran tersebut, beliau turut menyeru Mat Sabu untuk mengubah harga kawalan selaras dengan harga telur import India iaitu RM0.50 sebiji agar penternak tempatan tidak menanggung kerugian. Katanya, telur tempatan hanya dijual dengan harga RM0.41 sen sebiji disebabkan wujudnya kawalan harga. Ia sekali gus menyebabkan penternak tempatan menanggung rugi berikutan kos mereka melebihi harga kawalan telur. Bukan itu sahaja, beliau turut mempersoalkan berhubung kesegaran telur ayam dari India yang diangkut melalui kapal dan perlu mengambil masa tiga hingga empat minggu untuk sampai ke Malaysia, walaupun menggunakan kargo berhawa dingin. Berikutan itu, Wee Ka Siong mencadangkan agar Kerajaan mewujudkan “elaun telur secara top-up” kepada golongan B40 untuk menanggung beban kewangan sekiranya pihak Kerajaan bersungguh untuk membantu golongan ini. “Abang Mat, telur India RM0.50 sebiji tau? Utamakanlah penternak tempatan. Tak payah import telur dari India jika bekalan mencukupi. Kan Kementerian Abang Mat turut menjaga keterjaminan makanan? Fikir-fikirkanlah Abang Mat.” “Telur dan ayam adalah makanan asas rakyat tak kira kaum atau agama. Patut dijadikan keutamaan,” tegasnya. Media sebelum ini melaporkan, Mohamad Sabu pada hujung minggu lalu telah berlepas ke Namakkal, Tamil Nadu, India bagi melihat sendiri proses pengeluaran telur ayam yang dieksport ke Malaysia serta memastikan telur yang diimport berada dalam keadaan bersih, selamat dan lebih murah dari telur tempatan.
Kerajaan Tekad Kekalkan Harga Telur Di Bawah Harga Kawalan.
Masih isu telur, dan terbaru, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata, Kerajaan kekal dengan pendirian untuk mengekalkan harga telur di bawah harga kawalan dan tidak mengapungkannya. Fuziah Salleh berkata, walaupun terdapat permintaan dari pihak yang berkaitan, namun kerajaan lebih berhasrat untuk mengawal harga telur buat masa ini. Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan caj-caj tersembunyi termasuk caj pengendalian telur dan pengangkutan yang membebankan pengguna, Fuziah berkata pihaknya sedang menyiasat perkara terbabit. “Kita pun tak salahkan peruncit sepenuhnya. Kita akan siasat untuk melihat lapisan mana yang mengambil untung ‘lebih’ dan ianya tidak boleh dibiarkan berlarutan, kita akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa kementerian. KPDN merupakan sekretariat kepada Majlis Tindakan Kos Sara Hidup yang turut disertai oleh kementerian-kementerian lain, jadi memang kami saling bekerjasama untuk menyiasat hal ini dan sentiasa memberi perhatian isu itu,” katanya.
Babi Masuk Parlimen, Ayam & Telur, Apa Cerita?
Yang menyakitkan hati rakyat ialah apabila harga babi mahal boleh saja diadakan rundingan sehingga membawa ke parlimen, tetapi apabila harga ayam mahal pemimpin memberi kata putus untuk rakyat kurangkan makan ayam. Terkadang terfikir kita mengapa negara ini memiliki pemimpin yang kurang waras. Takkan nak salahkan leluhur dan keturunan, sedangkan kita sedar ini bukan salah ibu yang mengandungkan, lagipun kita yang pilih mereka untuk memimpin. Isu Babi masuk Parlimen menyebabkan rakyat bersuara mengenai bekalan telur ayam yang masih bercatu susulan Kerajaan gagal menguruskan pembekalan dalam negara. Harga babi? Boleh masuk Parlimen dan ada kepastian untuk stabilkan harga. Selama ini bekalan telur ayam Gred A adalah RM12.90/30 biji tetapi apabila pergolakan politik berlaku sehingga habis pilihan raya serta terbentuk Kerajaan baharu, bekalan telur terus terputus dan bercatu malah hampir pupus. Nak bercerita ekonomi apa kalau pengurusan pembekalan ayam dan telur pun masih celaru? Sebelum ini ada bunyi nak panggil semua pengilang dan pengeluar telur, ayam untuk bincang, sekarang apa keputusannya? Senyap je. Apa cerita! Perkembangan Isu Ayam pun setakat ini paling hebat pun menteri hanya suruh rakyat bersabar je. Mungkin kita patut tunggu sampai ayam jantan bertelur, baru akan selesai isu telur dan ayam ni. Makan jelah apa yang ada, yang penting bersyukur, betul tak YB?Takpe YB settle dulu Isu Babi, Okay!
Penternakan Babi Besar-besaran Tidak Boleh Diusik
Sebelum ini pun, Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah telah mendedahkan mengapa babi ‘halal’ dan penternakan babi besar-besaran tidak boleh diusik. Ini kerana salah satu rukun politik orang Cina adalah mereka menjaga NGO atau parti politik dengan saling sokong menyokong agar terus kuat mendesak Kerajaan. Ini dapat dilihat apabila naik sahaja harga babi, mereka terus menekan Kerajaan sampai membawa perkara ini ke Kabinet, selain NGO Cina adalah yang paling banyak di Malaysia iaitu hampir 10 ribu buah di negara ini walaupun bilangan penduduknya tidak seramai Melayu Bumiputera. Sedangkan NGO Melayu tidak ada sebanyak itu walaupun Melayu adalah kaum majoriti. Nak harapkan ahli politik Melayu, siang malam kerjanya berpolitik saja tak sudah-sudah. Masalah parti pun belum selesai apatah lagi masalah negara, hal ekonomi lagilah. “Tidak mengapalah, Malaysia kan negara demokrasi?” Amat sinonim jika sebut demokrasi teringat pula filem 3 Abdul arahan Tan Sri P Ramlee terutama dialog Abdul Wahid tentang isu ‘diktaktor vs demokrasi terpimpin’ Beliau yang memuji cara ‘demokrasi terpimpin’ ketika membincangkan soal harta pusaka yang diperebutkan itu dengan spontan dijawab abang sulongnya, Abdul Wahab, “terpimpin kepala bapak kau!”
7 Ladang Babi Dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF) – 25,000 Ekor Dimusnahkan
Tak berselang lama, dan hukum karma itu tak pernah lupa mangsanya. Terbaru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengisytiharkan penyakit demam babi Afrika (ASF) sebagai bencana di negeri itu setelah lima lagi ladang babi komersil dijangkiti penyakit terbabit. Ini menjadikan keseluruhan tujuh ladang ternak babi telah dijangkiti ASF dan membabitkan 25,000 ekor haiwan di semua ladang berkenaan yang akan dimusnahkan secara berperingkat. Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), pihaknya telah menjalankan ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi di ladang yang disahkan positif penyakit ASF secara berperingkat dengan bangkainya ditanam di ladang tersebut atau kawasan khas disediakan Kerajaan Negeri. “Pemusnahan dijalankan menggunakan kaedah gas CO2 (berkepekatan tinggi) mengikut garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan iaitu Pengurusan Pelupusan Haiwan sebelum bangkai-bangkai babi ditanam secara sempurna.” Malah, pihak berkuasa turut menjalankan aktiviti pemantauan, pemeriksaan karkas di rumah sembelihan babi dan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) bagi mengawal penularan penyakit demam babi Afrika ini, kata JPV dalam satu kenyataan. Pihak Polis dan Penguatkuasa Veterinar juga mengadakan Sekatan Jalan Raya (SJR) di jalan-jalan masuk ke kawasan Perkampungan Valdor sejak 10 Januari yang lepas dan ia dijalankan bagi mengawal pergerakan keluar serta masuk babi hidup dan karkas babi dari kawasan jangkitan seterusnya mengawal penularan penyakit ASF ini ke kawasan lain.” “Aktiviti pemantauan dan pemeriksaan karkas juga giat dijalankan di semua rumah sembelih babi berlesen di Pulau Pinang dan pihaknya tidak menolak kemungkinan penyakit ASF itu akan terus merebak di ladang babi lain,” kata JPV lagi. Ini baru betul-betul ‘sudah terhantuk baru tengadah’. Babi betul!
ISU BAHASA
Bahasa Kebangsaan Vs Bahasa Inggeris (Final Round)
Pejabat Peguam Negara melalui peguamnya Idris Harun mengeluarkan kenyataan pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan versi Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Malaysia sebagai teks berautoriti. Walaupun, sebenarnya, 20 tahun lalu Teks BM Perlembagaan sudah sah dan teratur tetapi mungkin hanya sekarang menjadi relevan untuk dikeluar semula cadangan bernas itu. Maka tidak hairanlah, selepas 66 tahun Malaysia Merdeka mungkin baru sekarang peguam tersedar bahawa Perkara 152 rupa-rupanya ada tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan di mana Bahasa Kebangsaan adalah Bahasa Melayu. Tahniah atas usaha gigih tanpa penat lelah mencari gali keberadaan akta perkara ini dan ia seharusnya patut diberi pujian. Selain itu, Pejabat Peguam juga turut merancang mencetak semula Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan pindaan “bersejarah” yang digubal, baru-baru ini seperti Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik, yang digazetkan pada 1 Disember 2021. Kenyataan itu dikeluarkan pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023, minggu lalu. Sebagai tambahan, isu teks sahih Perlembagaan Persekutuan Bahasa Inggeris telah pernah dibangkitkan oleh para peguam Melayu dan NGO sejak 2020 lagi yang mengatakan bahawa teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan sepatutnya telah lama menggantikan teks sahih dalam Bahasa Inggeris memandangkan ianya sudah dilaporkan sejak tahun 2003 lagi setelah pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2001 dilaksanakan dengan menambah Perkara 160B. Persoalan mengenai keabsahan teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu itu dikatakan telah dicatat pada peristiwa bersejarah yang dirakamkan pada tarikh 29 September 2003. Sepertimana yang pernah dilaporkan ia telah dilancarkan oleh KDYMM Yang di-Pertuan Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada tahun 2003, dan sudah boleh diterima sebagai satu teks sahih yang berautoriti dan boleh digunakan.
Adun DAP Dakwa Bukan Islam Bimbang Jika Guna Bahasa Melayu
Tak mahu terlepas pandang dan ketinggalan dalam isu ini Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Profesor Dr P. Ramasamy tampil prihatin sebagai mendakwa dan menyuarakan wujudnya kebimbangan terutamanya oleh orang bukan Islam sekiranya teks sahih Perlembagaan dalam Bahasa Melayu menjadi teks berotoriti selain khuatiran terhadap kesannya yang akan merumitkan urusan penjagaan anak kepada pasangan yang berpisah atau bercerai yang membawa kepada penukaran agama anak tersebut kepada salah seorang, sama ada ibu atau bapa tersebut. Ini kerana, menurut beliau, dalam versi Bahasa Inggeris, perkataan ‘parent’ merujuk kepada kedua-dua ibu bapa, ibu dan bapa, dengan makna jamak, manakala dalam versi BM, ianya membawa makna bahawa sama ada ibu atau bapa, ujarnya. Oleh itu, perkara ini turut menimbulkan kebimbangan di kalangan kumpulan hak asasi manusia, antaranya berkaitan perbezaan asas dalam makna ibu bapa dalam versi BI berbanding dengan “ibu dan bapa” dalam versi BM. Menurut P. Ramasamy lagi, cadangan untuk menjadikan Perlembagaan versi Bahasa Malaysia (BM) sebagai teks berwibawa perlu dibincang dan dipertimbangkan dengan teliti kerana akan menimbulkan masalah berkaitan tafsiran teks, makna perkataan, tunggal atau jamak dan terjemahan. “Dalam erti kata lain, tumpuan tunggal kepada BM sebagai teks berwibawa mungkin membawa kepada keadaan di mana sumber asal mungkin dilupakan dengan mengorbankan nasionalisme yang bersikap fikiran sempit.” Selain itu, P. Ramasamy juga meluahkan kebimbangan sekiranya versi BI dihapuskan sebagai teks asal Perlembagaan, maka pergantungan kepada versi BM akan membuka pintu untuk pertikaian undang-undang yang tidak terkira banyaknya yang mencabar keputusan terdahulu berdasarkan versi BI Perlembagaan. Beliau juga mempersoalkan bagaimana teks BM boleh menjadi yang berwibawa sedangkan ia telah diterjemahkan daripada versi BI dan apakah teks Perlembagaan BI akan dibuang sebagai versi atau sumber yang tidak berwibawa? Justeru, P. Ramasamy menyarankan supaya teks Perlembagaan Persekutuan BI harus kekal sebagai panduan kepada prinsip perundangan dan perlembagaan demi kepentingan utama keadilan, kesaksamaan dan demokrasi. Semoga kekeraan beliau itu menjadi asbab jelas penolakan bagi perlaksanaan teks Bahasa Melayu sekaligus dapat disesuaikan dengan perpatah “kera dihutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan.”
MCCBCHST Nyatakan Teks Asal Perlembagaan Persekutuan Harus Dikekalkan Berbahasa Inggeris
Sebelum ini pun, ada juga beberapa pihak termasuk Majlis Perundingan Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) dalam satu kenyataan menyatakan teks asal Perlembagaan Persekutuan harus dikekalkan berbahasa Inggeris. Tetapi, mungkin sekarang masa yang tepat dan terpaling relevan untuk melaksanakan BM, kerana Pejabat Peguam Negara mungkin sudah tidak sesibuk dulu dan boleh menumpukan kepentingan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan itu untuk kembali diteliti agar Kerajaan menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Malaysia sebagai versi muktamad (authoritative) bagi Undang-undang Tertinggi di Malaysia. Walaupun, dua cadangan ini masih tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong. Tak apalah, “biar lambat asalkan selamat”. Sekurang-kurangnya ada juga ketersedaran selepas terjaga dari tidur yang panjang. Mungkin kalau bahasa penjajah sehari saja proses sudah cukup, tetapi kalau Bahasa Melayu tak tahulah berapa ratus tahun lagi nak proses dan diteliti. Apa prosedur lagi nak kena ikut, kita sama-sama tunggu dan lihat sajalah sebelum K.O.
IBADAH
KUOTA HAJI – Kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 orang kuota jemaah haji Malaysia untuk tahun 1444H/2023M, tahun ini. Keputusan itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang memberitahu, kelulusan itu diberikan Menteri Haji dan Umrah, Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia ketika beliau menghadiri mesyuarat bersempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan Kerajaan Arab Saudi, pada 11 Januari 2023, lalu. Menurutnya, pada mesyuarat yang penuh mahabbah itu, Dr Tawfiq Fawzan memuji Malaysia khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang baik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang perlu dijadikan contoh kepada pihak lain. Bagi pihak Kerajaan Malaysia beliau menzahirkan rasa bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi atas kuota diberikan itu. Beliau yakin penilaian sudah dibuat oleh Kerajaan Arab Saudi dari semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin ketika menunaikan rukun Islam yang kelima. Pada tahun lalu, Kerajaan Arab Saudi meluluskan 14,306 kuota haji Malaysia iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan terpakai kepada semua negara. Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.
SCAMMER
Kerajaan digesa untuk mengeluarkan senarai sindiket yang terlibat dengan scammer dan tidak hanya menunggu sehingga 10,000 orang menjadi mangsa. “Akta Pencegahan Jenayah 1959 atau POCA perlu digunakan lebih dinamik untuk tangkap sindiket sedia ada. Jika ada menghidu kegiatan ini berlaku, ambil tindakan segera dengan mengeluarkan nama, jangan sampai 10,000 mangsa barulah pihak berkuasa keluarkan senarai,” menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim. Jelas beliau, penglibatan pelbagai agensi Kerajaan untuk bertindak dengan lebih proaktif perlu dilakukan agar penguatkuasaan mahupun undang-undang dapat dilakukan secara menyeluruh sekali gus dapat menangani scam yang berselindung di sebalik nama tertentu. Tambahnya lagi, kegiatan scam kini bertindak berani apabila menggunakan nama-nama tententu namun modus operandinya tetap sama. “Sebutlah nama itu, nama ini, tetapi modus masih sama dengan niat memperdaya mangsa dan akhirnya mereka mengaburi keuntungan berlipat kali ganda,” ujarnya. Susulan itu, beliau menyeru kepada sesiapa yang menjadi mangsa untuk menghubungi MHO di talian 01129050000 sekiranya memerlukan bantuan lanjut.
KESIHATAN
Laporan media dengan merujuk info grafik yang dikeluarkan KKM Putrajaya yang akan meneliti tujuh indikator dalam negara sebelum membuat keputusan mengetatkan SOP jika terdapat keperluan. Adakah ini satu ‘hint’ dari kementerian bahawa akan diadakan lockdown pada bila-bila masa mengikut telunjuk dan greenlight dari WHO. Sama-samalah kita rakyat marhaen ni berdoa. Lebih mengecewakan apabila Kedatangan pelancong daripada China yang dikatakan semakin banyak dijangkiti dengan virus baru pula dialu-alukan. Ini berikutan cadangan yang dikeluarkan MOTAC untuk memberi laluan mudah bagi pengembara dari China. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), mencadangkan laluan mudah disediakan di lapangan terbang antarabangsa negara ini bagi menerima kedatangan pelancong dari China dengan lebih baik. Walaupun dalam masa yang sama, Menteri EU Mahu Pelancong China Diuji COVID-19. Kebanyakan daripada 27 buah negara yang menjadi ahli Kesatuan Eropah (EU) mahukan agar penumpang yang datang dari China diperiksa secara sistematik bagi tujuan saringan COVID -19 sebelum berlepas. Terdahulu, Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), telah menggesa Kerajaan supaya mempercepat prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi kemasukan pelancong dari China bermula 8 Januari,lalu. Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) turut menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan ujian COVID-19 kepada pelancong dari China dilakukan sebelum dibenar masuk kerana bimbang sistem dan kakitangan perubatan akan terbeban jika kes meningkat secara mendadak. Sebahagian, NGO pula berpandangan bahawa mungkin Kerajaan lebih sayangkan pelancong China walaupun COVID-19 sedang menggila. Pendirian Kerajaan untuk meneruskan kemasukan pelancong dari negara yang menjadi punca pandemik COVID-19 itu seolah-olah beriya-iya dalam menggalakkan pula. Ini belum lagi tentang 1.2 juta warga China yang dikesan tidak keluar dari Malaysia. Mungkin dengan harapan supaya akan datang sambutan terhadap vaksin menjadi popular semula. Dan kerugian terdahulu apabila terpaksa melupuskan 6 juta vaksin dapat di ‘cover’ semula.
SOSIAL
Aktivis Puji KPM Batalkan Program Selawat
Aktivis, Siti Kasim memuji Jabatan Pendidikan Johor dan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membatalkan pelaksanaan Program Sekolah Berselawat (PSB) yang sepatutnya diadakan di negeri Johor 5 Januari lalu. Aktivis, Siti Kasim dalam satu hantaran, baru-baru ini memuji tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas keberanian membatalkan pelaksanaan Program Sekolah Berselawat (PSB). “Tahniah kepada KPM kerana mengambil tindakan terhadap perkara ini,” katanya ringkas di laman Twitter beserta lampiran surat pembatalan program. Program tersebut telah dijadualkan berlangsung pada 5 Januari 2023 di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram, Johor selama satu jam sahaja, bermula 7.30 pagi hingga 8.30 pagi. Walaupun jabatan berkenaan menafikan pembatalan program itu tidak ada kena mengena dengan pihak lain namun tindakan itu sekurang-kurangnya berjaya menghibur dan menggembirakan hati segelintir rakyat dalam negara ini terutamanya golongan yang sering merasa terpinggir dan tersisih.
Bertahun Masalah Tudung Pramugari Muslim Masih Belum Selesai
Malaysia mempunyai pelbagai agensi agama, namun tidak berupaya memberi penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh pramugari Muslim sejak bertahun lagi. Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan juga tidak mampu untuk menyelesaikan isu tiada pilihan untuk bertudung yang dihadapi pramugari Islam di negara ini. Bayangkanlah, bertapa lemahnya penguatkuasa sehingga isu ini telah memakan masa bertahun-tahun dan masih lagi tidak dapat meyakinkan beberapa pihak berkaitan, bahawa ianya hak wanita Muslim dan semua wanita untuk memilih pakaian yang selesa, sesuai dan tak mendedahkan mereka pada gangguan seksual. Bertahun-tahun MAS Malaysia, AirAsia, Kementerian Pengangkutan tak dapat diyakinkan bahawa hak wanita Muslim (in fact mana-mana wanita) untuk boleh pilih pakaian yang selesa dan sesuai dan tak exposed kan mereka pada gangguan seksual. Lebih menyedihkan, dalam perjuangan menegakkan hak wanita dalam isu ini, ia juga memerlukan usaha sehingga dibincang dan dibawa ke mahkamah selain terpaksa meminjam beberapa artikel termasuk dari Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW). Malaysia harus belajar daripada negara-negara luar bagaimana mereka menyelesaikan isu fundamental ini seperti British Airways yang telah memperkenalkan pakaian seragam baharu. Walaupun British Airways buat pertama kali dalam tempoh hampir 20 tahun tetapi berani menampilkan hijab dan tunik sebagai salah satu pilihan uniformnya. Dalam satu kenyataan dikeluarkan British Airways, koleksi baharu untuk krew kabin itu menyediakan, sut three-piece untuk lelaki dipadankan dengan seluar berpotongan biasa dan slim fit, dress, skirt dan seluar untuk wanita, dan juga jumpsuit moden. Pilihan tunik dan tudung juga telah dicipta untuk carrier global. Sikap orang Malaysia yang suka meniru ini tak pernah berubah, tak pernah nak bangga dengan identiti negara sendiri, termasuklah Bahasa Kebangsaan dan Sistem Pendidikan pun semua nak ditiru, dicedok walhal, negara dah 60 tahun merdeka. Lebih jahil apabila yang ditiru semuanya perkara lara. Kartun betul pengurusan yang ada dalam negara ini.
LGBT
Tidak Mahu Iktiraf LGBT, PM Terus Di Kecam
Kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa liberalisme, LGBT dan sekularisme tidak akan pernah diiktiraf oleh Kerajaan Perpaduan perlu dirungkai dengan cara bernuansa, kata Thilaga Sulathireh, pengasas bersama Justice for Sisters. Menurut Thilaga, Anwar sebagai Perdana Menteri yang mewakili kepentingan kebanyakan orang termasuk rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama, latar belakang geografi, orientasi seksual dan identiti jantina tidak sepatutnya menyumbang kepada diskriminasi golongan LGBT. Jelasnya, kenyataan Anwar yang telah tersebar luas di kebanyakan media Malaysia serta Indonesia telah meningkatkan lagi sentimen anti-LGBT. Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap diskriminasi yang berterusan tanpa hukuman terhadap golongan LGBT di seluruh rantau ini. Malah, Thilaga berkata, Anwar sebagai Perdana Menteri sepatutnya menunjukkan kepimpinan dan inovasi dalam menangani serangan sentimen anti-LGBT dan anti-liberal serta kesannya terhadap komuniti yang terpinggir termasuklah golongan LGBT, pembela hak asasi manusia dan Muslim progresif. Berikutan itu, Thilaga menyeru Anwar dan pentadbirannya untuk mengamalkan proses demokrasi dengan melibatkan masyarakat sivil dalam menangani serangan anti-LGBT dan sentimen anti-liberal demi memecahkan cengkaman yang dimiliki oleh pelaku anti-hak dalam menentukan dan mengawal naratif dalam landskap politik. Baru-baru ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa golongan LGBT konsep negara sekular dan ideologi komunis tidak mungkin diiktiraf dalam Kerajaan Perpaduan. Beliau yang merujuk kepada dakwaan sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri maka sekular dan komunis akan mula bertapak serta LGBT akan mula disahkan, menyifatkannya sebagai satu igauan dan menyangkal dakwaan tersebut.
PERAYAAN – Tahun Baru Cina
Majlis 10,000 Tanglung Merah, Tanda Permulaan Baharu Bangsa Malaysia
Veteran DAP Lim Kit Siang dalam satu kenyataan mengatakan Majlis penyalaan 10,000 tanglung sutera merah di Jalan Raja Uda ini amat bermakna dalam menandakan kedatangan permulaan baharu untuk Malaysia bagi menyambut kedatangan Tahun Arnab sekali gus menyambut kedatangan Tahun Baru Cina di mana beliau turut mendakwa acara tersebut satu-satunya acara diadakan di Malaysia dan mungkin di dunia. Dalam pada itu, beliau berkata, kedatangan era baharu ini juga sesuai untuk mencipta sebuah Bangsa Malaysia dari kepelbagaian masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya serta ianya memenuhi kebutuhan negara yang memerlukan penetapan semula dasar pembinaan negara. Lim Kit Siang turut mendakwa ia isyarat bermulanya usaha untuk menetapkan semula hala tuju negara, selain acara ini menandakan berakhirnya pandemik COVID-19. Justeru, beliau mengajak orang ramai menjadikan majlis “Menyalakan 10,000 Tanglung Sutera Merah” sebagai isyarat kedatangan era baharu di mana rakyat Malaysia di dalam dan di luar negara dapat berbangga menjadi anak Malaysia. Inilah Antara Pepatah “Beri Betis Nak Paha”. Program ni Aktivis Siti Kassim dah puji ke belum?
Veteran DAP Cuba Bawa Masuk Budaya Yahudi Ke Malaysia
Lampu Ketupat Tidak Sebanyak Tanglung
Bagaimanapun, kenyataan Lim Kit Siang untuk menyalakan 10,000 Lampu Tanglung, itu dikecam hebat oleh Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang menegaskan bahawa Malaysia bukan Hongkong. Dr Ridhuan Tee mempersoalkan mengapa identiti negara perlu ditenggelamkan oleh 10 ribu lampu tanglung yang mengalu-alukan kedatangan tahun baharu Cina tidak lama lagi. “Sudah butakah Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk membenarkan semua ini berlaku? Ini bukan Hong Kong, tetapi MALAYsia, perkataan Malay itu, atau Melayu itu masih wujud. Itulah identiti yang tidak boleh ditenggelamkan oleh lampu tanglung,” tegasnya. Sedangkan, negara lain seperti Brunei tidak membenarkan sama sekali perkara ini berlaku walaupun di sana ada 30 peratus Cina. Brunei tidak akan membiarkan negaranya tenggelam dengan identiti minoriti kerana mereka ada jati diri dan identiti, tanpa menafikan hak bukan Islam termasuk kaum Cina, tetapi berpada-pada,”ujar beliau. Profesor Dr Ridhuan Tee menegaskan lampu tanglung ini hanyalah untuk menghidup satu bangsa agar menjadi ‘dominan’ dan ini adalah budaya Yahudi. “Identiti Malaysia ada Melayu Bumiputera. Mana boleh dipenuhi dengan semua tanglung 10 ribu di Jalan Raja Uda dan bandaraya Pulau Pinang. Ini tidak betul. Kenapa ultra kiasu begitu berani melakukannya.” Menyedihkan, negara Malaysia menjadi seperti negara China ketika tiba Tahun baharu Cina tetapi apabila tiba Tahun Baharu Islam dan Hari Raya Puasa, lampu ketupat tidak sebanyak tanglung. “Kenapa tidak sponsor lampu ketupat ketika Raya Puasa atau Tahun Baharu Hijrah,” katanya lagi. Benar, negara ini ada sejarah interaksi dengan China, India, Arab dan Barat. Tetapi negara tidak boleh berubah identiti menjadi negara China, India atau Arab, apabila ada perayaan tertentu. “Ultra kiasu rasis ini tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegini dalam sebuah negara majoriti Melayu Bumiputera dan Islam.” Oleh yang demikian, Profesor Dr Ridhuan Tee mengharapkan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang mengambil tindakan sewajarnya agar negara ini tidak tenggelam dengan identiti minoriti. Kalau pun tak tahu kenang budi, berusahalah menghayati identiti negara sendiri, budaya luar usah dibawa masuk. Ia nantinya hanyalah bencana yang kelak memakan diri sendiri.
ARAK
Islamofobia dan Naratif Kebencian Agama
Dalam satu kenyataan media, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia Kedah (PERKASA) merujuk kepada kenyataan akhbar yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah mengenai penjualan arak yang dicadang akan boleh dijual hanya di premis- premis tertentu seperti di kawasan penduduk bukan Islam sahaja. PERKASA KEDAH menyambut baik tindakan tegas Kerajaan Negeri berhubung penjualan arak secara terbuka itu, terutama di kawasan majoriti orang Islam di Kedah. PERKASA turut menyatakan sokongan kepada usaha kerajaan Kedah berdasarkan beberapa faktor iaitu: 1) Sebagai salah satu usaha mengawal pengambilan arak yang berlebihan sehingga membawa kemudaratan seperti kemalangan akibat pengambilan alkohol yang berlebihan. 2) Pengambilan alkohol yang berlebihan juga boleh menyebabkan kesan jangka masa panjang terhadap kesihatan seseorang sekiranya ia dijadikan amalan yang berterusan. PERKASA Kedah juga menggesa Kerajaan Negeri menggariskan satu panduan kepada premis-premis yang terlibat dengan menetapkan urusan jual-beli arak ini dikendalikan hanya untuk yang bukan Islam sahaja. Semoga Kerajaan Negeri Kedah dapat menjadi negeri contoh dari sudut pengawalan penjualan arak secara terbuka kepada semua negeri di Malaysia. Bagaimanapun, ada rungutan dan aduan masyarakat muslim berkaitan penjualan arak di Sunway Carnival Mall. Rentetan itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz bersama beberapa orang pegawai Pusat Khidmat telah bertemu dengan pihak pengurusan bagi menyampaikan ketidakselesaan pengunjung dikalangan Muslim di sana. Hasil pertemuan itu, pihaknya bertegas membantah sebarang penjualan atau promosi arak secara besar-besaran seperti di ruang legar utama Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya. Alhamdulillah, pihak penganjur memahami dan menyambut baik bantahan tersebut dan akan bertindak untuk menganjurkannya dengan lebih tertutup dalam tempoh seminggu ini. Demi menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat sekitar, diharap hal sebegini tidak berulang lagi. Umum mengetahui Impikasi buruk, kesan arak yang memabukkan manusia akan menghilangkan rasa waras dan pertimbangan diri dan memang eloklah dihindari.
Nice Try! Cubaan DAP Usik Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan
Tak berhenti di situ kerana selepas pertemuan YB Fawwaz dengan pihak pengurusan Mall itu tampil pula YB Teng Chang Khim, ADUN Bandar Baharu Klang (DAP) yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor yang mengatakan “Kalau kamu tak minum tapi tengok pun boleh mabuk, itu masalah kamu, bukan masalah arak. Sia-sia kamu sembahyang!” Susulan kecaman itu tular, seluruh umat Islam menjadi berang termasuk rata-rata NGO Melayu telah mengutuk sekerasnya sikap biadap Teng Chang Khim dan mempersoalkan bermula dari isu arak kenapa tiba-tiba nak kaitkan dengan solat pula? Jelas beliau memang cuba semarakkan Islamofobia dan kebencian agama. Namun, sampai sekarang tiada tindakan yang diambil terhadap beliau. Walaupun, Satu laporan polis telah dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Selangor (Selangor) di IPD Kuala Selangor untuk menyatakan bantahan keras terhadap YB Teng Chang Kim berhubung lontaran di Facebook beliau ke atas isu arak yang tular di sosial media baru-baru ini. Sebagai bukan Islam, tidakkah beliau sedar bahawa arak memang merosakkan keluarga, masyarakat dan negara? Tidak ada agama yang membenarkan penggunaan arak kecuali pilihan diri sendiri. Tetapi mungkin ini bukanlah naratif perkauman dan ekstrimis. Ini adalah keterbukaan dan hidup bertoleransi. Lagipun, mungkin beliau beranggapan kes kemalangan dan isu sosial akibat arak adalah sifar di negara kita. Mungkin juga, orang Islam perlu disedarkan bahawa status rasmi dalam Perkara 3 Islam sebagai Agama Persekutuan dan jumlah umat Islam majoriti di negara ini tidak menjamin apa-apa pun. Ia hanyalah sebagai pelengkap di dalam buku Perlembagaan sahaja. Duduk dan hormatilah hak kapitalis dan golongan pro alkohol. Barulah betul kita hidup bertoleransi dan demokrasi. Tak gitu YB! Bagaimanapun, kita tunggu apa tindakan akan diambil oleh kepimpinan Kerajaan Perpaduan di atas salah laku dan kebiadaban yang dilakukan oleh ahli DAP ini yang sengaja mencetuskan ketegangan antara kaum di negara ini. Atau boleh saja terus letak naratif dan label sebagai ekstrimis agama! Supaya dapat kekalkan budaya bacul dan terhina di tanah sendiri. Itu game biasa.
PERTAHANAN NEGARA
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar aset-aset keselamatan yang telah berusia perlu ditukar demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan baginda terhadap aset keselamatan negara khususnya kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah berusia dan perlu ditukar. Kebimbangan itu dizahirkan baginda ketika pertemuan dengan Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Mohd Reza Mohd Sany, lapor Selangor Royal Office. Baginda selaku Kapten Yang Dipertua TLDM bertitah, aset-aset keselamatan yang telah berusia perlu ditukar demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dan dalam keadaan siap siaga. Khamis lepas, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Mohd Reza sempena persaraan beliau di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam. Beliau dilantik sebagai PTL pada 30 November 2018 dan akan menyerahkan tugas kepada penggantinya pada 23 Januari 2023 ini. Beliau turut merafak sembah memperkenalkan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Abdul Rahman Ayob yang bakal menggantikan beliau sebagai Panglima Tentera Laut ke-18.
BERITA DUNIA
Kapal Kargo Malaysia Lesap
Kapal Kargo Malaysia, MV Dai Cat 06 dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu di mana kali terakhir ia dikesan adalah di perairan Indonesia. Sebuah kapal kargo yang berdaftar di Malaysia, MV Dai Cat 06 dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu di mana kali terakhir ia dikesan adalah di perairan Indonesia. Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat dari MRSC Langkawi pada 5.13 petang 10 Januari 2023, Selasa, berkaitan kehilangan kapal kargo berkenaan. Berita kehilangan kapal itu diketahui selepas menerima laporan polis yang dibuat oleh ejen kapal itu pada jam 12.11 tengah hari Isnin lalu. Berdasarkan laporan yang diterima, kapal kargo MV Dai Cat 06 membawa muatan besi paip yang dipercayai bernilai RM726,205 dari jeti Perak pada 23 Disember 2022 sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember 2022. Namun, lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor. “Maklumat terkini diperoleh pada 10.42 malamnya, suatu isyarat kecemasan Emergency Position Indicatior Radio Beacon (EPIRB) dikesan daripada kapal kargo MV Dai Cat 06 pada kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia.” “Isyarat kecemasan ini dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) dan Police Operation Command Centre (POCC) Singapura,” katanya. Jelasnya, Kapal MV Dai Cat 06 dikendalikan lima kru termasuk tiga warga tempatan dan dua kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun. Susulan laporan diterima, pihak Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan kapal kargo MV Dai Cat 06. Tambahnya juga, MRSC Johor Bahru turut menghantar IMB Piracy Alert dan Navigational Telex (NAVTEX) bagi memohon bantuan komuniti Maritim sekiranya memiliki maklumat berkaitan kehilangan kapal berukuran 52 meter itu.
PM & Jokowi Sepakat Lawan Diskriminasi Minyak Sawit Eropah
Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo bersepakat untuk melawan diskriminasi minyak sawit yang dilakukan Eropah. “Berkenaan isu diskriminasi minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU), saya dan Bapa Presiden bersetuju supaya Malaysia dan Indonesia terus bekerjasama rapat bagi menangani sebarang diskriminasi minyak sawit di peringkat antarabangsa,” kata Perdana Menteri. Kenyataan tersebut disampaikan beliau seusainya pertemuan dua hala itu di Istana Kepresidenan Bogor, baru-baru ini. Diskriminasi itu tidak berasas serta tidak mencerminkan kelestarian industri minyak sawit terutamanya di Malaysia dan Indonesia. Malah, diskriminasi itu juga bertentangan dengan komitmen EU dan organisasi perdagangan dunia (WTO) berhubung perdagangan bebas. Sebelum ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menzahirkan kebimbangannya susulan keputusan pihak EU untuk menyekat import beberapa barang termasuklah minyak sawit.
Penganalisis Dedahkan TikTok Alat Propaganda AS Dan China
Seorang penganalisis, Felix Livshitz telah menyatakan bahawa TikTok adalah alat propaganda Amerika Syarikat (AS) sebagaimana yang telah didedahkan oleh penyiasatan dalaman yang dijalankan oleh ByteDance. Sebelum ini, TikTok telah didedahkan sebagai alat yang digunakan bagi mengintip beberapa orang wartawan daripada majalah Forbes yang sedang menjalankan penyiasatan terhadap syarikat tersebut bagi mencari individu-individu yang telah membocorkan maklumat dalaman. Pendedahan mengenai hal pengintipan wartawan tersebut, menurut Livshitz adalah satu bentuk perangkap yang memaparkan aktiviti pihak China. Namun menurut beliau lagi, TikTok turut mempunyai rahsia lain di mana ianya digerakkan sebagai sayap kuasa propaganda AS dan perkara ini amatlah berbeza dengan apa yang dilaporkan oleh media-media arus perdana. Dapatan siasatan yang dijalankan oleh ByteDance selaku syarikat induk TikTok itu telah mendapati bahawa para pekerja telah memperolehi akses terhadap alamat IP serta data pengguna secara tidak wajar dalam usaha untuk mengenal pasti sama ada wartawan-wartawan tersebut bekerja di tempat yang sama dengan para pekerja ByteDance. Tindakan pengintipan yang dikenali sebagai “Project Raven” itu telah dilancarkan setelah media BuzzFeed menerbitkan sebuah pendedahan mengenai pekerja-pekerja ByteDance di China telah beberapa kali mengakses data pengguna AS. Malah kalau kita lihat bukan itu sahaja kemelaratan yang dicipta oleh TikTok. Keruntuhan moral dan akhlak adalah yang terpaling banyak berlaku di platform media sosial itu. Di Malaysia pun, jika tidak dikawal selia sebaliknya tidak mustahil ia akan menjadi platform berleluasanya penjualan maruah dan harga diri khususnya anak bangsa kita nantinya.
China Takkan Benarkan ‘Permainan Geopolitik’ Di Asia Pasifik
Beijing sama sekali tidak akan membiarkan rantau Asia-Pasifik menjadi medium bagi konflik geopolitik. Seorang jurucakap bagi Kementerian Luar China telah mengeluarkan kenyataan bahawa Beijing sama sekali tidak akan membiarkan rantau Asia-Pasifik menjadi medium bagi konflik geopolitik. Jurucakap tersebut, Wang Wenbin turut menyatakan bahawa Beijing akan mempertahankan kedaulatan serta integriti mereka. Beliau mengeluarkan kenyataan demikian ketika sesi taklimat media berlangsung, di mana Wang memberi maklum balas terhadap berita mengenai 10 orang ahli delegasi Jerman yang sampai ke Taiwan. Pada sesi tersebut beliau turut menyatakan bahawa Jerman seharusnya menghormati Prinsip Satu China. Beliau seterusnya menyatakan,“Persoalan mengenai Taiwan adalah merupakan teras bagi kepentingan China.” Beijing berpendirian bahawa segala bentuk layanan terhadap Taiwan sebagai sebuah pulau yang berdaulat, termasuklah siri lawatan formal oleh para pegawai asing sebagai satu bentuk penghinaan terhadap kedaulatan China. Wang seterusnya menyatakan bahawa asal bagi masalah ketegangan di antara Taiwan dan China adalah disebabkan “undang-undang rimba, hegemonisme, kolonialisme dan militarisme” yang telah menyebabkan China menderita bertahun-tahun. Mungkin Ultra Kiasu DAP dan Dong Zhong yang sedang bahagia di Malaysia boleh turun tangan bantu saudara senegara mereka di sana selesaikan ketegangan konflik itu.
Larang Masuk Alat Perubatan, Pakar Medik Gaza Lancar Perarakan Ambulans
Pakar perubatan Gaza melancarkan perarakan ambulans sebagai bantahan terhadap tentera penjajah rejim haram apartheid Israel yang menyekat import peralatan perubatan penting ke dalam wilayah itu. Sebanyak 25 ambulans menyertai perarakan bantahan tersebut, di mana beberapa buah ambulans tertulis slogan bantahan seperti, ‘Sekatan berterusan ke atas Gaza adalah jenayah terhadap kemanusiaan.’ ‘Institusi antarabangsa digesa menekan pendudukan untuk membenarkan peranti perubatan memasuki Gaza.’ ‘Menghalang kemasukan alat perubatan adalah jenayah terhadap pesakit Gaza. Media antarabangsa melaporkan, Ashraf al-Qudra, jurucakap Kementerian Kesihatan berkata, perarakan itu diadakan susulan sekatan kemasukan empat mesin X-ray mudah alih dan peralatan perubatan penting yang lain ke Gaza. Tegasnya, “Sekatan itu mendedahkan pesakit onkologi, jantung, strok, patah tulang yang kompleks dan rawatan rapi kepada risiko kesihatan.” Bukan itu sahaja, ia juga membahayakan nyawa beberapa pesakit Palestin. Penyelaras Aktiviti Kerajaan Wilayah Israel (COGAT) berkata, pihaknya telah ‘meluluskan puluhan permintaan penghantaran mesin X-ray ke Semenanjung Gaza termasuk dua mesin baru dan alat ganti.’ Namun kenyataan tersebut terbukti palsu apabila pakar perubatan Gaza terpaksa berhimpun membuat bantahan sekatan baru-baru ini. Sejak 16 tahun lalu, pendudukan haram rejim Israel telah mengenakan sekatan kejam ke atas Gaza untuk menghimpit rakyat dan gerakan perjuangannya. Mereka melarang pengedaran makanan dan barangan yang penting untuk mengekalkan kehidupan rakyat Palestin.
Saudi Lanjutkan Tempoh Penjara Ulama
Mahkamah Rayuan Saudi telah melanjutkan tempoh hukuman penjara Sheikh Mohammed Mousa al-Sharif, ulama negara itu selama lapan tahun, menjadikan tempoh penjaranya berpanjangan selama 13 tahun. Lapor media antarabangsa, Sheikh Mohammed Mousa dikatakan telah ditangkap sewenang-wenangnya dan dijatuhkan hampir dua dozen pertuduhan termasuk ‘cubaan untuk menjejaskan keselamatan negara’ dan ‘penyertaan dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang di dalam dan luar kerajaan’. Namun begitu, keadaan kesihatannya semakin terjejas apabila disahkan menghidap pelbagai penyakit akibat kecuaian perubatan. Sebelum ini, ulama itu pernah berkhidmat sebagai profesor di sebuah universiti, pendakwah dan juga juruterbang. Beliau telah menulis beberapa buah buku tentang ajaran Islam, gaya hidup Nabi Muhammad S.A.W, sejarah dan kesusasteraan Arab. Selepas Mohammed bin Salman menjadi pemimpin de facto Arab Saudi, negara itu telah menangkap ratusan aktivis, penulis dan intelektual kerana perbezaan pendapat politik. Meskipun mendapat kecaman antarabangsa, cendekiawan Islam turut dihukum bunuh manakala pejuang hak asasi wanita diletakkan dalam penjara sekali gus diseksa kerana kebebasan bersuara, berpersatuan dan kepercayaan yang terus dinafikan oleh kerajaan negara itu.
Kontroversi Hijab Karnataka: 50% Pelajar Muslim Keluar Daripada Kolej Kerajaan
50 peratus pelajar Muslim di Karnataka keluar daripada kolej kerajaan dan beralih kepada kolej swasta susulan larangan berhijab oleh kerajaan Karnataka. Lapor sebuah portal antarabangsa, berdasarkan kajian daripada Indian Express, jumlah pelajar Islam yang mendaftar di kolej Kerajaan mengalami penurunan kepada 186 bagi tahun akademik 2022-23 daripada 388 pelajar pada 2021-22. Kajian itu juga menunjukkan, hanya 91 pelajar Muslim perempuan yang mendaftar di kolej kerajaan pada tahun akademik ini berbanding 178 pada tahun akademik 2021-22. Malah, bilangan pelajar lelaki Islam yang mendaftar di sekolah kerajaan turut menurun kepada 100 daripada 210. Menurut pentadbir Kumpulan Pendidikan Salihath, Pendaftaran gadis Islam di kolej persendirian tanpa bantuan (PU) telah meningkat hampir dua kali ganda buat kali pertama. Ini adalah bukti bagaimana isu tudung sebenarnya memberi kesan kepada mereka secara peribadi dan akademik. Sementara itu, Pengetua Kolej PU Al Ihsan, Habeeb Rahman, “Kanak-kanak lelaki turut dalam trend yang sama berkemungkinan disebabkan ibu bapa mahukan mereka menjauhkan diri daripada sebarang pergolakan mengenai hijab. Memandangkan perhubungan dan perpolitikan hijab di kolej PU Kerajaan di Udupi, ibu bapa mungkin telah memutuskan untuk mereka memberi tumpuan kepada pendidikan dan disiplin di kolej PU swasta pada tahun akademik ini”. Oktober tahun lalu, Mahkamah Agung India kekal dengan keputusan untuk mengharamkan pemakaian hijab di sekolah dan kolej di negeri Karnataka. Larangan berhijab itu yang bermula sejak Februari tahun sama telah mencetuskan bantahan meluas dalam kalangan pelajar dan masyarakat Islam diikuti kecaman daripada warga global.
USA Tuan Rumah Perjumpaan Satanik Terbesar Dalam Sejarah
Kumpulan The Satanic Temple telah membuat pengumuman di media sosial menyatakan bahawa sebuah majlis yang dinamakan SatanCon 2023 akan diadakan di Boston, Massachusetts. Perhimpunan tersebut yang dijadualkan akan berlangsung pada hujung April ini adalah dikatakan sebagai “perhimpunan Satanik terbesar dalam sejarah”. Konvensyen yang diadakan pada tahun ini turut diadakan sempena menyambut ulang tahun ke-10 bagi kuil tersebut. Kumpulan tersebut mendakwa bahawa mereka bukanlah betul-betul mempercayai syaitan dan misi utama mereka adalah “untuk menggalakkan kebajikan dan empati dalam kalangan manusia, menolak penguasaan zalim, menggalakkan praktikal “common sense” dan keadilan serta bertindak di bawah arahan hati nurani manusia untuk melakukan usaha-usaha mulia”. Kumpulan tersebut turut mengisytiharkan pengguguran hak fundamental agama dan berhujah bahawa mana-mana undang-undang negara yang menyekat amalan tersebut adalah diskriminasi terhadap ahli-ahli mereka. Pada 2020, ‘Church of Satan’ telah menolak kumpulan The Satanic Temple dengan menyatakan bahawa kumpulan tersebut adalah sebuah “kumpulan aktivis politik yang menggunakan bahasa skandal untuk mendapatkan perhatian pihak media”. The Temple dikenali sebagai kumpulan yang sering memfailkan saman terhadap penguasa tempatan dan kerajaan di mana mereka mendakwa bahawa kebebasan beragama mereka telah disekat dan ditolak.
Farmasi AS Kini Bebas Jual Pil Gugurkan Kandungan
Farmasi di Amerika Syarikat kini bebas untuk menjual pil gugurkan kandungan selepas pihak Pentadbiran Makanan dan Dadah A.S. (FDA) membenarkannya buat kali pertama. “Farmasi boleh mula memohon untuk mendapatkan pensijilan untuk mengedarkan pil pengguguran mifepristone dengan salah satu daripada dua syarikat yang membuatnya, dan jika berjaya mereka akan dapat menyalurkannya terus kepada pesakit selepas menerima preskripsi yang diperakui,” kata FDA. Mifeprex ialah versi jenama mifepristone yang, dalam kombinasi dengan ubat kedua dipanggil misoprostol – mempunyai pelbagai kegunaan termasuk pengurusan keguguran janin, membantu kandungan digugurkan sehingga usia 10 minggu kehamilan, yang juga dikenali sebagai proses pengguguran kandungan menggunakan ubatan. Sebelum ini, mifepristone hanya boleh diperolehi melalui farmasi dan klinik pesanan mel tertentu. Menurut laporan, sebelum wabak pandemik, orang ramai dikehendaki mengambil ubat itu sendiri. Perubahan kawal selia ini berpotensi meluaskan akses pengguguran janin di saat pentadbiran Presiden Joe Biden bergelut dengan cara terbaik untuk melindungi hak menggugurkan kandungan selepas Mahkamah Agung AS membatalkan keputusan kes Roe v Wade, yang memutuskan bahawa perlembagaan memelihara hak ibu mengandung untuk memutuskan sama ada mahu ‘menyimpan’ atau menggugurkan kandungan mereka.
FBI Akui Manfaatkan CIA untuk INTIP Orang Amerika
Biro Investigasi Federal Amerika Serikat atau FBI mengungkapkan bagaimana mereka memanfaatkan CIA dan Badan Keamanan Nasional (NSA) untuk memata-matai kehidupan pribadi orang Amerika tanpa peringatan lebih dulu. Hal ini diungkapkan dalam buku pedoman terbaru FBI, yang pertama kalinya dibuat terbuka untuk umum sejak pemerintahan Barack Obama. Buku pedoman tersebut, ditulis ulang pada 2021, mengonfirmasi penyadapan yang dilakukan bersama CIA dan NSA untuk penyelidikan FBI. Penyelidikan itu kemungkinan dilakukan tanpa perintah pengadilan terhadap orang-orang yang tidak ada tuduhan melakukan pidana apapun. Penyelidikan semacam itu disebut FBI sebagai “assessment atau penilaian”. Dikutip dari Washington Times, Khamis (12/1), pengungkapan ini dapat menuai kritik mengingat FBI sejak lama dituding melanggar kewenangannya dalam melakukan pengawasan keamanan nasional. Komite Seleksi Permanen DPR untuk Intelijen dan Komite Kehakiman DPR sedang menyelidiki bagaimana badan-badan intelijen menargetkan orang Amerika. Kerjasama FBI dengan agen federal lainnya beserta pejabat negara bagian dan daerah dicantumkan dalam buku pedoman setebal 906 halaman yang ditulis selama pemerintahan Donald Trump dan direvisi di bawah Presiden Joe Biden. FBI menerbitkan Investigasi Domestik dan Panduan Operasi yang diperbarui secara online setelah menolak permintaan untuk mempublikasikannya. Menurut buku tersebut, assessment dimaksudkan untuk mencegah kejahatan federal, melindungi dari ancaman terhadap keamanan nasional atau mengumpulkan intelijen asing. NSA dan FBI menolak mengomentari hal ini. Sedangkan CIA mengatakan pihaknya mengikuti aturan dan menghargai privasi orang Amerika. “CIA mengakui dan menganggap serius kewajiban kami untuk menghormati privasi dan kebebasan sipil warga AS dalam menjalankan misi keamanan nasional vital kami, dan menjalankan aktivitas kami sesuai dengan undang-undang AS, Perintah Eksekutif 12333, dan pedoman Kejaksaan Agung kami,” jelas CIA kepada The Washington Times.
BENCANA ALAM
Bencana Alam: Biden Isytihar Darurat Kecemasan di California
Presiden AS, Joe Biden isytiharkan darurat kecemasan di California selepas negeri itu dibadai bencana alam yang teruk. Ekoran bencana alam teruk yang melanda California sejak Ahad lalu, Presiden Joseph R. Biden, Jr. telah mengisytiharkan darurat kecemasan di negeri itu Dalam kenyataan White House bertarikh 09 Januari 2023, Biden mengarahkan bantuan Persekutuan untuk menambah usaha tindak balas negeri, puak dan tempatan berikutan situasi kecemasan akibat ribut musim sejuk yang teruk bermula 08 Januari baru-baru ini, berturut-turut dengan bencana banjir dan tanah runtuh. Arahan Presiden itu memberi kuasa kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) untuk menyelaraskan semua usaha bantuan bencana agar kesusahan dan penderitaan penduduk tempatan dapat diringankan. Mereka juga perlu menyediakan bantuan sewajarnya untuk keperluan kecemasan, yang dibenarkan di bawah Tajuk V Akta Stafford, untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi harta benda, kesihatan dan keselamatan awam serta mengurangkan atau mengelakkan ancaman malapetaka di beberapa daerah iaitu: El Dorado, Los Angeles, Mariposa, Mendocino, Merced, Monterey, Napa, Placer, Riverside, Sacramento, San Bernardino, San Mateo, Santa Clara, Santa Cruz, Sonoma, Stanislaus, dan Ventura. Mengulas lanjut, kenyataan itu turut menyebut, FEMA diberi kuasa khas untuk mengenal pasti, menggerakkan dan menyediakan peralatan dan sumber yang diperlukan untuk mengurangkan kesan kecemasan. Manakala langkah perlindungan kecemasan (Kategori B) yang terhad kepada bantuan langsung Persekutuan di bawah program Bantuan Awam, akan disediakan pada 75 peratus pembiayaan Persekutuan. Terkini, ribut besar yang menyebabkan kebanyakan kawasan di California banjir telah meragut kira-kira 12 nyawa dan lebih 100,000 orang terputus bekalan elektrik setakat petang Isnin lalu.
Fenomena Glasier Cair Makin Membimbangkan
Glasier ialah sejumlah besar ais seperti gunung yang bergerak ke bawah perlahan-lahan dan ia terbentuk kerana pengumpulan salji yang cepat. Glasier di seluruh dunia boleh terdiri daripada ais yang berumur beberapa ratus hingga ribuan tahun dan memberikan rekod saintifik tentang bagaimana iklim telah berubah dari semasa ke semasa. Hari ini, kira-kira 10 peratus daripada kawasan daratan di bumi dilitupi ais glasier yang mana hampir 90 peratus berada di Antartika, manakala baki 10 peratus di Greenland. Sekian lama, saintis memberi amaran bahawa bumi semakin tidak keruan yang menyaksikan berlaku bencana jarang terjadi akibat pemanasan global kesan perubahan iklim. Satu kajian baru-baru ini, membimbangkan umat manusia apabila separuh daripada glasier bumi mengecut dan menghilang lebih cepat daripada yang disangkakan oleh saintis. Kehilangan glasier itu adalah antara bukti paling dramatik bahawa bumi semakin memanas dan kesannya bencana mungkin lebih kerap terjadi selepas ini.
Terbaru, Kajian dalam Jurnal Sains yang didedahkan mendapati banyak glasier akan hilang atau didapati sedang menuju kepupusan, sekali gus akan mengancam nyawa penduduk dunia. Ini bermakna, lebih 83 peratus daripada glasier dunia mungkin hilang menjelang tahun 2100 dan turut memberikan kesan kepada alam sekitar serta hidupan haiwan darat dan laut. Realitinya, dunia kini berada di landasan untuk kenaikan suhu 2.7 darjah Celsius sejak zaman pra industri.
Menjelang tahun 2100 bermakna kehilangan 32 peratus daripada jisim glasier dunia, atau 68 peratus daripada glasier akan hilang. Keadaan itu akan meningkatkan kenaikan paras laut sebanyak 115 milimeter sebagai tambahan kepada laut yang sudah menjadi lebih besar daripada lembaran ais yang mencair tenggelam. Sebagai contoh, seperti fenomena pencairan ais di dalam sebuah cawan saja sudah cukup untuk membasahi meja, bagaimana pula jika bongkah-bongkah ais besar di wilayah Antartika yang mencair sehingga mampu menenggelamkan bumi.
Malah, kehilangan glasier adalah mengenai penyusutan bekalan air untuk sebahagian besar penduduk dunia, lebih banyak risiko kejadian banjir dan kehilangan tempat bersejarah yang dilitupi ais dari Alaska ke Pergunungan Alps. Bahkan, sejak revolusi perindustrian, pelepasan karbon dioksida dan lain-lain gas rumah hijau telah meningkatkan suhu dan akibatnya, glasier cepat mencair dan berpecah menjadi ketulan kecil di dalam laut serta bergerak ke darat.
Glasier di seluruh dunia boleh berumur ratusan hingga ribuan tahun dan memberikan rekod saintifik tentang bagaimana iklim telah berubah dari semasa ke semasa. Tambahan, glasier adalah salah satu petunjuk penting perubahan iklim kerana ia boleh dilihat. Justeru, glasier yang terdapat di dua pertiga di tapak Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka boleh diselamatkan tetapi hanya jika dunia mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius.
Pakar glasiologi di Universiti Leeds, Professor Duncan Quincey yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu memberitahu, ramai penduduk bergantung kepada glasier sebagai sumber air untuk kegunaan domestik, pertanian dan kehilangannya boleh menyebabkan kekurangan air tawar semasa musim kemarau. Kehilangan glasier juga akan memberi kesan kepada sumber air kerana ia membekalkan air tawar kepada dua billion penduduk di dunia.
Selain itu, beberapa kesan buruk lain akibat glasier, antaranya kehilangan sumber bekalan elektrik, kehilangan terumbu karang, kekurangan pengeluaran pertanian dan pecahan industri berasaskan lautan. Pengarang laporan, Carvalho Resende memberitahu, kesan glasier yang mencair, penduduk tempatan dan Orang Asli akan menanggung kesan banjir, sekali gus menggesa agar amaran awal dan pengurangan risiko dilaksanakan. Jadinya, beberapa langkah telah dikenal pasti saintis untuk mengurangkan risiko pemanasan global sehingga menyumbang kecairan glasier, antaranya menjimatkan penggunaan elektrik, menanam lebih banyak pokok, mengamalkan kitar semula dan mengurangkan penggunaan klorofluorokarbon (CFC).
Demi untuk generasi masa depan yang akan dilanda musibah yang tidak akan pernah terjangkau dek akal dan fikiran kita, marilah kita menjaga alam sekitar untuk mereka. Selain sama-sama berdoa dan berusaha agar kita tidak termasuk dalam golongan yang membuat kemusnahan dan kerosakan di atas muka bumi ini.