Antara 100 Individu Berpengaruh Di Dunia, Tun M @ Che Det, Mastermind & Aset Negara. Ini adalah fakta dan satu pujian bagi seorang negarawan yang hebat.
Tun M si bapa permodenan negara
Bapa permodenan Malaysia, itulah gelaran diberi buat insan Istimewa yang banyak berjasa kepada negara iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pelbagai kemajuan dan perubahan besar dilakukan di negara ini bukan sahaja dari segi kemajuan, pemodenan, tetapi juga dari segi kemakmuran dan pelbagai aspek lain.
Tun Dr Mahathir Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tun M dilahirkan pada 10 Julai ialah seorang doktor dan ahli politik Malaysia yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-4 (1981-2003) dan ke-7 (2018-2020).
Perkhidmatan beliau sebanyak dua kali dan 24 tahun menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat dan yang pertama menyandang jawatan itu.
Baca Juga>> Herba Melayu Bukan Biasa-Biasa, Sekali Kena Mesti Teringat!
Dalam buku A Doctor in the House, Dr Mahathir menyatakan tarikh lahir sebenarnya ialah 10 Julai 1925, tetapi bapanya mendaftarkan tarikh lahir dalam sijil kelahiran sebagai 20 Disember untuk memudahkan urusan pendaftaran persekolahan.
Menggunakan nama timangannya sendiri, “Che Det” sebagai nama pena, beliau banyak menulis dengan artikel pertamanya disiarkan oleh akhbar The Straits Times Singapura pada 20 Julai, 1947 bertajuk “Malay Women Make Their Own Freedom” (Wanita Melayu Mencipta Kebebasan Sendiri).
Tun Dr Mahathir juga dianggap seorang pemikir dan revolusioner.Dasar pandang ke Timur, Menara berkembar Petronas, Putrajaya, koridor raya multimedia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),industri permotoran, Pelancaran Program Satelit Micro Malaysia (MEASAT).
Semasa pentadbirannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau berjaya membawa pembangunan melalui dasar-dasar dan perancangan yang diilhamkan daripada kejayaan negara-negara luar sehingga mengangkat Malaysia ke pentas dunia sebagai salah sebuah negara yang berdaya maju di Asia Tenggara.
Serangan Subuh Guthrie (Guthrie Dawn Raid) 7 September 1981.
Tahukah anda tentang kisah dan sejarah yang digelar Serangan Subuh atau Dawn Raid 1981. Serangan Subuh yang hanya memerlukan empat jam telah menjadikan kerajaan Malaysia sebagai pemegang saham terbesar dalam Syarikat Guthrie milik British.
Serangan yang telah diketuai Tun M dengan dua lagi watak utama serangan ini iaitu Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim (Pengurus Pelaburan) dan Allahyarham Tun Ismail Ali (Gabenor Bank Negara kedua).
Ada beberapa punca menjadi asbab Tun Mahathir mahukan serangan ini berlaku. Antara punca utama adalah Syarikat Guthrie berkali-kali menolak cadangan kerajaan Malaysia untuk menanam semula pokok getah, bagi membantu penoreh getah dan petani Melayu meningkatkan hasil pendapatan mereka.
Malah mereka kerap kali menangguhkan mesyuarat bersama wakil kerajaan Malaysia. Selepas desakan Bank Negara Malaysia (BNM), Guthrie akhirnya menubuhkan anak syarikat Guthrie-Gospel yang mempunyai 17 peratus saham tanah di Malaysia daripada kesemua tanah milik Guthrie.
Dengan penubuhan anak syarikat itu, melalui Kuala Lumpur Stock Exchange, rakyat tempatan dibenarkan membeli tanah yang dimiliki oleh Guthrie. Tetapi, dikhabarkan tanah-tanah yang dijual kepada rakyat tempatan terletak di kawasan bukit dan tidak sesuai untuk pertanian.
Selain punca utama ini, beberapa tempoh sebelum Serangan Subuh, kerajaan British mewujudkan undang-undang baharu dengan menghentikan subsidi pendidikan pelajar Malaysia di United Kingdom. Malah, menaikkan kadar yuran pengajian kepada pelajar asing dari beberapa buah negara termasuk Malaysia.
Pelaksanaan undang-undang ini jelas membebankan pelajar Malaysia yang belajar di sana. Yuran meningkat mencecah tiga kali ganda dari sebelumnya. Rakyat Malaysia dan Tun Mahathir tidak berpuas hati kerana Malaysia menghantar ramai pelajar belajar di sana pada ketika itu.
Punca-punca yang lain termasuk British menolak cadangan Malaysia untuk menambah hak pendaratan Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Heathrow. Tambahan lagi, British menceroboh ruang udara Malaysia menggunakan kapal Supersonic yang dalam perjalanan ke Singapura.
DAWN RAID Bermula (7 September 1981, 4 pagi waktu Malaysia)
Kenapa serangan ini perlu dimulakan seawal 4 pagi? Kerana ia perlu diselesaikan sebelum LSE dibuka. Selepas semuanya selesai nanti, kerajaan akan mengumumkan berita tergempar ini dan hanya perlu menguruskan hal-hal dokumentasi sahaja sebagai kejutan kepada Guthrie.
Jika pendedahan awal dibuat atau serangan ini dimulakan lewat, harga saham akan meningkat dan Guthrie boleh bertindak untuk menghalang semua ini berlaku.
Tan Sri Khalid diberi tugas menyelesaikan pembelian saham tempatan daripada Genting, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Kuwait Investment Group (KIG). Beliau optimis dan tiada masalah untuk mendapatkan saham dari kesemua tiga pemegang saham kerana mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Malaysia.
Tun Ali dalam masa yang sama sudah berada di Singapura untuk meyakinkan bank OCBC menjual saham miliknya. Namun, ia tidak berjalan seperti yang dirancang kerana OCBC menolak penawaran Malaysia walau ditawar dengan harga yang tinggi.
Namun, semuanya masih di landasan yang tepat apabila Rothschild berjaya membeli saham dari M&G Investment sebanyak 11% dan Rowe&Pitman berjaya membeli 5% saham lagi. Tidak sampai empat jam, PNB menjadi pemegang saham terbesar dalam Guthrie sebanyak 50.41% (7,995 juta saham).
Ketika LSE dibuka, Malaysia membuat pengumuman tersebut dan pengerusi Guthrie, Mark Gent mengetahui hal ini hanya melalui berita radio. Pada petang 7 September 1981, setelah semua dokumentasi selesai, Guthrie sah milik Malaysia.
Sosok itu juga pernah mendapat jolokan majalah TIME sebagai Master Builder, kerana banyak perancangan dan pelaksanaan kerja-kerja yang disiapkan sepanjang 22 tahun era pertama pemerintahan beliau.
Tiada siapa menyangkal hebatnya seorang insan bernama Tun Mahathir, kualiti kepimpinannya dikagumi lawan, gaya berpidatonya sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris amatlah membekas, concise, yakni padat, tepat dan tajam menusuk sekali, berpencak politik alang-alang tumbanglah lawan, keberaniannya mengherdik kuasa-kuasa besar di pentas antarabangsa memang dikagumi.
Bercakap di pentas antarabangsa, malah di peringkat domestik, beliau melontarkan pandangan without fear or favour (tanpa khuatir dan berbasa basi), namun di pentas nasional Tun M bijak dan cekap mengatur urusan negara, mengawal ketenteraman rakyat berbilang kaum dan kerencaman isu-isu berbangkit dari semasa ke semasa.
Tun M turut disenaraikan antara 100 individu paling berpengaruh di dunia pada 2019 oleh majalah berita antarabangsa, ‘Time’ dan beliau dinamakan pula sebagai 50 Tokoh Dunia Paling Berpengaruh 2019 oleh portal antarabangsa, Fortune.com.
Menarik: ‘Keturah Bukan Mitos’ & ‘Catatan Ilmu Laut Melayu Kuno Berlayar’ – Prof. Solehah Yaacob