Tular di media sosial sekitar dua hari lepas dalam sebuah program temubual santai, seorang anak seni terlalu terbuka bercerita pengalaman watak yang disukainya sepanjang bergelar pelakon.
Rata-rata pengguna media sosial tidak bersetuju dengan tindakan pelakon senior tersebut yang sememang tidak menjaga aib dan kehormatan wanita.
Sepatutnya individu tersebut perlu lebih peka dan sensitif bila ingin menceritakan pengalaman beliau. Tidak salah untuk bercerita, mungkin dengan tidak menyebut nama filem serta ‘siapa’ pelakon wanita yang digandingkan bersama beliau.
Pada pendapat penulis, mungkin individu tersebut terlalu bersemangat atau mungkin terlalu gembira untuk menceritakan pengalaman lakonan beliau sehingga lupa untuk membezakan adakah ianya baik untuk diceritakan atau sebaliknya.
Dalam Islam sentiasa menyarankan supaya manusia berfikir dahulu dalam setiap kata-kata dan perbuatan yang bakal diucap serta dilakukan, kerana tidak mahu ianya menjadi sesuatu yang sia-sia.
Allah SWT juga tidak pernah sekali membuka aib hambanya, kenapa kita dengan mudah membuka aib sendiri dan orang lain secara terbuka dikhalayak ramai?
Walaubagaimana, untuk pengguna di media sosial juga dinasihat untuk tidak terlalu mudah mengutuk dan mengeji. Tegurlah secara berhemah dan berilmu.
Tidak terkecuali juga buat pengacara-pengacara rancangan, perlu lebih sensitif dengan soalan-soalan yang ingin diutarakan kepada para jemputan.
Moga dengan kejadian ini, menjadi ikhtibar buat semua penggiat seni diluar sana untuk membawa imej yang lebih baik dari segi percakapan dan pertuturan pada masa akan datang.
Jadikan pendekatan Islam sebagai tunjang utama dalam apa juga perkara dilakukan supaya kita tidak terkeluar daripada landasan yang telah ditetapkan dalam Islam.
Industri seni pada hari ini juga perlu pada perubahan, dari segi jalan cerita, skrip dan keterbatasan antara pelakon lelaki dan perempuan perlu diubah dan mengikut pada landasan yang telah digariskan dalam Islam.
Jika tiada perubahan yang dilakukan, ia akan memberi impak negatif pada generasi akan datang. Jika ini berlarutan dan tiada titik nokhtahnya, amatlah sedih untuk industri seni di Malaysia ini.