Isu Semasa

Anak Melayu Wajib Didoktrin Pakai Tali Leher Ikut Barat Untuk ‘Percaya’ Nampak Bertamadun!

Apabila orang-orang tua berpesan, sejarah, sivik dan patriotisme perlu diajar sejak dari sekolah untuk kukuhkan jati diri anak-anak Melayu, ibu bapa dan guru moden kata belum tiba masanya kerana mereka masih kecil.

Namun mereka yang memiliki kuasa pentadbiran di sekolah itu boleh pula hapuskan jati diri dan rupa bangsa anak-anak Melayu sejak dari kecil atas alasan perlu ikut cara Barat tanpa sedar untuk tampil segak.

Maksudnya apa? Orang-orang Melayu di Malaysia harus didoktrin sejak dari zaman persekolahan bahawa mengangkat baju Melayu sebagai pakaian rasmi ke sekolah jenis kebangsaan adalah sesuatu yang kolot.

Baju Melayu hanya sesuai dipakai oleh anak-anak Melayu yang ke sekolah agama dan ia wajar dihapuskan secara tidak sedar menerusi peraturan sekolah yang selalunya didominasi oleh guru-guru Melayu.

Apakah ini satu fitnah? Tidak. Ia berlaku tanpa sedar dan bukan sahaja guru-guru malah penjawat awam percaya berbaju kemeja dan bertali leher seperti gaya Barat itu lebih moden dan bergaya.

Maka bilakah masanya kita sebagai orang-orang Melayu pada zaman ini mempunyai masa untuk memupuk dan membentuk jati diri Melayu dalam diri anak-anak Melayu mendepani masa hadapan mereka?

Sudahlah dengan iklim Malaysia yang tidak berapa sesuai memakai tali leher, pernah sahaja berlaku kes guru-guru merotan pelajar yang gagal membawa tali leher yang sudah dijadikan sebagai peraturan seragam sekolah.

Takkan kita mahu ikut cara luar sampaikan di Brazil dan Denmark misalnya, pelajar perempuan pun disarankan memakai tali leher. Harapnya tidaklah budaya ini diwajibkan kepada perempuan Melayu hatta bertudung.

Pelajar di Brazil

 

Pelajar di Denmark

Risau jika tiada bimbingan mengenai fesyen, budaya dan sejarah bangsa itu sendiri, setiap perkara yang dilihat unik di luar negara cuba dibawa masuk ke dalam budaya Malaysia secara berpekeliling.

Namun jika di Malaysia, masih adakah sistem pendidikannya menerapkan jati diri berkait dengan persekitaran dan amalan sunnah misalnya, jawapannya adalah ia wujud.

Namun budaya dan gaya pemakaian yang menongkah arus moden dan langsung tidak mengikut acuan Barat cuma berlaku di sekolah pondok atau madrasah sahaja.

Sayang.. kata orang-orang Melayu selepas 1957 sudah merdeka selama 65 tahun namun sedar tak sedar, berbaki lagi 35 tahun sebelum genap 100 tahun, orang-orang Melayu sendiri hapuskan identiti budaya dan rupa bangsa.

Maka apa saranan kita? Mungkin cadangan haramkan penggunaan tali leher dan unsur pemakaian melibatkan elemen Barat perlu dibicangkan dalam Dewan Rakyat?

Suburkan pemakaian baju Melayu bermula dari peringkat sekolah untuk lahirkan generasi yang bangga dengan kekuatan jati diri watan tanpa dipengaruhi budaya dan gaya barat yang tidak sesuai dengan iklim Malaysia!

Ada berani? Apa komen anda sebagai orang-orang Melayu yang bakal menghadap atau tinggal benih berbaki 35 tahun lagi sebelum genap 100 tahun Tanah Melayu yang pentadbirannya diuruskan oleh orang Melayu sendiri?

Mungkin ramai yang berkata, kira orang-orang Melayu, kena fikir jauh sikit, sensitiflah kepada orang-orang bukan Melayu, mereka pun rakyat Malaysia juga, mana mahunya berasimilasi dengan budaya orang Melayu.

Jika ini yang berlaku, pemikiran ini subur, yang dicadangkan ini kononnya dikatakan idea-idea sampah, di mana hak kalian sebagai tuan rumah kepada ketuanan Melayu itu sendiri?

Ini bukan cerita politik, bukan cerita bau-bau PRU-15 semakin hampir atau lain-lain persepsi jahanam yang langsung tidak menyumbang kepada pembangunan dan pembentukan jati diri bangsa anak-anak muda!

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker