Isu Semasa

Agong Pasak Utama Negara, Pelindung Dan Penenang Jiwa Rakyat Marhaen!

Sejak dari PRU14 sehinggalah PRU15, politik Malaysia terus bergolak dan para pemimpin yang sedang berenang dalam kemabukan kuasa tidak pernah berhenti menyusahkan kehidupan rakyat.

Bermula dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 sehingga terjadinya langkah Sheraton, hari ini negara menyaksikan langkah Pacific pula seperti cuba dilaksanakan.

Namun bagi ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), masing-masing menzahirkan kekesalan apabila seruan mereka untuk ke Hotel Seri Pacific sebenarnya satu percaturan politik untuk mencari jalan.

Bagi orang-orang UMNO misalnya, mereka bertegas dengan keputusan PAU yang menyatakan ‘No DAP, No Anwar’ dan biar pun kalah teruk dalam PRU15, mereka lebih rela menjadi pembangkang.

Sepatah dua kata Agong

Jika merujuk titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mana-mana ketua parti politik yang memiliki jumlah kerusi yang mencukupi harus menyerahkan senarainya bersama nama calon Perdana Menteri kepada Istana Negara pada 21 November 2022 sebelum 2 petang.

Namun disebabkan tindakan mengejut salah Presiden UMNO dan Pengerusi BN pada 21 November sekitar 11.30 pagi, rakyat memuji Agong kerana sabar melayan karenah pemimpin yang sukar untuk mengikut ‘dateline’.

Maka, Agong memberi ruang untuk ketua parti atau ketua gabungan parti membuat persiapan lebih dan berunding dalam mencari sepakat dan muafakat untuk membentuk Kerajaan.

Masih ada pejuang berprinsip

Dalam masa sama, rakyat juga sedang melihat dalam parti keramat itu, masih ramai pejuang-pejuang dan para pemimpinnya yang berprinsip dan tidak gentar untuk kehilangan jawatan dalam parti.

Bagi petugas media pula misalnya, masing-masing bagaikan tidak cukup rehat untuk merakam sejarah dan berkongsi perkembangan politik semasa kepada rakyat yang berada jauh berbatu-batu.

Mujurlah ada Yang Dipertuan Agong sebagai pelindung dan penenang jiwa rakyat marhaen yang sudah tiada tempat untuk bergantung dalam berdepan drama politik yang tidak berkesudahan.

Siapa sangka, dalam kekalutan dan penat lelah para petugas media yang belum hilang sepenuhnya, Agong sempat belanja petugas media yang membuat liputan di depan pintu 2 Istana Negara yang setia menunggu kehadiran ketua parti bagi mengemukan calon Perdana Menteri.

Wujudkan semula Kerajaan Tuanku

Sekiranya semua parti politik gagal mendapatkan kuasa majoriti, rakyat cuma memohon dan mencadangkan, apa salahnya jika Agong bertitah untuk mewujudkan Kerajaan Tuanku kerana PRU15 adalah suatu kegagalan.

Rakyat berpecah, ahli politik bertelagah, keharmonian belum dicapai dalam tempoh 48 jam dan rakyat penat menunggu kerana segala urusan harian berkait dengan kestabilan politik negara.

Sekiranya Agong dapat mewujudkan Kerajaan Tuanku, mungkin setelah bersidang dengan Majlis Raja-Raja Melayu, Kerajaan Tuanku memilih sendiri ahli Parlimen daripada mana-mana parti yang bagus untuk negara.

Dengan itu, bukan hanya rakyat, maka ahli politik juga akan gentar dan tidak boleh derhaka atas keputusan yang dibuat kerana Agong adalah pasak utama negara dalam segala aspek Perlembagaan Persekutuan.

Tambahan pula, jika dilihat kes-kes sebelum ini, Agonglah penyelesai banyak masalah yang ditimbulkan oleh para pemimpin yang selalu membelakangkan rakyat daripada pelbagai aspek. Daulat Tuanku!

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button