Isu Semasa

Adaptasi Huruf Al-Quran Kepada Tulisan Jawi Bukti Melayu Kreatif Bersama Islam

Minat dan kecintaan bangsa Melayu yang mendalam terhadap Islam terserlah apabila mereka berusaha secara kreatif mengadaptasikan huruf yang ada di dalam al-Quran kepada sistem tulisan mereka sendiri, iaitu tulisan Jawi. Hebat kan!

Ini termasuklah dengan penambahan beberapa huruf yang sesuai dengan sebutan orang Melayu seperti huruf ga, ca dan nga. 

Penambahbaikan ini berdasarkan kesesuaian budaya dan keperluan bangsa Melayu ketika itu.

Tulisan Jawi ini pantas berkembang ke seluruh kepulauan Melayu dan Nusantara kerana digunakan secara meluas yang akhirnya menjadi simbol identiti bangsa Melayu.

Orang Melayu pada zaman dahulu menggunakan tulisan Jawi ini dalam segenap perkara termasuklah bidang agama, politik, ekonomi, sosial dan pendidikan.

Tulisan Jawi turut digunakan dalam penulisan syair, selain menyampaikan ilmu pengetahuan dalam karangan kitab-kitab agama, hukum kanun, surat-menyurat, duit siling, watikah, batu nisan dan lain-lain.

Jika diteliti sejarah tulisan Jawi ia bermula daripada pedagang yang berdagang di Tanah Melayu dan pendakwah Arab yang singgah ke sini sekitar tahun 1400 iaitu lebih 600 tahun lalu.

Bagaimanapun, sistem ejaan dan tulisan Jawi yang digunakan kini sudah berevolusi berdasarkan kepada sistem yang terdapat dalam buku tulisan Jawi yang dihasilkan daripada rumusan Konvensyen Tulisan Jawi Peringkat Kebangsaan pada tahun 1984 dan disempurnakan pada tahun 1986, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP).

Apa yang pewaris bangsa ini perlu ketahui ialah peranan tulisan Jawi sangat penting dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelosok dunia Melayu dengan identitinya yang tersendiri.

Di era digital teknologi moden, kita dapati bahawa tulisan Jawi hampir dilupakan.

Hal ini bermula apabila kedudukan tulisan Jawi diambil alih oleh tulisan Rumi seperti yang termaktub dalam Kongres Persuratan Melayu Malaya ke-2 pada tahun 1954.

Sepatutnya, boleh saja tulisan Rumi ini dirasmikan sebagai bahasa persuratan Melayu dengan tidak perlu meminggirkan tulisan Jawi.

Natijahnya, pada hari ini kita lihat tulisan Jawi tidak lagi digunakan dalam urusan rasmi masyarakat melainkan dalam hal keagamaan seperti teks khutbah, subjek Pendidikan Islam dan hal lain yang berkaitan.

Sudahlah di papan-papan tanda jalan telah dihapuskan pengguna tulisan Jawi ini, pembelajarannya juga semakin berkurangan.

Maka, tidak hairanlah apabila generasi hari ini melupakan tulisan Jawi bahkan ada yang langsung tidak mampu membaca apatah lagi memahami intipati maknanya.

Sedangkan, tulisan Jawi ini dahulu begitu sinonim dengan bangsa Melayu selain memainkan peranan yang signifikan dalam perkembangan tamadun Melayu.

Justeru, tak rugi pun jika kita martabatkan kembali tulisan Jawi yang merupakan warisan tamadun bangsa yang sangat berharga dan wajib dipelihara ini.

Kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi?

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker