Kita lihat, contohnya isu yang tular baru-baru ini Juri Mas Idayu menjerit-jerit dan memaki hamun peserta dalam satu rancangan tv tanpa mempunyai nilai sensitiviti Melayu. Apakah itu budaya orang Melayu, malah cara kebanyakan artis perempuan terutamanya berpakaian tak cukup kain, termasuklah bergelek dikhalayak tanpa ada rasa malu. Apakah itu nilai dan seni orang Melayu yang sebenar?
Ikuti sekilas pandangan tokoh bahasa dan budayawan negara Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan mengenai perkembangan seni tanah air dari perspektif akademik.
Ditanya, sejauh mana industri seni tanah air ini telah memartabatkan nilai seni bangsa berbanding hanya memikirkan nilai komersial?
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) itu menjelaskan, untuk berlaku adil, saya melihat ada usaha penerbit atau penggerak industri seni yang mempunyai komitmen dalam mengisi seni dengan unsur kenegaraan, nilai murni dan akhlak. Filem, drama dan lagu berunsur agama, patriotik dan sejarah, misalnya dapat dilihat kewujudannya.
Namun, memang ada sebahagian yang lebih menumpukan aspek komersial daripada nilai murni. Maka Finas, penerbit media dan Lembaga Penapis Filem perlu meningkatkan perhatian kepada isu itu.
Hari ini, selepas beberapa kontroversi yang berlaku, timbul persoalan ke mana hilangnya adat dan adab sopan santun yang lemah lembut, bahasa yang indah, tarian gerak badan yang penuh tertib itu?
Menurut Dr Awang Sariyan, isu ini pun bukan fenomena yang menyeluruh tetapi ibarat kata peribahasa, “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga” dan “Seekor kerbau membawa lumpur semua terpalit”. Maka sudah tentu adat dan adab perlu dijadikan asas penulisan skrip, lirik, koreografi dan seni persembahan seperti tarian dan cara berpakaian.
Selain itu, garis panduan yang lebih jelas dan proses pembudayaannya dalam kalangan penggiat seni perlu diusahakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Kementerian Komunikasi dan Digital.
“Pemantauan dan kemungkinan tindakan disiplin perlu dilaksanakan jika keadaan begitu runcing sehingga mengorbankan adat, adab dan jati diri luhur bangsa,”tegasnya.
Persoalannya, bukankah orang seni sepatutnya mempunyai kehalusan budi pekerti?
Jelas beliau, ini soalan yang telah terjawab dengan sendirinya. Kata “seni” berkaitan dengan kehalusan, keindahan dan ketertiban.
Maka, makna seni tidak patut dikorbankan hanya kerana keghairahan meniru budaya asing atau untuk melakukan percubaan atau eksperimen yang tidak terkawal.
Persoalannya lagi, masyarakat awam sudah mula bercakap bahawa orang senilah yang banyak merosakkan budi pekerti anak bangsa dengan karya dan hiburan?
Dr Awang Sariyan menyatakan, sekali lagi kita perlu berlaku adil dan tidak menuding jari kepada semua penggiat seni. Ada keperluan penggiat seni tertentu diberi tunjuk ajar dan teguran secara berhikmah supaya seni dapat dijadikan unsur pendidikan dan kritik sosial yang membina.
Melihat betapa rapuhnya nilai seni yang ada pada hari ini timbul juga persoalan perlukah dibiarkan sahaja seni budaya Melayu itu terkubur kerana dianggap tidak lagi sesuai dengan arus moden?
Jelas beliau, pemodenan dan kemodenan tidak patut menjadi sebab jati diri dan sifat kehalusan budi terkubur.
Ujarnya, masyarakat Barat yang sering didakwa meninggalkan tradisi pun tidak seluruhnya begitu. Masih banyak pihak di Barat yang mempertahankan tradisi, termasuk dalam seni budaya. Sewaktu saya menjadi Profesor Tamu di Jerman, saya dibawa menyaksikan persembahan seni budaya tradisi orang Jerman dan dewan sesak dengan penonton.
Maka, pembaharuan tidak salah tetapi perlu ada asasnya, selaras dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan atau sejak tahun 2021 telah diperkenalkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) yang mengambil kira bukan sahaja seni budaya Melayu bahkan seni budaya kaum-kaum lain dan dari luar negara seperti dari Barat.
Sebenarnya, bangsa Melayu, Cina, India, Orang Asli dan sekitar 100 kaum peribumi di Sabah dan di Sarawak mempunyai tradisi seni budaya yang kaya dan kuat dan malah dihargai oleh warganegara asing.
“Kekuatan itu perlu terus dipertahankan di samping usaha Inovasi dan kreativiti yang memang perlu dilakukan,”katanya.
Kalau penggiat industri seni Melayu sendiri tidak berbangga untuk memartabatkan jati diri dan budaya bangsa, siapa lagi yang perlu melakukannya?