Tidak dinafikan tanjak merupakan satu seni warisan yang amat disanjung tinggi dan apabila seseorang itu memakainya, secara automatik dia dapat merasakan seolah-olah ada roh Melayu sedang meresap.
Dari situ timbul rasa kebanggaan namun keterujaan untuk mengenakan tanjak kadang-kala terbantut dek kurangnya ilmu dan dicegah oleh orang yang memiliki ilmu tentang pemakaian tanjak.
Permasalahan ini terjadi apabila generasi moden hari ini tidak belajar tentang busana Melayu termasuklah tanjak secara teori mahu pun praktikal untuk lulus peperiksaan di sekolah.
Generasi hari ini cuma boleh melihatnya di Google mahu pun YouTube dan disebabkan itulah ramai generasi hari ini pakat main sarung sahaja tanpa mengetahui adab dan falsafah ke atas sesebuah tanjak itu.
Seperkara lagi, tanjak-tanjak warisan yang dikarang dan dipamerkan kadang-kala tidak mewakili diri generasi hari ini dan kewujudannya sekadar satu perhiasan yang boleh disimpan.
Sehubungan itu, penulis berpendapat apa salahnya pengarang tanjak yang masih hidup dan menguasai seni warisan ini mewujudkan tanjak-tanjak moden yang akan lebih dekat kepada pemakainya.
Berdasarkan satu kajian terbuka, penulis melihat terdapat golongan generasi moden yang harus disantuni dan perlu diwujudkan tanjak khas mewakili diri mereka seperti:
- Golongan pelajar yang sedang menuntut ilmu
- Golongan orang yang masuk berhijrah ke kawasan baharu
- Golongan orang yang merupakan penduduk asal sesebuah
- Golongan yang memiliki jawatan dalam sesebuah komuniti
- Golongan yang terbuka menerima sahabat baharu
- Golongan yang bujang dan sedang mencari pasangan
- Golongan yang sedang mencari sesuatu hajat
- Golongan yang menunjukkan protes secara aman
Setelah menghasilkan tanjak-tanjak ini, ceritakan kepada mereka tentang falsafah yang ada dalam sesebuah karangan tanjak dan InsyaAllah ia menjadi satu titik permulaan bangsa Melayu kembali menjulang warisan.
P/s: Gambar di atas menunjukkan seorang penyanyi baharu, Bunga menyanyikan lagu Amaran bersama Siti Nordiana namun gaya pemakaian tanjaknya menjadi perdebatan kerana kedudukan simpul dan karangannya. Apa pendapat anda?