Sejarah

64 TAHUN MALAYSIA MERDEKA, APA KHABAR ADAB BANGSA KITA?

31 Ogos yang lalu Malaysia telah mencapai kemerdekaan ke-64 tahun namun sebagai rakyat Malaysia adakah sudah tertanam dalam diri akan kemerdekaan yang sebenar?

Bagaimana pula dengan adab kita sebagai satu negara bangsa yang sudah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan? Fahamkah kita akan erti kemerdekaan?

Pasti ada yang tertanya apa yang dikatakan sebagai adab satu negara bangsa merdeka?

Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin, Felo Penyelidik Kanan Institut Alam & Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia menjawab kuncinya adalah perlu faham dan hormat.

Kata beliau lagi, sebagai rakyat kita jangan sesekali berkelakuan biadab pada perlembagaan negara yang telah disusun dan jangan juga mempertikaikannya.

“Sebagai bangsa yang bertamadun kita perlu menunjukkan satu etika yang baik yang boleh menjadi ikutan kepada bangsa lain untuk membina semula satu negara bangsa yang merdeka.

Mohd. Rosli berkata demikian mengulas tajuk ‘Kita Sudah Merdeka : Bagaimana Adab Kita Sebagai Satu Negara Bangsa Merdeka’ dalam Perbincangan Rakyat Demi Melayu (PRDM) Siri 12 yang lepas.

Mengulas lanjut mengenai orang Jepun yang cukup terkenal dengan tinggi adabnya, Prof Emeritus Dato Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia mengatakan Malaysia masih belum sampai pada tahap itu.

Katanya lagi, Malaysia masih belum terserlah adabnya seperti masyarakat Jepun baik dalam konteks kehidupan domestik mahupun nasional.

“Rukun negara perlu diterapkan dalam kehidupan, hari ini dalam kalangan masyarakat rukun negara hanya pada tahap ingat dan hafal sahaja.

“Masyarakat sangat perlu memahami dan seterusnya mengamalkan rukun negara secara am dan khususnya dalam kehidpuan, maka baru lengkap 4 tahap menerapkan rukun negara dalam kehidupan,” kata Teo Kok Seong.

Bertanya tentang sistem pendidikan di sekolah-sekolah, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Penasihat PTS Media Group Sdn Bhd berpendapat tiada satu pun fokus pada adab yang diterapkan di sekolah-sekolah.

Beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia menyatakan bahawa penguasaan bahasa Melayu adalah paling utama dalam usaha membina adad.

“Bahasa Melayu sendiri tidak diangkat oleh orang Melayu. Paling utama kita perlu menjaga bahasa Melayu dan menjadikan sebagai bahasa perpaduan.

“Yang kurang adab hanya segelintir, untuk membina sebuah adab perlu pada sebuah bukaan minda yang luas untuk setiap aspek dalam kehidupan,” pesan beliau.

Demikian antara yang dibincangkan seputar adab kita sebagai satu negara bangsa yang sudah mencapai kemerdekaan.

Jelas kita rakyat Malaysia masih kurang dari segi adab. Kita mungkin merasakan adab kita sudah pada tahap memuaskan tetapi tidak cukup hanya memuaskan malah perlu diperkuatkan lagi untuk dijadikan contoh teladan buat generasi ke hadapan.

Bagi mengikuti rakaman penuh PRDM Siri 12/2021 dengan tajuk ‘Kita Sudah Merdeka : Bagaimana Adab Kita Sebagai Satu Negara Bangsa Merdeka?, berikut adalah link pautannya :

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker