Herba adalah jenis tumbuh yang mempunyai nilai dari segi perubatan, khasiat makanan dan bau.
Ia digunakan secara meluas dalam masakan, perubatan dan kecantikan. Ia juga dikaitkan dengan rawatan akibat gangguan makhluk halus yang tidak kelihatan secara mata kasar.
Bahagian hijau tumbuhan herba (daunnya) digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang. Namun, perubatan herba lebih banyak menggunakan akar, bunga, kulit pokok dan bahagain lain tumbuhan herba digunakan dalam perubatan herba boleh terdiri daripada pokok herba atau pokok renek.
Kini hampir setiap orang menggunakan herba. Ia mungkin dalam bentuk produk siap berasaskan herba, rempah ratus atau makanan harian. Kadang-kadang kita tidak sedar apa yang sedang digunakan atau dimakan, turut mengandungi bahan herba.
Walaupun herba memang bermanfaat untuk kesihatan dan kecantikan, ia juga boleh memudaratkan jika diproses atau digunakan secara berlebihan.
Tumbuhan herba bukan sahaja boleh digunakan sebagai bahan penyedap dalam masakan, malah turut digunakan untuk tujuan perubatan terutamanya dalam perubatan tradisional.
Kaedah perubatan tradisional menggunakan pokok herba bukan sahaja terdapat dalam negara ini, tetapi turut dipraktikkan di seluruh pelosok dunia mengikut budaya masing-masing.
Kepulauan Melayu tidak terkecuali dan disifatkan sebagai ‘gedung ubat’. Setiap hutan belukar, bukit bakau, lembah, paya, sawah, padang, kampung dusun, bahkan di kawasan kediaman sendiri terdapat tumbuhan.
Berikut antara tumbuhan herba punya manfaat tinggi
- Akar saga
Dikenali juga dengan nama seperti Rosary Pea, Jequerity, Crab’s Eye, Precatory Bean, Gunja dan Ratti. Ia adalah sejenis legum dengan daun yang panjang. Tumbuhan ini berasal dari Indonesia dan tumbuh di kawasan tropika dan subtropika.
Bahagian pohon ini yang digunakan adalah biji, daun dan akarnya. Bijinya bersifat afrodisiak, antimikrob, diuretik, expectorant, purgatif, penyejuk dan sedatif.
Akarnya digunakan untuk rawatan gonorea dan penyakit kuning. Minyak yang diekstrak dari bijinya dikatakan menggalakkan pertumbuhan rambut manusia.
Benih ini digunakan sebagai kontraseptif, untuk merawat kencing manis dan nefritis yang kronik.
- Jerangau
Nama lain bagi Jerangau ialah Sweet flag dan Calamus root. Jerangau digunakan secara meluas dalam ubat herba moden sebagai perangsang aromatik dan tonik ringan.
Di Malaysia, ia ditanam di taman belakang rumah orang Melayu dan India, di mana ia digunakan secara luaran sebagai losen.
Daunnya bersifat aromatik manakala rizomnya sangat harum, mengandungi minyak aromatik dengan sebatian yang tidak menentu.
Jerangau digunakan sebagai antibakteria, antisawan, antiseptik dan emetik.
Rizomnya digunakan sebagai ubat untuk kembung perut, kolik, dispepsia dan demam sekejap-sekejap, reumatik, penyakit saraf, masalah usus, disentri pada kanak-kanak, jangkitan bronkial dan asma.
3.Kapas hantu
Nama lainnya adalah Devil’s Cotton. Ia adalah pohon yang berasal dari Asia hinggalah ke Australia. Pokok ini biasa didapati di kebanyakan bahagian India. Ia juga boleh ditemui di Pakistan dan banyak negara Asia lain.
Dalam ayurveda, jus daunnya yang segar sangat berguna merawat penyakit uterus perempuan dan haid.
Ia mengawal pengeluaran haid dan bertindak sebagai tonik uterus. Kulit akarnya yang segar dan dikeringkan juga digunakan sebagai tonik uterus dan mengawal pengeluaran haid.
Jus segar yang diperoleh daripada kulit akarnya sangat berguna dalam masalah seperti dysmenorrhoea, amenorrhoea, masalah kencing dan bronkitis.
Daunnya digunakan dalam masalah diabetes, sakit reumatik dan sinusitis. Di Bali, Indonesia, ia digunakan sebagai tampalan untuk penyakit kudis buta.
4.Hempedu bumi
Herba ini berasal dari Asia Tenggara, China dan India. Tumbuhan herba ini telah digunakan selama berabad-abad dalam beberapa penawar di negara-negara seperti China, India dan Jawa.
Bagaimanapun, baru-baru ini potensi sebenarnya ditemui dan sejak itu telah menarik perhatian pasaran herba dan farmaseutikal.
Ia kini dianggap sebagai herba baharu yang sedang diuji untuk rawatan pelbagai penyakit termasuk HIV, AIDs dan pelbagai gejala yang berkaitan dengan gangguan autoimun.
Baca juga>> Orang Melayu Tiada Identiti, Ciplak Tarian Menora Dari Orang Thai?
Di Malaysia, hempedu bumi biasanya ditanam di laman belakang atau di dalam pasu untuk tujuan perubatan.
Herba ini diberikan sebagai ubat tahan sakit, julap, melegakan batuk, pencernaan, sakit perut dan juga digunakan untuk mengubati diabetes, demam, jangkitan cacing, bronkitis yang kronik, kusta, kembung perut, kolik, disentri, dan penyakit kulit (contohnya luka terbakar, luka, ulser).
Ia juga adalah ubat yang baik untuk merawat kesakitan akibat patukan ular dan masalah wanita.
5.Tutup bumi
Secara tradisinya, ia dianggap berkesan untuk merawat semua penyakit. Sehingga kini, tanaman ini belum dibiakkan di Malaysia tetapi dikumpulkan dari hutan liar oleh pengamal perubatan tradisional untuk disediakan sebagai ubat herba.
Herba ini digunakan sebagai diuretik, ubat demam dan untuk melegakan anuria dan blennorrhagia.
Selain itu, ia turut digunakan sebagai antibiotik, ejen antibengkak, antikeradangan dan pelembut kulit. Ia dipercayai sebagai ubat yang baik untuk leucorrhea, anemia dan bermanfaat semasa kelahiran bayi.
Petua rawatan menggunakan herba
Penyakit kepialu
Ambil biji sesawi, akar kawi, jerangau bonglai, temu putih, daun rembega dan daun kebas bendang. Giling sehingga lumat dan campurkan dengan air. Kemudian lumurkan pada seluruh badan ataupun boeh juga diminum.
Demam panas
Ambil gelang sambar dara, setawar, pucuk lancung, adas manis,bunga pulasan, putik bebaru, bawang putih, bawang merah, mesui dan pinag muda. Kesemua bahan ini ditumbuk sehingga lumat dan dicampurkan dengan air, kemudian minum.
Muntah
Ambil buah pala dan bawang putih sebiji lalu dimakan dengan sakar.
Sakit kepala
Ambil daun pegaga, kapur barus dan sendawa. Giling sehingga lumat dan tempelkan di kepala yang sakit itu.
Kayap
Ambil daun cucuran atap, daun kedondong dan daun lada pahit. Giling dan kemudian sapu.
Panau
Ambil cendana dan tuba tikus, asah dengan air limau nipis. Bubuhkan pada tempat panau itu.
Bagi kebanyakkan kaum wanita pula, mereka lebih gemarkan pengambilan jamu untuk menjaga kesihatan mereka. Bahan – bahan asli seperti tumbuh – tumbuhan, daun – daun, akar – akar kayu, buah – buahan dan bunga – bungaan mempunyai khasiat untuk merawat kesihatan dan kecantikkan tubuh badan.
Jamu ialah ubat tradisional yang telah digunakan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi. Mereka telah mengamalkan penggunaan jamu ini untuk mengubati berbagai jenis penyakit dan tidak ketinggalan juga untuk menyihatkan dan menguatkan badan.
Pemakanan dan penggunaan ubat tradisional yang asli ini masih diamalkan hingga ke hari ini. Keberkesanan penggunaan jamu yang jarang memberi kesan sampingan telah terbukti melalui pengalaman para pengamalnya yang setia.