Adat dalam budaya Melayu memang banyak tapi berapa yang tahu adat Melayu dikatogerikan kepada beberapa jenis.
Adat Melayu boleh dikelaskan kepada 4 bahagian atau 4 jenis.
1. Adat yang sebenarnya adat
Adat yang pertama ialah adat yang sebenarnya adat. Yang ini berasaskan kepada agama, bersandar kepada hukum, dan tidak boleh tidak, kita kena terima.
Antaranya, sembelihan, adat nikah kahwin. Dia ada peraturan yang tetap yang tidak boleh diubah.
Misalnya, jika hendak berkahwin mesti akad nikah dahulu. Akad nikah tersebut ada kaedahnya.
Jika dalam budaya, ada kepelbagaiannya. Tetapi prinsipnya ialah mesti akad nikah. Mesti ada saksi dan wali.
Itu adalah adat yang sebenar-benar adat.
2. Adat yang teradatkan
Yang kedua ialah adat yang teradatkan.
Ini ialah adat-adat atau peraturan-peraturan yang dibaiki dari semasa ke semasa dan berubah dari semasa ke semasa tetapi tidak sampai melanggar hukum agama.
Jadi, adat-adat atau peraturan ini beransur-ansur diterima menjadi sepakat dan diguna pakai dalam masyarakat kita. Misalnya kenduri kendara.
Ia merupakan adat yang kita mulakan dahulu secara tradisinya tetapi disebabkan perubahan zaman, maka ada pembaikan dan tatacara yang sesuai untuk hari ini.
Misalnya, jika kita kata kenduri kahwin, dahulu orang berkumpul satu kampung dan membahagikan tugas.
Terdapat ketua balai, ketua dapur, ketua pelamin dan sebagainya.
Tetapi hari ini semuanya telah serahkan kepada agen atau wakil atau kita panggil sebagai wedding planner.
3. Adat yang diadatkan
Yang ketiga ialah adat yang diadatkan. Ini yang disebut tentang sistem politik dan pemerintahan.
Ia terdapat peraturan-peraturan yang dibuat untuk mengurus pentadbiran negara.
Tetapi salah satu perkara yang disebut tadi, adat yang diadatkan ini misalnya apabila hendak membuat bangunan, kita ada adat pecah tanah.
Lalu datanglah seorang wakil rakyat atau Menteri akan pecahkan tanah dan tanam sebatang pokok di situ sebagai satu simbolik kepada permulaan untuk membina satu bangunan atau kawasan.
Ini yang dikatakan sebagai diadatkan itu.
4. Adat Istiadat
Kemudian, adat istiadat. Ini merupakan satu perkara yang telah diatur oleh pihak berkuasa.
Adat istiadat adalah peraturan yang digunakan untuk sesuatu majlis yang khas sahaja seperti pertabalan sultan, adat perkahwinan yang berbeza mengikut negeri masing-masing dan simpulan sampin dan tanjak mengikut kepada status masing-masing.
Adat Dan Adab
Sebagai kesimpulan, kita boleh lihat bahawa adab ini jika kita ambil contoh komputer, maksudnya ialah software.
Adab ialah software manakala adat ialah hardware.
Adab itu bersifat spiritual, bersifat akhlak dan berakal budi tetapi adat bersifat amalan atau praktis atau aturan yang memerlukan logistik.
Jadi, kedua-duanya tidak sama. Adat dan adab ini tidak boleh dianggap sama tetapi saling melengkapi.
Dalam Bahasa Inggeris, apabila disebut tentang adab atau peradaban, disebut sebagai civilization.
Tetapi apabila kita lihat perkataan tamadun juga disebut sebagai peradaban.
Tetapi pada kita, peradaban ini lebih bersifat kemanusiaan manakala tamadun ini lebih bersifat perbandaran atau fizikal.