Isu Semasa

35 Kumpulan Pelajar ‘Tong-Tong’ Duit Beli Perodua Aruz Untuk Cikgu Ahmad Cash!

“Saya tidak tahu menahu mengenai hadiah itu. Memang mengejutkan kerana saya hanya tahu selepas dibawa melihat kenderaan itu,” kata guru Kolej Tunku Kursiah (TKC) Ahmad Bidin mengulas mengenai kejutan diterima pada majlis perpisahan sempena persaraannya, Ahad lalu.

Ahmad, 58, yang mengajar Matematik dan Matematik Tambahan menerima hadiah yang bukan calang-calang, sebaliknya sebuah Perodua Aruz.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) itu adalah hadiah istimewa daripada 38 kumpulan pelajarnya yang pernah menuntut di TKC Bukit Merbah dan Bandar Baru Enstek bermula 1980 hingga kini.

Menyifatkan ia hadiah yang sangat istimewa, Ahmad berkata, langsung tidak menyangka menerima hadiah ‘sebesar’ itu terutama dalam mengakhiri kariernya sebagai pendidik.

“Sepanjang bergelar guru, memang biasa terima hadiah daripada pelajar, bagaimanapun saya jadi hilang kata-kata apabila diberi kejutan dengan hadiah itu (SUV) tempoh hari.

“Tak pernah terbayang untuk menerima hadiah itu malah, saya sangat terharu dengan penghargaan diberikan oleh pelajar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Ahmad, banyak pengalaman ditimba sepanjang 35 tahun bergelar pendidik di TKC.

“Sekiranya diberi pilihan, saya tetap akan memilih profesion sebagai guru dan tidak boleh kata sudah puas kerana pada akhirnya, tetap ada kekurangan walaupun sudah cuba pelbagai cara untuk menyampaikan ilmu. “Tidak pernah juga terlintas di fikiran saya untuk berhenti (mengajar) tetapi kecewa itu ada, bukan disebabkan pelajar tetapi kerana rasa usaha ditabur belum cukup untuk membantu mereka (pelajar).

“Jujurnya, tiada yang terlalu pahit atau manis kerana semua pengalaman itu ada kelebihannya serta memberi saya pelbagai pengajaran,” katanya yang menetap di Sikamat.

Berkongsi perancangannya, Ahmad berkata, esok adalah hari terakhirnya sebagai guru dan akan memanfaatkan tempoh persaraannya dengan memberi tumpuan kepada keluarga.

Sumber: Harian Metro

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button