Tahun 2024 memberi signifikan buat umat Islam kerana genaplah 100 tahun kejatuhan kerajaan Islam iaitu Kerajaan Uthmaniyyah di dunia iaitu pada 3 Mac 1924. Impaknya sangat memberi kesan buat negara-negara Islam sebagai contoh seperti kehilangan Palestin ke tangan British dan menjadikan terbentuknya Israel.
Pelbagai faktor yang mengakibatkan kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah antaranya adalah pembelotan dan pengkhianatan oleh pembesar Islam sendiri. Kepincangan pentadbiran di dalam kerajaan juga menjadi asbab kejatuhan sebuah kerajaan yang kuat ini.
Jadi, ada apa selepas 100 tahun ini? Terdapat sebuah hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan untuk umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan memperbaharui agama ini (daripada segala penyimpangan)”
Melalui hadis ini, kita memahami yang Allah SWT akan menghantar orang-orang yang akan membantu umat Islam supaya tidak terpesong dan menjaga kesucian Islam daripada perkara yang boleh mencemarkan agama ini.
Syeikh Yusuf al-Qaradawi berpendapat pembaharuan ini bukan maksud ajaran atau ilmu baru namun lebih kepada pembaharuan dalam pemahaman serta meletakkan amalan di tempat yang betul. Entiti ini digelar Mujaddid yang tidak semestinya seorang, boleh jadi dua atau sekelompok.
Namun ada juga yang mengambil kesempatan atas hadis tersebut dengan mengaku merekalah orangnya atau mengaku sebagai Imam Mahdi serta orang yang memegang kunci khazanah Islam terakhir. Ramai pula yang mempercayai golongan ‘penyamar’ ini sehinggakan mereka menjadi kaya atas duit derma orang ramai yang termakan pujukan. Tidak seharusnya orang Islam sendiri yang mewujudkan kekeliruan dan perbalahan antara kita.
Umat Islam zaman sekarang diuji dengan pelbagai dugaan seperti dakyah Zionis, ekstremis penganut agama lain dan atheis yang sedaya upaya cuba menjatuhkan Islam. Lihatlah apa yang berlaku di Palestin pada waktu ini. Namun antara hikmah dari peristiwa ini, ramai orang bukan Islam telah terbuka hati untuk mempelajari Al-Quran dan Islam. Umat Islam juga semakin bersatu dan bersama-sama membela saudara-saudara mereka di Palestin seperti memboikot produk Israel dan berkongsi maklumat di media sosial.
Oleh itu kita haruslah kuatkan akidah supaya tidak mudah terpesong dengan dakyah luar. Para ibu bapa juga perlu menguatkan ajaran Islam pada anak-anak supaya iman mereka teguh. Tidak perlu untuk kita tunggu, kita sendiri boleh memperbaharui dan memperbaiki amalan kita sebagai seorang Islam dan hamba Allah.
Baca juga:
>> Nasihat Dan Peringatan Imam Al Ghazali Buat Orang Islam
Tontonan Video Penuh: