Isu Semasa

20 Tonggak Amal Soleh Mantapkan Kefahaman & Penghayatan Rukun Negara

Pemahaman dan Penghayatan Rukun Negara sebagaimana yang dititahkan berulang kali oleh Baginda SPB YDPA sejak tahun 2019 jika difahami berdasarkan 20 Tonggak AMAL soleh yang berpaksikan kepada Sumpah Rabbani dan Bai’ah Hifzuddeen mampu mencetuskan kedamaian dan kesejahteraan berterusan dalam Negara tercinta ini.

Ayuh sama-sama kita fahami dan hayatinya bersempena sambutan ulang tahun Keputeraan DYMM SPB YDPA untuk tahun 2022 ini:

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
Aqidah Negara Sumpah Rabbani;
Memelihara Islam Baiah Hifzuddeen;
ASWJ kita pegangi;
Laungan Azan, Merdeka Abideen

KESETIAAN KEPADA RAJA & NEGARA
Anugerah Merdeka kurniaan ILAHI;
Mujahadah Panglima Raja bermaruah;
Angkatan pejuang disanjung tinggi;
Langkah bijak elak terjajah

KELUHURAN PERLEMBAGAAN
Amati bersama Asas Kedaulatan ;
Mantap kefahaman teguh keluhuran;
Agama Dijunjung Hakis ancaman ;
Lengkap Kedaulatan Negara dan Watan

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
Amar Maaruf Nahi Munkar;:
Megah tersemat Kanun Dan Syariat;
Adil dan Hikmah tetap Segar ;
Lambaian Sejahtera teras masyarakat.

KESOPANAN & KESUSILAAN

Adat Melayu bersendikan agama;
Masyhur serata teguh peribadi;
Angkuh dan sombong punca angkara;
Luhur budi hormat menghormati.

HADAPI CABARAN UTAMA TERHADAP KEDAULATAN NEGARA

Pengaruh Gerakan Liberal World Order Pendekatan Islamufobic Dan Anti-Monarki

Lebih 1,000 Gerakan Sivil dengan bantuan teknikal, kewangan, sokongan dari gerakan-gerakan yang mendokong dasar Orde Dunia Liberal (Liberal World Order) tajaan zionis kristian sedang bergerak di dalam negara telah berjaya mencetuskan segala bentuk ketegangan, kebencian dan penentangan kepada Kesultanan Melayu/Islam.

Pendekatan-pendekatan yang digunakan mereka, seringkali mencabar kedudukan Islam sebagai Agama Negara (islamufobic dan Islam Bashing), anti-monarki hingga mencetuskan kebencian dan tekad menghapuskan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah negara yang sah, hak keistimewaan bumiputera, undang-undang syariah dan sebagainya yang menjadi ‘core issue’ yang teramat dekat dengan sokongan akar umbi pemerintah.

Overzealous Politic

Pengaruh Liberal world Order ini telah berjaya mencetuskan fenomena Overzealous Politic yang telah berlarutan sejak beberapa dekad yang lalu dan telah berjaya meruntuhkan kerajaan Melayu/Islam yang telah sekian lama berakar-umbi membentuk Peradaban Negara sejak dari era kegemilangan Tun Perak di Melaka. Namun hasrat dan tekad mereka untuk menghakis Kesultanan Melayu/Islam di negara kita ini masih utuh dan berterusan dengan sokongan pengkhianat dalaman sebagaimana yang berlaku pada era kejatuhan Kesultanan Uthmaniyyah 100 tahun lalu. Malangnya kesediaan umat Melayu/Islam untuk menghadapi cabaran-cabaran ini hampir tiada, malah kesedaran mengenai ancaman-ancaman itu juga pada tahap yang amat minima.

SOLUSI DAN REMEDI : MANTAPKAN PATRIOTISME KENEGARAAN

Umat Melayu/Islam tiada pilihan lain selain dari memperteguhkan kecintaan terhadap kenegaraan dan peradaban Kesultanan Melayu/Islam yang telah berjaya membentuk peradaban Melayu di Asia Tenggara ini menerusi Roh Patriotisme. Patriotisme adalah kecintaan tulus ikhlas kepada Negara berteraskan prinsip-prinsip Rukun Negara. Cabaran dalaman kerajaan perlu di atasi dengan menggunakan pendekatan membina jaringan wihdatul fikr dan hubungan baik sesama jentera pentadbiran Negara. Di samping tidak diabaikan tindakan dan tekanan ke atas elemen yang berpotensi menggugat dan mencabar sebarang bentuk dasar dan prinsip yang membentuk kekuatan dan penguasaan kerajaan Melayu Islam. Cabaran “Deep State” dari elemen dalaman kerajaan telah mengakibatkan kebanyakan polisi dan pendekatan baik yang cuba digerakkan kerajaan, disabotaj di peringkat perlaksanaan. Pengkelasan, pengukuhan serta pembersihan elemen-elemen ini di dalam kerajaan perlu digerakkan dengan strategi tepat dan betul.

PEMAHAMAN DAN PENGHAYATAN 5 PRINSIP RUKUN NEGARA

Umat Melayu Islam perlu kembali menghayati prinsip RUKUN NEGARA yang berteraskan kepada KETUHANAN, KESETIAAN, KELUHURAN, KEDAULATAN dan KESUSILAAN. Inilah prinsip kenegaraan yang wajib difahami dan dihayati oleh bukan sahaja umat Melayu/Islam bahkan seluruh warganegara Malaysia. Agenda Patriotisme AMAL SOLEH yang dicetuskan ini bermatlamatkan Pembentukan Jiwa Patriotik bagi mengubati emosi OVERZEALOUS POLITIC yang berpanjangan. Asas Utama pembinaan Patriotisme ini adalah PEMAHAMAN DAN PENGHAYATAN RUKUN NEGARA berteraskan SUMPAH RABBANI & BAI’AH HIFZUDDEEN menurut perkara 37(1) PERLEMBAGAAN.

TUNAIKAN SUMPAH DAN JANJI – SUMPAH RABBANI DAN BAI’AH HIFZUDDEEN

Berteraskan Sumpah Rabbani di hadapan ALLAH Rabbul Jaleel, Maka amatlah tidak wajar jika ada mana-mana pemimpin, ahli politik atau mana-mana pihak yang menyemai kebencian terhadap kesultanan Melayu Islam serta menghina agama Islam atau mengambil pendekatan Islam Bashing dalam gerakan atau pemikiran mereka sama ada politik atau non-politik. Dalam Sumpah Rabbani ini juga terkandung Bai’ah Hifzuddeen iaitu ikrar dan janji kepada ALLAH SWT untuk Negara ini memelihara agama Islam pada setiap masa. Tanpa Sumpah Rabbani dan Bai’ah Hifzuddeen ini pemerintahan negara tidak sah dan kedaulatan Baginda YDPA serta Kerajaan baginda boleh dipertikaikan. Sekalipun yang melafazkan Sumpah Rabbani dan Bai’ah Hifzuddeen ini adalah Ketua Tertinggi Negara, namun kewajipan untuk melaksanakannya adalah terletak di atas ketiga-tiga cabang pemerintahan negara iaitu Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman serta rakyat keseluruhannya.

DIRGAHAYU TUANKU!

Dato’ Prof. Haji Mahamad Naser bin Disa
Hakim Rayuan (Panel Sivil) Mahkamah Rayuan Syariah Pahang
Profesor Industri UNISZA.

5 JUN 2022/ 5 Z/QAEDAH 1443

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker