Isu Semasa

20 Pejabat Pendaftar Pasport Beroperasi Setiap Hari Untuk Warga Malaysia Madani

Jabatan Imigresen Malaysia mengambil inisiatif untuk membuka 20 pejabat pengeluar pasport terpilih di seluruh negara pada Sabtu dan Ahad bagi mengatasi kesesakan kaunter bermula Sabtu depan hingga keadaan terkawal.

Kaunter itu akan dibuka bermula 8 pagi hingga 12.30 tengah hari, manakala semua pejabat yang beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan dibuka hingga jam 7 malam setiap hari, selain dibuka hingga jam 5 petang pada Sabtu dan Ahad.

Pejabat yang beroperasi di UTC Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, dibuka hingga jam 5 petang pada Jumaat dan Sabtu.

Pejabat pengeluar pasport yang dibuka pada hujung minggu itu ialah Menara Ikhlas, Putrajaya; Jalan Duta, Kuala Lumpur; Wangsa Maju; Shah Alam; Kelana Jaya; Kajang; Puchong; Setia Tropika; Johor Bharu; Kulai; Seberang Jaya; Pulau Pinang; Pelabuhan Klang; Kuala Selangor; Kuala Kubu Baru; Melaka; Muar; Kluang; Batu Pahat; Taiping; Teluk Intan dan Kulim, Kedah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata pemohon juga boleh memilih sama ada untuk terus ke kaunter Imigresen bagi urusan pembaharuan pasport atau membuat permohonan secara dalam talian.

Bagi yang berhasrat memohon pasport pada hujung minggu mereka digalakkan terus ke kaunter yang dibuka manakala bagi yang berhasrat memohon pada Isnin hingga Jumaat, digalakkan membuat permohonan secara dalam talian.

“Saya mengambil maklum akan keluhan rakyat berkaitan isu kesesakan pejabat pengeluar pasport. Inisiatif ini adalah antara langkah proaktif bagi mengatasi masalah ini,” katanya selepas merasmikan Pejabat Pengeluar Pasport Malaysia (PMA) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Saifuddin berkata, sepanjang tahun lalu Imigresen mengeluarkan 2,574,435 pasport iaitu peningkatan 25 peratus berbanding jumlah yang dikeluarkan pada 2019 iaitu 2,006,208.

Katanya, sejak awal bulan ini sehingga Selasa lalu, Imigresen melulus dan mengeluarkan sebanyak 156,711 pasport.

“Sebagai perbandingan, secara purata sebanyak 210,000 pasport dikeluarkan setiap bulan dengan pengeluaran harian sebanyak 10,000 pasport,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, pembukaan PMA di KLIA itu adalah inisiatif jabatan itu dalam memenuhi harapan rakyat serta menjadi projek rintis mengatasi kesesakan pelanggan di kaunter jabatan itu.

Katanya, KDN dan Imigresen berjaya merealisasikan kemudahan melalui kerjasama strategik dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang komited dalam memberikan perkhidmatan nilai tambah kepada masyarakat dan komuniti setempat.

Pejabat PMA terletak di kawasan parkir jangka panjang KLIA itu, dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5 petang pada waktu pejabat.

Saifuddin berkata, pejabat itu menjadi satu komponen penting kerana selain Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut menawarkan perkhidmatan penggantian Mykad dan carian sijil lahir sementara kepada pengguna perkhidmatan udara yang berhadapan masalah pada saat akhir.

Ikuti Kami Di Facebook Ini

[wpdevart_like_box profile_id=”100089655426148″ stream=”hide” connections=”show” width=”330″ height=”100″ header=”small” cover_photo=”show” locale=”en_US”]

Juga Sertai Whatsapp Berita Malaysia

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker