Semenjak dari tahun 1957, pelbagai perkara melibatkan perancangan, dasar serta pentadbiran di Tanah Melayu hanya dilaksanakan oleh orang-orang Melayu yang rata-ratanya berpendidikan barat.
Baik dari segi etno sains, perundangan, pelajaran, agama, pembangunan serta bermacam-macam lagi, banyak kearifan tempatan berjaya dipinggirkan merentasi zaman.
Hari ini apabila kita mahu perbetulkan sesuatu keadaan, disebabkan tiada ilmu, kita masih menggunakan kaedah yang sama, berterusan meminggirkan kearifan tempatan.
Kitab Ulama Melayu Tidak Dicari
Dalam cuba mencari ilmu berkait dengan agama Islam misalnya, jarang sekali bagi masyarakat hari ini merujuk kepada kitab-kitab atau pendapat ilmuan serta ulama Melayu silam.
Sebagai contoh, salah seorang Sultan Selangor, Almarhum Sultan Sir Alauddin Sulaiman Shah pernah mengarang Kitab Pohon Agama namun ia tidak digunakan sebagai rujukan walaupun di negeri Selangor itu sendiri.
Adalah satu kerugian apabila ilmu daripada ulama Melayu silam yang telah mengupas pelbagai perihal mengenai Islam dan kaitannya dengan kearifan tempatan tidak dimanfaatkan generasi hari ini.
Ilmu-ilmu warisan seperti etno-sains perubatan tidak dibangunkan dan diterimapakai oleh masyarakat kini.
Contoh kelemahan ini bolehlah dilihat dari sudut cara kita menangani masalah penularan virus covid 19.
Kegagalan untuk terus mengaji dan membanggunkan etno-sains perubatan melayu, telah menyebabkan kita hanya berharap dengan sistem perubatan alopati.
Tidak seperti negara jiran, Thailand misalnya, mereka menggunakan hempedu bumi, selain daripada perubatan alopati, untuk menangani masalah virus tersebut. Mereka jauh lebih berjaya dari malaysia.
Hari ni, seperti yang kita dapat lihat, Thailand telah membenarkan penjualan air ketum dan penggunaan ketum dalam aktiviti harian, namun kita di Malaysia pula adalah sebaliknya.
Lebih ralat lagi, Malaysia berpotensi pengeluar dan pembekal besar , masih mempunyai undang undang yg menyekat pembanggunan dan pengunaan bahan semulajadi seperti ketum.
Amat kurang ruang untuk kajian di universiti kita, sehingga pakar-pakar kita sendiri hanya membuat kajian di luar negara, yang mengakibatkan hak cipta berpinda ke luar negara.
Dengan begitu banyak universiti tempatan, adalah satu yang agak hairan mengetahui wujudnya kira-kira 30,000 naskah kitab kitab lama melayu di dalam dan luar negara yang masih belum di kaji.
Demokrasi Asing Dari Peradaban Pentadbiran Melayu
Sistem pentadbiran dan pemilihan pemimpin masih lagi dikuasai oleh dasar demokrasi yang asing dari peradaban pentadbiran melayu,hatta jatidiri Melayu itu sendiri.
Sistem pemilihan pemimpin Melayu yang beratus tahun digunapakai oleh tamadun Melayu, terus diabaikan, tanpa dikaji kesesuaiannya untuk Tanah Melayu.
Dalam pembangunan ekonomi yang semakin pesat ini, kita terlalu taksub kepada sistem ekonomi yg berpaksikan pada ciptaan wang perbankan barat.
Setelah 60 tahun lebih kita masih belum dapat membangunkan ekonomi yang berasaskan kearifan tempatan, termasuk menggantikan enjin pembanggunan kepada baitulmal dan Waqf (yang bebas dari masalah ciptaan wang oleh bank bank swasta )
Letakkan Tauhid Dalam Ekonomi
Kita perlulah meletakkan tauhid dalam ekonomi, bukan hanya Fiqh.
Dalam sektor pendidikan pula, dasar sedia ada hanya menumpukan kepada kelahiran pekerja dan kurangnya kelahiran insan berfikir dan bertaqwa.
Sebagai contoh, ilmu pelayaran dan pembuatan senjata yang telah diambil sikap tidak enteng, telah merugikan masyarakat dan seterusnya ilmu itu terus dilupakan dan hampir lenyap.
Selain itu juga, di beberapa IPTA yang mempunyai fakulti seni, sama ada muzik, filem, reka corak dan lain-lain lagi, hampir semua fakulti ni mengambil maksud dan nilai seni, daripada nilai dan maksud perkataan ART(seni) dimana ianya tiada didalam hukum-hakam Islam.
Akibat daripada itu, hampir keseluruhan alat muzik diharamkan Islam dan rekaan fesyen yang dilihat dari sudut kreativiti sehingga baju kurung diubah sehingga tidak ‘mengurung’.
Akibat daripada kecelaruan asas ini, kita membenarkan upacara anugerah seni tahunan yang menobatkan perbuatan yang bercanggah dengan nilai asas agama dan budaya Melayu itu sendiri.
Perkara ini sudah berlaku lebih daripada 30 tahun, dan berterusan tanpa diperbetulkan kerana kita menganggap ianya sebagai hiburan sedangkan mana mungkin seorang yang beriman menganggap yg haram itu sebagai hiburan.
Selagi kita tidak memperbetulkan asas-asas kayu ukur peradaban kita yang sepatutnya mengikut acuan kearifan tempatan, maka selagi itu kita akan dibutakan dengan ” ilmu” kita yang tersendiri.
Ilmu yang bercanggah dengan hati budi dan jatidiri kita sendiri .
Korupsi Ilmu Lebih Parah
Pada saya, korupsi yg lebih parah bukan korupsi harta benda tetapi korupsi ilmu yg mengakibatkan keruntuhan dan kerosakan jati diri anak bangsa.
Usaha untuk mengambil kebaikan dari kearifan tempatan hanya akan berlaku bila kita berhenti pandang rendah pada kearifan ilmuan melayu silam.
Bila kita menganggap bahawa hanya dari luar Tanah Melayu, kita boleh mencapai kebijaksanaan, ini membawa maksud bahawasanya kita telah memandang rendah kepada bangsa sendiri.
Jika perkara ini terus-menerus berlarutan, usaha untuk memartabatkan warisan kearifan imu Melayu ini amat sukar untuk kita lakanakan.
Oleh itu, kita perlu punyai sikap kesungguhan untuk mengali kearifan tempatan dan bukan itu sahaja, kita juga perlu punyai sikap untuk berasa bangga dan sekali gus menerapkan ilmu kearifan Melayu ini ke dalam aktiviti harian kita.
Anak Bangsa Cemerlang Jika Bangunan Kearifan Watan
Saya yakin, anak bangsa akan lebih bermotivasi, lebih cemerlang apabila mereka belajar dan terus membangunkan ilmu dan teknologi berasaskan kearifan tempatan.
Begitu juga dengan sistem politik, saya yakin sistem yang telah di gunapakai beratus tahun dalam alam melayu, ianya lebih sesuai dan dekat dengan peribadi orang melayu itu sendiri.
Bagi saya, kita perlu buka mata hati untuk mula melihat semula kearifan tempatan dalam semua segi dan aspek kehidupan.
Orang Melayu dulu hebat bukan dengan mengunakan ilmu barat semata mata, tetapi dengan pengamalan kearifan tempatan kita.
Justeru itu, saya tidak mengesyorkan untuk kita menolak kesemua ilmu dari barat, tetapi janganlah kita terus menolak pula kesemua kearifan tempatan yang selama ini kita bangunkan.
Kredit: Abdul Kareem Said Khadaied