Ramai anak-anak muda memasang niat mahu menjadi seorang guru pada zaman ini sedangkan realitinya setiap kali tahun bertukar, ragam para pelajarnya turut berevolusi.
Namun demikian, jika niat di hati adalah demi mahu memastikan anak bangsa pandai akal, kukuh agamanya, santun budinya, contoh yang baik harus bermula daripada guru.
Sehubungan itu untuk sampai kepada fasa seseorang pendidik itu mampu menjadi guru yang layak dianggap sebagai guru, Imam al-Ghazali menggariskan 17 adab yang perlu dipamerkan:
- Bersabar menghadapi apa-apa kesukaran.
- Perlu melambat-lambatkan kemarahan dalam urusannya.
- Duduk dengan penuh haibah sebagai seorang guru dalam keadaan tetap dengan menundukkan kepala.
- Meninggalkan takabbur terhadap hamba-hamba Allah melainkan apabila berhadapan dengan orang zalim bertujuan untuk mencegah kezalimannya.
- Merendah diri ketika dalam perhimpunan dan majlis keramaian.
- Meninggalkan gurauan dan bermain-main.
- Berlemah lembut dengan para pelajar.
- Tidak keras dengan pelajar yang kurang pandai.
- Memberi bimbangan yang sewajarnya kepada pelajar yang bebal dan tidak memarahinya.
- Meninggalkan sifat sombong dengan tidak malu untuk berkata ‘saya tidak tahu’ bagi persoalan yang diajukan oleh pelajar jika jawapannya tidak diketahui.
- Memberi perhatian terhadap setiap soalan pelajar dan memahaminya dengan baik.
- Menerima hujah yang diberikan kepadanya.
- Tunduk kepada kebenaran jika benar ia tersalah.
- Melarang para pelajar dari menerima apa-apa ilmu yang memudaratkan mereka.
- Melarang para pelajar dari niat selain mendapat keredaan Allah dalam menuntut ilmu yang bermanfaat.
- Melarang para pelajar agar tidak memfokuskan ilmu fardu kifayah berbanding ilmu fardu ain yang belum selesai. Ilmu fardu ain bertujuan untuk membersihkan dirinya secara zahir dan batin dengan ketakwaan.
- Para guru perlu beramal terlebih dahulu dengan ciri-ciri ketakwaan agar dapat dicontohi perbuatannya oleh para pelajar kemudian barulah diambil manfaat pula menerusi pertuturannya.
Semoga dengan perkongsian ini memberi manfaat kepada sesiapa sahaja yang bercita-cita mahu menjadi seorang guru atau sedang menjadi seorang guru.
Diharap jika ada mana-mana individu yang bergelar guru namun tergelincir daripada 17 adab yang digariskan Imam al-Ghazali, kita sama-sama muhasabah diri demi manfaat ummah.