Semenanjung Tanah Melayu atau Tanah Besar mempunyai 12 dialek Bahasa Melayu secara rasmi digunakan.
Artikel ini merujuk kepada dialek Bahasa Melayu Semenanjung sahaja, bukan bahasa-bahasa peribumi Bumiputera di Semenanjung seperti Bahasa Tumbro / Namron (Siam), Bahasa Jawa (Jowo), Bahasa Bugis (Ugik), Bahasa Kampar, Bahasa Mendahiling, Bahasa Banjar, Bahasa Kerinchi, Bahasa Bawean (Phebian / Boyan), Bahasa Rawa (Rao), Bahasa Minangkabau, Bahasa Madura (Madureh), Bahasa Aceh, Bahasa Mahmeri, Bahasa Seletar, Bahasa Urak Lawoi, Bahasa Urak Kanaq, Bahasa Jah-Hut, Bahasa Sakai, Bahasa Jakun, Bahasa Orang Laut & Bahasa Che Wong yang dipertuturkan di setengah kawasan-kawasan Semenanjung.
Bahasa-bahasa yang tersenarai itu bukanlah Bahasa Melayu, namun serumpun dengan Bahasa Melayu.
Pemetaan ini khususnya untuk memperkenalkan & mengumpul maklumat Bahasa2 Dialek Melayu di Semenanjung.
Bahasa-bahasa Dialek Melayu di Sumatera tidak dimasukkan sekali dalam peta sebab di sana terdapat lebih banyak variasi Bahasa Melayu.
Jika ianya dimasukkan nanti dh jadi cerita lain dah, terlalu banyak.
Hanya Riau sahaja yang dimasukkan dalam pemetaan sebab ia sama dengan dialek Melayu yang dipertuturkan di Johor & Selangor.
Ada beberapa dialek Melayu Semenanjung yang kurang diberi pendedahan umum.
Aku yakin, ramai yang tak tahu kewujudan dialek-dialek tersebut iaitu dialek Melayu Reman, dialek Melayu Hulu Terengganu dan 3 dialek Melayu Pahang yang sering disalah ertikan sama dengan dialek Terengganu atau Kelantan.
Diharap dengan pemetaan ini, dapat bersama-bersama kita lestarikan dialek-dialek ini semua agar ia tidak pupus ditelan masa.
Kalau diperhatikan kewujudan perkataan Dialect Continuum di dalam artikel ini.
Dialect Continuum bermaksud dialek yang berterusan di antara kawasan A dan kawasan B, akibat percampuran kawasan A dan kawasan B, mereka telah menciptakan sejenis dialek baru yang merupakan campuran dari dialek A dan dialek B.
Itu yang dinamakan Dialect Continuum.
- Dialek Melayu Kedah (atau juga dipanggil dialek Utagha)
- Secara dasarnya dipertuturkan oleh keturunan Melayu Kedah dari Tanah Sari (hari ini sebahagian dari Myanmar. Bahasa Burma: Thanitharyi. Bahasa Inggeris: Tenasserim. Bahasa Thai: Tanao Sri) sehingga ke daerah Manjung, Perak.
- Dikembangkan oleh Kerajaan Kedah dan merupakan bekas wilayah Kedah yakni Tanah Sari & pantai barat Thailand seperti Satun (Melayu: Setul), Trang (Melayu: Terang), Krabi (Melayu: Ghairabi), Phuket (Melayu: Bukit), Ranong (Melayu: Renong), wilayah-wilayah ini jatuh ke kekuasaan Thai & Burma menjelang kurun ke-18 namun tinggalan Bahasa Melayu Kedah masih wujud namun telah bercampur gaul dengan Bahasa Thai, sebilangan besar keturunan Melayu Kedah di pantai barat Thailand juga telah kehilangan lidah Bahasa Melayu namun masih ada yang menuturkan dalam bilangan kecil. Dialek ini masih kuat dipertuturkan di Tanah Sari disebabkan kerajaan Myanmar yang lemah dalam pentadbiran, ada antara Melayu Kedah di Tanah Sari juga tidak tahu menggunakan Bahasa Myanmar dan hanya tahu berbahasa Melayu Kedah, berbeza situasi dengan di Thailand di mana telah dijalankan proses asimilasi Thai yang membuatkan orang Melayu Kedah di sana banyak kehilangan lidah Kedah dan lebih menggunakan Bahasa Thai.
- Dialek Kedah yang dipertuturkan di Perak merupakan dialect continuum & bukan 100% dialek Kedah, merupakan dialek Kedah yang dicampurkan dengan dialek Perak. Beberapa kosa kata Kedah telah digunakan secara meluas tetapi disebut dengan cara sebutan Perak (menggunakan E Pepet). Contoh: “Depe pi mana tadi hang nampak dak depe tadi?” Perkara ini terjadi kerana pantai Perak banyak dihuni oleh orang Kedah, ada antaranya telah menyerap dengan dialek Perak, tapi ada juga yang masih tegar menggunakan dialek Kedah asli terutama golongan veteran. *Perak bahagian ini tidak pernah di bawah kekuasaan Kesultanan Kedah.
- Dialek Melayu Kedah juga terkenal dengan sebutan bakunya dan menambah akhiran sebutan menjadi Q.
2. Dialek Melayu Reman (atau juga dipanggil Dialek Melayu Baling, Sik, Gerik atau Dialek Hulu Kedah, Dialek Hulu Perak)
- Dialek ini pada asalnya merupakan Bahasa rasmi kerajaan Reman, sebuah Kerajaan Melayu di daerah Yala, Thailand hari ini yang telah dimusnahkan oleh Dinasti Chakri pada kurun ke-19. Kerajaan Reman suatu ketika dulu adalah kerajaan anak kepada Kerajaan Patani. Wilayah Kerajaan Reman asalnya meliputi Yala, Sik, Baling, Padang Terap, Selama & Gerik.
- Sebagai kerajaan anak kepada Patani, dialek yang dipertuturkan tidak banyak bezanya dengan dialek Melayu Patani, namun disebabkan lokasinya yang terletak di antara negeri Kedah & Patani membuatkan dialek ini mempunyai elemen kedua dua dialek negeri tersebut.
- Senang dikatakan, dialek Melayu Reman ini juga sebenarnya merupakan dialek continuum kepada dialek Melayu Kedah & dialek Melayu Patani. Banyak kosa kata dialek Melayu Reman merupakan kosa kata Patani tapi disebut dengan cara Kedah iaitu sebutan baku, contohnya “Demo” (Awak) di Patani disebut sebagai “Dema” (Awak) di dialek Melayu Reman.
- Dialek Melayu Reman kurang popular di Malaysia dan wajar diberi pendedahan agar dialek ini tidak terhapus digantikan dengan penggunaan dialek Melayu Kedah atau Patani / Kelantan yang lebih dominan dan popular.
3. Dialek Melayu Patani (atau juga dipanggil Dialek Melayu Kelantan / Kelate atau Bahasa Yawi di Thailand)
- Dialek ini dipertuturkan di daerah Patani, Narathiwat di Thailand hari ini, negeri Kelantan & daerah Besut di Terengganu.
- Dialek ini merupakan Bahasa rasmi orang Melayu Patani di Thailand dan diberi gelaran sebagai Basa Yawi (Jawi). Di Malaysia ia dikenali sebagai Dialek Melayu Kelantan. Suatu masa dahulu, Kelantan & Patani adalah sebuah negeri yang satu. Kelantan seperti juga Reman, merupakan negeri anak kepada Patani.
- Dialek Melayu Patani dikenali dengan penggunaan E talingnya. Setiap perkataan Melayu yang berserta akhiran LAN atau KAN akan diubah menjadi E taling di dialek Patani, manakala perkataan Melayu yg akhiran A akan diubah menjadi O, perkataan Melayu yang berakhiran huruf mati T akan ditebalkan menjadi K.
- Dialek Melayu Patani masih kuat dipertuturkan kerana sikap orang Patani & Kelantan yang masih kuat berpegang pada dialek asli mereka, 1 sikap yang baik demi menjaga dialek mereka daripada pupus.
Baca juga Pelajar Asing Wajib Belajar Bahasa Melayu & DBP Ada Kuasa Untuk Ambil Tindakan!
4. Dialek Melayu Perak (atau juga dipanggil Dialek Peghak atau Melayu Perak Selatan)
- Dialek ini dipertuturkan di kawasan Perak Selatan & merupakan satu-satunya dialek Perak asli jadi wajar diberi gelaran Dialek Melayu Perak sahaja.
- Dialek ini menjadi dialek lingua franca atau pemersatu bagi etnik2 peribumi di Perak Selatan yang terdiri dari pelbagai etnik Bahasa berbeza antaranya Jawa, Melayu, Banjar, Bugis, Mendailing, Rawa, Kampar & Kerinchi. Etnik2 ini banyak berpindah ke Perak Selatan selepas era perang Klang (Perang Saudara Selangor 1860an).
- Dialek ini menggunakan banyak E Pepet dalam sebutan, setiap yg berakhiran A akan disebut E pepet. Dialek ini juga terkenal dengan sebutan R yang ditebalkan menjadi Ghrau maka kebanyakkan penutur asli Melayu Perak akan biasanya mengalami kesukaran untuk menyebut huruf R dgn betul. Contohnya Rokok akan menjadi Ghokok. Rambut akan menjadi Ghambut. Namun pelat ini tidak se-ketara orang Melayu Sarawak, Pontianak kerana orang Melayu Perak mudah mengikut lenggok Bahasa / dialek tempatan apabila beliau merantau.
- Disebabkan sikap mudah mengikut lenggok orang itu, dialek Melayu Perak juga mengalami kemunduran, banyak kawasan-kawasan yang asalnya bertutur dialek Melayu Perak contohnya di Perak Hilir di antara sempadan Manjung & Telok Intan telah berubah menggunakan dialek Melayu Kedah.
5. Dialek Melayu Hulu Pahang (atau juga dipanggil Dialek Raub, Lipis)
- Dialek ini dipertuturkan di daerah Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Bentong & Cameron Highlands
- Dialek ini sebenarnya merupakan dialect continuum dialek Melayu Perak & dialek Melayu Reman / Patani. Ia juga sering disalah ertikan dengan dialek Melayu Perak akibat bunyinya yang hampir sama.
- Seperti juga Dialek Perak, dialek Melayu Hulu Pahang juga menggunakan E Pepet untuk akhiran A.
- Dialek ini mengalami kemunduran akibat sikap penutur aslinya yang mudah mengikut lenggok dialek lain. Di daerah Bentong contohnya amat susah nak jumpa penutur dialek ini malah banyak yang menutur dialek Johor-Riau Selangor mungkin disebabkan lokasinya yang hampir dengan daerah Gombak, Selangor.
- Daerah Merapoh iaitu daerah sempadan antara Kuala Lipis (Hulu Pahang) dengan Gua Musang (Kelantan) juga lebih banyak menggunakan dialek Patani (Kelantan) berbanding dialek Hulu Pahang.
6. Dialek Melayu Hilir Pahang (atau juga dipanggil Dialek Temerloh, Maran)
- Dialek ini dipertuturkan di daerah Temerloh, Maran & Bera.
- Dialek ini sama juga seperti dialek Hulu Pahang Cuma mempunyai beberapa kosa kata berbeza.
- Seperti juga dialek Hulu Pahang, dialek ini juga mengalami kemunduran.
7. Dialek Melayu Kuala Pahang (atau juga dipanggil Dialek asli Kuantan, Pekan, Rompin)
- Dialek ini dipertuturkan di daerah Kuantan (kawasan pedalaman), Maran & Bera.
- Seperti juga dialek Hilir Pahang & Hulu Pahang, tidak banyak beza cuma mempunyai beberapa beza kosa kata dan disebut berlainan sedikit.
- Seperti juga dialek Hilir & Hulu Pahang, dialek ini juga mengalami kemunduran, antara sebabnya adalah penyerapan dialek Kuala Terengganu ynag banyak malah kebanyakkan penutur Kuala Pahang telah kini menggunakan dialek Kuala Terengganu (terutama generasi muda).
8. Dialek Melayu Hulu Terengganu (atau juga dikenali Dialek Kuala Berang)
- Dialek ini dipertuturkan di daerah Hulu Terengganu & sedikit di Setiu.
- Dialek ini dipercayai dialek Bahasa Melayu tertua di Semenanjung. Dialek ini juga menurut beberapa sarjana berkemungkinan besar merupakan Bahasa Proto-Malayan, banyak sebutan di dalam dialek Hulu Terengganu kedengaran purba seperti contoh “Larai” (Lari), “Akaw” (Aku), “Jagaung” (Jagung), “Balaik” (Balik). Sebutan begini sangat tipikal dalam bahasa2 purba Austronesia yang masih dituturkan di beberapa kawasan seperti di Borneo Utara, Maluku, Pergunungan Sumatera Selatan & Gugusan Kepulauan Barat Thailand (Bahasa Moken).
- Dialek ini juga mengalami kemunduran akibat kurang popular, kebanyakkan kawasan asli dialek Hulu Terengganu juga telah digantikan penggunaan dialek Kuala Terengganu yang lebih dikenali umum & dominan.
9. Dialek Melayu Kuala Terengganu (atau juga dikenali Dialek Teganu / Marang)
- Dialek ini dipertuturkan di sepanjang pantai Terengganu sebab itu digelar sebagai dialek Kuala Terengganu, kecuali daerah Besut & jajahan takluknya (Pulau Perhentian) hingga lah ke pantai Pahang & Mersing di Johor. Pantai Pahang & Mersing Johor menggunakan dialek Kuala Terengganu disebabkan jumlah bilangan kedatangan orang Terengganu ke kawasan tersebut.
- Dialek ini terkenal dengan penggunaan huruf G yang banyak. Dari segi kosa kata dialek ini sebenarnya tidak banyak bezanya dengan dialek Melayu Patani / Kelantan cuma cara penyebutan sahaja diubahsuai. Segala yang berakhiran E taling di Melayu Patani diubah menjadi NG di Kuala Terengganu manakala segala yang berakhiran O di Melayu diubah menjadi E pepet di Kuala Terengganu.
- Dialek ini dipercayai dikembangkan oleh orang Bugis dari Sulawesi Selatan akibat penggunaan G yang iras digunakan secara mendadak serta pengubahsuaian akhiran T menjadi K namun bukti kukuh tidak ada setakat ini walaupun beberapa perkara boleh diambil kira antaranya cara hidup orang Kuala Terengganu yang sinonim dengan laut (iras dengan cara hidup orang Bugis), makanan tradisi orang Terengganu iaitu Nasi Dagang yang dipercayai berasal dari Burasak (makanan tradisi orang Bugis) & akhir sekali sejarah pembukaan daerah-daerah di Terengganu antaranya daerah Setiu yang dibuka oleh seorang pendekar berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan bernama Tok Setiu.
10. Dialek Melayu Johor-Riau Selangor (atau juga dikenali Dialek KL, Dialek Melayu Riau)
- Dialek Melayu Johor-Riau Selangor merupakan dialek yang sangat penting yang dijadikan standard / asas buat Bahasa Melayu di Malaysia, Indonesia, Brunei & Singapura. Dialek ini diangkat berkat Kepulauan Riau yang pernah menjadi pusat penting perkembangan Bahasa Melayu selepas ia dimodenkan oleh Almarhum Raja Ali Haji, seorang penulis / bapa Bahasa Melayu berketurunan Bugis.
- Dialek ini terkenal dengan sebutan E pepet di setiap perkataan yang berakhiran A.
- Sering dipanggil oleh orang Malaysia sebagai “loghat KL” sebenarnya nama betulnya adalah Dialek Johor-Riau Selangor kerana ia digunakan 3 negeri ini sejak zaman sebelum wujudnya Kuala Lumpur jadi tak wajar KL pula yang dapat nama. Johor-Riau & Selangor sebelum 1760 adalah 1 negeri yang sama, budaya 3 negeri ini sering bertukar-tukar jadi tak hairan dialek ini masih kuat dipertuturkan di 3 negeri ini.
11. Dialek Melayu Melaka
- Dialek ini dikenali dengan sebutan yang banyak menggunakan huruf U di akhirannya. Segala yang berakhiran R akan diubah menjadi U, contoh: Pagar menjadi Pagau, Ular menjadi Ulau.
- Dialek Melaka sebenarnya sangat kaya dengan kosa kata tersendiri namun kurang dikenali.
- Juga dikenali sebagai dialek paling kasar di Malaysia, banyak perkataan-perkataan cacian atau makian di Bahasa Melayu dipercayai berasal dari dialek Melaka.
- Seperti dialek Johor-Riau Selangor, dialek ini juga mengubah sebutan akhiran A menjadi E pepet namun disebut dengan intonasi lebih panjang. Contoh: Ape dieeee.
- Dituturkan juga di kawasan Muar, Johor.
12. Dialek Melayu Negeri Sembilan (Dialek Nogori / Melayu Minangkabau)
- Dialek ini tercipta hasil percampuran orang Minangkabau dengan masyarakat Melayu setempat. Negeri Sembilan adalah negeri yang didominasi oleh orang Minangkabau dari Sumatera Barat, Indonesia. Dialek ini merupakan creole atau pidgin Melayu / Minangkabau, yang bermakna ia asasnya masih Bahasa Melayu Cuma disebut cara Minangkabau.
- Dialek ini dipertuturkan di kawasan pedalaman Negeri Sembilan khususnya daerah-daerah yang masih kuat beradat Minangkabau, setengah kawasan masih menuturkan Bahasa Minangkabau dan dialek ini sebagai Bahasa pemersatu.
- Dialek ini dikenali dengan penggunaan huruf O yang banyak.
- Dialek ini diambang kemunduran juga akibat banyak kawasan-kawasan bandar telah didiami orang bukan negeri Sembilan & penduduk asal mudah mengikut lenggok dialek orang luar.